MyMetroArena
Meor Riduwan Meor Ahmad
mriduwan@hmetro.com.my
PENYERANG veteran, Indra Putra Mahyuddin akui kecewa apabila gagal membantu Kuala Lumpur mara ke separuh akhir Piala Cabaran 2019.
Menurutnya, jika diteliti skuad The City Boys dengan reputasi pasukan Liga Super dilihat antara pencabar dengan barisan pemain berkualiti.
"Sudahlah tidak dapat kekal di Liga Super, dalam Piala Cabaran 2019 pun kita tidak dapat hendak bersaing. "Perkara ini amat mengecewakan saya. Tidak tahu di mana silapnya dan masalahnya. Dengan pengurusan yang baik pun pemain masih belum dapat berikan yang terbaik. Saya sendiri pertama kali berdepan perkara sebegini," katanya.
Kekecewaan Indra Putra ada asasnya kerana pernah mengecapi pelbagai kejayaan bersama beberapa pasukan diwakili sebelum ini termasuk memenangi trofi juara treble iaitu Liga Super, Piala Malaysia dan Piala FA ketika bersama pasukan Kelantan musim 2012 dan 2013.
Dalam perlawanan keempat kumpulan pada Rabu lalu, Kuala Lumpur tewas kepada UKM FC, 1-2 sekali gus kekalahan kedua kepada naib juara musim lalu itu yang mengaibkan mereka, 0-3 minggu lalu.
Skuad bimbingan, Rosle Md Derus kini di tangga ketiga Kumpulan B dengan tiga mata hasil satu kemenangan ke atas Selangor United.
Juara bertahan, Terengganu FC II (TFC II) dan UKM FC yang diundi dalam kumpulan sama mengesahkan tiket ke peringkat separuh akhir Piala Cabaran 2019 dengan 10 mata. "Pendapat saya, mungkin moral pemain jatuh selepas kami tersingkir dari Liga Super.
"Nak pulih semangat yang hilang ini mungkin perlu sedikit masa terutama bagi pemain yang pertama kali berdepan keadaan sebegini," katanya yang meledak lebih 100 gol dalam Liga Super sepanjang kariernya. Sementara itu, Indra Putra berkata, dia bersedia kekal menabur bakti untuk skuad warga kota itu selagi khidmatnya diperlukan.
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Ogos 2019 @ 11:05 PM
No comments:
Post a Comment