PEMAIN Harimau Malaya memberi penghormatan kepada penyokong yang menyanyikan lagu Negaraku dalam aksi persahabatan menentang Jordan di Stadium Nasional, Bukit Jalil semalam. - BERNAMA
31 Ogos 2019 8:52 PM
KUALA LUMPUR 31 Ogos - Kapten Perak, Shahrul Mohd. Saad tetap selesa digandingkan bersama Adam Nor Azlin di bahagian pertahanan skuad Harimau Malaya meskipun pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) itu gemar menampilkan permainan berisiko.
Gandingan itu yang masing-masing memiliki gaya tersendiri berjaya mewujudkan kombinasi positif ketika Malaysia membelasah Timor Leste 12-2 dalam dua aksi pusingan pertama Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, Jun lepas.
Namun, kedudukan Adam kini mula dipersoal peminat berikutan prestasi membimbangkan pada aksi persahabatan antarabangsa berdepan Jordan semalam, selepas bekas pemain Selangor itu didakwa tidak bermain pada tahap terbaik seperti sebelum ini.
Biarpun berbeza pendekatan bertahan, Shahrul, yang dinobatkan sebagai Pertahanan Terbaik Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) 2018, berkata Adam merupakan seorang pemain yang positif dan mereka berdua sering berkomunikasi dalam permainan.
“Saya tiada masalah dengan Adam dan tidak akan ada masalah dengan mana-mana gandingan sekali pun. Dia (Adam) sungguh positif dan sangat membantu selain kami sering bercakap mengenai cara untuk mantapkan lagi barisan pertahanan negara.
“Saya berharap sangat bila bertemu Indonesia nanti kami akan lebih fokus dari segi barisan pertahanan,” katanya selepas perlawanan yang menyaksikan Malaysia tewas 0-1 di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini.
Pada masa sama, ketua jurulatih,Tan Cheng Hoe menggesa Shahrul dan Adam bangkit meningkatkan prestasi menjelang pertemuan dengan Indonesia pada aksi pembukaan Kumpulan G saingan pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta, Khamis depan.
“Banyak lagi yang perlu dipertingkatkan kerana dua pertahanan tengah merupakan benteng terakhir pasukan. Mereka berdua perlu ada satu kombinasi yang baik dan kena lebih banyak bersuara memberi arahan daripada bawah,” jelas pengendali berusia 51 tahun itu.
No comments:
Post a Comment