Ad

Saturday, 31 August 2019

Hazwan, Faiz dan Jefri digugurkan

 PENYERANG Malaysia, Ahmad Hazwan Bakri ketika mengasak pemain
PENYERANG Malaysia, Ahmad Hazwan Bakri ketika mengasak pemain Jordan pada perlawanan persahabatan di antara Malaysia dan Jordan di Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam.-BERNAMA
31 Ogos 2019 2:25 PM

KUALA LUMPUR 31 Ogos - Hazwan Bakri menjadi antara tiga pemain yang digugurkan ketua jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe menjelang aksi Pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Kelibat Hazwan yang dipanggil menyertai skuad negara sebelum ini turut mendapat pandangan negatif daripada peminat-peminat bola sepak negara dengan menyifatkan penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT) itu tidak berada dalam prestasi terbaik, selain sekadar memanaskan bangku simpanan dalam saingan liga tempatan.


Turut menyertai Hazwan dalam senarai pemain yang digugurkan adalah Faiz Nasir dan Jafri Firdaus Chew.

““Hazwan kita tahu dia seorang penyerang yang berkaliber tetapi kurang beraksi dan sebab itulah dia tidak dapat mengekalkan prestasi dan tempo perlawanan antarabangsa. Kita akan beri dia peluang pada masa akan datang dan memantau prestasinya dalam saingan Piala Malaysia nanti.

“Faiz pula disebabkan dia mengalami demam dan badannya agak lemah sedikit. Jadi kita terpaksa tinggalkan dia untuk ke Jakarta nanti.

“Sementara Jafri, kita panggil dia untuk memberi peluang kepadanya bersaing di bahagian serangan. Tapi saya rasa dia perlu bekerja lebih keras lagi bagi mendapatkan tempat dalam pasukan kebangsaan,” kata Cheng Hoe.

Skuad negara menghadapi perlawanan sulung Kumpulan G, Pusingan Kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 bertemu Indonesia di Stadium Utama Gelora Bung Karno, Jakarta pada 5 September 2019.

Pertemuan menentang pa­sukan Jordan yang berada di ranking ke-99 dunia itu dalam aksi persahabatan, semalam di Stadium Nasional Bukit Jalil menyaksikan Harimau Malaya tewas 0-1 tetapi ia menjadi pentas terbaik Cheng Hoe untuk mencari kombinasi yang akan digunakan sepanjang kempen kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.


Selain Indonesia, Malaysia turut diletak bersama Emiriah Arab Bersatu (UAE), Vietnam dan Thailand dalam Kumpulan G. - UTUSAN ONLINE31 Ogos 2019 2:25 PM

No comments:

Post a Comment