Ad

Saturday, 10 August 2019

Umat Islam mula berwukuf di Arafah


Mohd Ridzwan Iman
11 Ogos 2019 6:14 AM
 
ARAFAH 10 Ogos - Umat Islam dari seluruh dunia menjalani ibadah berwukuf di Padang Arafah hari ini selepas masuk waktu zuhur (tergelincir matahari) iaitu pada pukul 12.26 tengah hari (5.26 petang waktu Malaysia).

Berwukuf adalah rukun dalam ibadat haji yang mana setiap jemaah perlu melakukannya tanpa mengira keadaan walaupun dalam keadan sakit atau menerima rawatan.


Sejak tiba mulai pagi hingga malam tadi, kira-kira 30,200 jemaah haji Malaysia telah mula melakukan pelbagai amalan wajib dan sunat seperti bertalbiah, solat, berzikir dan membaca al-Quran.

Tinjauan Utusan Online mendapati suasana di sekitar tapak perkhemahan jemaah Malaysia diselubungi dengan gema talbiah seawal pukul 2 pagi tadi.

Setiap surau maktab juga mengadakan aktiviti qiamullai masing-masing serta program ibadat lain yang disusun oleh Bahagian Bim- bingan Haji, Tabung Haji.

Selesa solat zuhur yang diadakan secara jamak tamam dengan solat Asar dan mendengar khutbah Arafah, jemaah meneruskan ibadat masing-masing, termasuk melakukan zikir Arafah dan berdoa.

Apabila masuk asar, jemaah mula keluar dari khemah masing-masing dan mencari kawasan lapang dan duduk bersendirian untuk berdoa.

Dikatakan waktu tersebut sehingga waktu Maghrib adalah waktu paling mustajab untuk berdoa.

Dalam pada itu, Timbalan Mufti Selangor, Datuk Dr. Anhar Opir ketika menyampaikan khutbah Arafah menegaskan ibadat haji sebagai lambang manifestasi kehambaan manusia kepada Allah.

"Inilah suatu pemukiman kita dalam suasana perkhemahan tarbawiyyah, ruhiyyah, ilahiyyah rabbaniyah dalam menyempurnakan ibadah teragung warisan Nabi Ibrahim dan Nabi Muhammad SAW.

"Ini juga mengingatkan kita kepada “padang mahsyar” Tuhan di Hari Akhirat kelak," tambah Pakar Rujuk Tabung Haji Musim Haji 1440 Hijrah itu.

Katanya, dengan keberkatan hari Arafah, maka jemaah perlu mengambil kesempatan untuk menggunakannya sebaik mungkin bagi menjana iman dan taqwa. – SUMBER UTUSAN ONLINE 11 Ogos 2019 6:14 AM

No comments:

Post a Comment