MyMetroArena
Firdaus Hashim
firdaushashim@nstp.com.my
KUALA LUMPUR:
Rangkaian penyerang skuad Harimau Malaya perlu bijak mengeksplotasi kelemahan
pertahanan pasukan Thailand yang dilihat kurang pantas apabila kedua-dua
pasukan bertembung pada aksi separuh akhir kedua Piala AFF di Stadium
Rajamangala, malam esok.
Pandangan itu
dikongsikan bekas pemain kebangsaan, Serbegeth Singh selepas menyaksikan aksi
pertama separuh akhir di Bukit Jalil dan beranggapan tonggak pertahanan
Thailand tidak sepantas penyerang negara yang boleh dijadikan 'modal' untuk
memerangkap pasukan tuan rumah.
Jelasnya,
kepantasan trio negara, Mohamad Zaquan Adha Abd Radzak, Norshahrul Idlan Talaha
dan Mohamadou Sumareh dilihat sering kali mematikan langkah pertahanan lawan
namun ketumpulan penyudah sedikit mengecewakan hingga menyebabkan anak buah Tan
Cheng Hoe terikat 0-0 sebelum ini.
"Aksi
kedua di Bangkok mempunyai suasana lain dan
kali ini kita perlu bijak dan beraksi sebagai pasukan pelawat.
"Kita
harus sedar pertahanan Thailand tidak pantas dan kita harus
"menjemput" mereka mara sehingga ke
tengah padang untuk mengeksploitasi kelemahan mereka," katanya
kepada Sukan NSTP, hari ini.
Malaysia yang
bertandang ke Bangkok hanya memerlukan keputusan seri 1-1 untuk mengesahkan
tempat ke final selepas kali terakhir mara pada 2014 sebelum tewas dengan
agregat 4-3 di tangan Thailand.
Bagaimanapun,
rekod skuad Gajah Perang di laman sendiri tampak gah apabila sudah mengumpul 14
gol pada kempen kali ini yang harus dipandang serius oleh Cheng Hoe.
"Jangan
membuat kesilapan seperti menentang Vietnam di peringkat kumpulan (Kumpulan A)
yang mana statistik menunjukkan kita menguasai permainan tetapi akhir tewas
2-0.
"Jadi
biarlah permainan tak 'cantik', tetapi kita boleh menjaringkan gol untuk ke
final," katanya.
Skuad negara
mara ke kelompok empat terbaik selepas muncul naib juara kumpulan di belakang
Vietnam yang kini berkelebihan ke final selepas menewaskan Filipina 2-1 dalam
aksi separuh akhir pertama di Manila, Ahad lalu.
SUMBER-Artikel
ini disiarkan pada : Selasa, 4 Disember 2018 @ 3:26 PM
No comments:
Post a Comment