PEMAIN Malaysia meraikan kejayaan
menumpaskan Australia 3-0 dalam aksi keempat Kumpulan B, Kejuaraan AFF B-18 di
Ho Chi Minh, Vietnam semalam. - Gambar Ihsan NFDP
14 Ogos 2019 7:00 AM
KUALA LUMPUR 14 Ogos - Lukman
Hakim Shamsudin percaya, biarpun berdepan lawan sehebat Australia, namun yakin
terhadap kekuatan sendiri adalah kunci kejayaan Malaysia melakar kemenangan 3-0
dalam Kejuaraan AFF Bawah 18 (B-18) di Vietnam malam tadi.
Luqman yang kini diintai kelab
divisyen satu Liga Jepun (Liga J1), Cerezo Osaka meledak dua gol dalam aksi di
Stadium Thanh Long, Ho Chi Minh manakala satu lagi jaringan disempurnakan oleh
Muhammad Azam Azmi.
"Syukur Alhamdulillah kerana
doa ibu bapa, para jurulatih dan semua rakyat Malaysia telah memberikan
kejayaan kepada kami pada hari ini. Saya akan cuba lebih baik dalam perlawanan
seterusnya.
"Saya dan pasukan ada
kekuatan sendiri meskipun berdepan Australia. Tak kisahlah mereka kuat mana,
kami tetap bermain dengan semangat tinggi" kata Lukman yang dipetik dalam
Facebook Program Pembangunan Bola Sepak Malaysia (NFDP).
Kemenangan ke atas juara empat
kali itu meletakkan skuad bimbingan Brad Maloney pada landasan terbaik untuk
menamatkan Kumpulan B selaku dua pasukan teratas, sekali gus mara ke separuh
akhir.
Turun sebagai juara bertahan,
Malaysia akan menentang juara lima kali, Thailand dalam aksi terakhir esok
untuk mengesahkan tiket ke peringkat empat terbaik.
Kejayaan Thailand mengikat
Vietnam 0-0 malam tadi membolehkan pasukan negara kini mengungguli Kumpulan B
dengan sembilan mata, berkongsi mata bersama Australia tetapi dipisahkan oleh
perbezaan jaringan.
Sementara itu, Maloney memuji
disiplin tinggi pemain negara yang mengikuti semua arahannya sejak awal
permainan.
“Selepas mengkaji permainan
Australia, kita tahu macam mana mereka bermain dan telah kenal pasti segala
kelemahan serta kekuatan mereka.
“Hari ini, pemain beraksi
mengikut strategi yang dirancang. Mereka memberi tekanan sejak awal permainan
dan bermain seperti ketika latihan.
“Pujian harus diberi kepada
pemain kerana mengikut arahan dengan baik,” kata Maloney kepada ASEAN Football
semalam.
Malaysia sebelum ini memulakan
kempen dengan tewas 0-1 kepada Vietnam, sebelum bangkit mengalahkan Singapura
3-1, diikuti Kemboja 3-0. – SUMBER-UTUSAN ONLINE 14 Ogos 2019 7:00 AM
No comments:
Post a Comment