Ad

Friday, 9 August 2019

Malaysia juara B-15 AFF di Thailand


BARISAN skuad B-15 negara. - Foto ihsan Facebook Football Association Malaysia
Malaysia juara B-15 AFF di Thailand
Oleh Mohd Fitrie Muhamad
mfitrie@bh.com.my
KUALA LUMPUR: Rentak cemerlang skuad muda negara berakhir dengan nota gembira apabila berjaya menjulang trofi Kejuaraan B-15 (Persekutuan Bolasepak ASEAN) selepas menewaskan Thailand 2-1 di Stadium Kampus, Chonburi, sebentar tadi.

Sekali pun tuan rumah terlebih dulu berada di depan, semangat yang ditunjukkan oleh anak buah P Maniam terutamanya di babak kedua wajar dipuji hingga pamer kebangkitan luar biasa untuk mengesahkan kemenangan.

Pada perlawanan itu, Muhammad Izrin Ibrahim mencetuskan kebangkitan ketika meledak gol penyamaan sebelum Muhammad Nabil Qayyum Zainuddin tampil dengan jaringan kemenangan untuk memastikan kejuaraan kali kedua selepas melakukannya pada 2013.

Terdahulu, Thailand yang beraksi di depan penyokong sendiri jelas bertenaga dan akhirnya berjaya membuka jaringan menerusi Theekawin Chansri pada minit ke-16.

Bersambung babak kedua, skuad muda negara tampil dengan aksi lebih agresif yang menyaksikan lawan mereka terpaksa bekerja keras mengekang serangan pemain negara.

Hasilnya, minit ke-69, Muhammad Izrin mempamerkan aksi lincah melepasi tiga pertahan lawan sebelum melakukan rembatan leret dari luar kotak penalti untuk kembali menyamakan kedudukan.

Pada minit ke-79, Malaysia memiliki kelebihan apabila Phukphum Kunkungmee diarahkan keluar padang dan skuad negara hanya perlu menunggu seminit untuk memperoleh gol kemenangan menerusi Muhammad Nabil.

Dua minit selepas itu, situasi tegang apabila berlaku pergaduhan pemain kedua-dua pasukan namun ia pantas dihentikan sekali gus memastikan kemenangan buat Malaysia
SUMBER-BERITA HARIAN ONLINE Jumaat, 9 Ogos 2019 | 9:08pm

No comments:

Post a Comment