Rabu, 14 Ogos 2019 | 8:25pm
Luqman Hakim Shamsuddin.
Luqman amalkan 3 Qul sebelum beraksi
KUALA LUMPUR: Penyerang skuad Bawah 18 Tahun (B-18) negara, Luqman Hakim Shamsuddin menikmati perlawanan terbaik selepas meledak dua gol menentang juara empat kali, Australia pada Kejohanan Persekutuan Bola Sepak ASEAN B-18 2019 di Vietnam, semalam.
Dua jaringan pemain berusia 17 tahun itu yang melengkapkan kemenangan bergaya Malaysia 3-0 tercipta hasil daripada kebijaksanaan, kemahiran berfikir selain pergerakan kaki pantas untuk mudah memperdaya pertahanan lawan.
Di sebalik prestasi cemerlang ditampilkan di Stadium Thanh Long pada aksi Kumpulan B itu, pemain kelahiran Kota Bharu, Kelantan, itu percaya pesanan kedua ibu bapa yang diamalkan setiap kali sebelum perlawanan adalah faktor utama mendorongnya di atas padang.
“Mereka (ibu bapa) sentiasa memberi dorongan kepada saya dan sering berpesan untuk berikan aksi terbaik dalam setiap perlawanan...paling penting mereka pesan solat dan doa jangan tinggal terutama mendoakan kejayaan pasukan.
“Saya juga membaca tiga Qul setiap kali sebelum melangkah masuk ke padang dan itu memang apa diajar oleh ibu dan bapa yang sentiasa saya pegang dan amalkan sehingga hari ini,” katanya yang telah mengumpul tiga gol selepas empat perlawanan setakat ini.
Pada masa sama, Luqman yang muncul penjaring terbanyak bersama Kejuaraan B-16 Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2018 dengan meledak lima gol, bagaimanapun tidak mahu terlalu fokus untuk mengulangi pencapaian itu pada kejohanan kali ini.
SUMBER-BERITA HARIAN ONLINE Rabu, 14 Ogos 2019 | 8:25pm
No comments:
Post a Comment