ARKIB : 26/10/2009
Panel PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA,
NEGERI SEMBILAN
ADALAH menjadi salah satu tanda
keagungan Allah SWT dan kemukjizatan Rasul-Nya SAW, walaupun sudah lebih 1400
tahun Baginda SAW meninggalkan kita, tetap akan ada sejumlah individu, kumpulan
dan organisasi yang berusaha untuk menyambung misi perjuangan Rasulullah SAW.
Tinggal lagi, mungkin kerana
keluasan skop misi perjuangan Rasulullah SAW, kita dapati, kalaupun mereka ini
sama bersemangat untuk menyambung misi perjuangan beliau, akhirnya bentuk amal
Islami yang terhasil akan berbeza-beza pendekatan dan acuan penghayatannya.
Antara pendekatan-pendekatan
utama yang dapat kita perhatikan ialah pendidikan, kebajikan, politik, dakwah,
kerohanian, ekonomi dan termasuk juga jihad bersenjata.
Dalam kepelbagaian 'jalan' yang
dipilih, perlu rasanya dibuat penegasan bahawa misi utama dan teras kepada
perjuangan Rasulullah SAW adalah pendidikan. Malah tidak salah dikatakan bahawa
dimensi pendidikanlah yang lazimnya menjadi penentu kualiti dan keberkesanan
sudut-sudut lain perjuangan warisan Nabawi.
Keutamaan pendidikan dan pendidik
sebagai misi utama Nabi SAW jelas tampak dalam sumber al-Quran dan hadis
seperti dalam ayat yang bermaksud: Dia lah Yang telah mengutuskan Dalam
kalangan orang-orang (Arab) Yang Ummiyyin, seorang Rasul (Nabi Muhammad SAW)
dari bangsa mereka sendiri, Yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah (yang
membuktikan keesaan Allah dan kekuasaanNya), dan membersihkan mereka (dari
iktiqad Yang sesat), serta mengajarkan mereka Kitab Allah (Al-Quran) dan Hikmah
(pengetahuan Yang mendalam mengenai hukum-hukum Syarak). Dan sesungguhnya
mereka sebelum (kedatangan Nabi Muhammad SAW) itu adalah Dalam kesesatan yang
nyata. (al-Jumu'ah : 2)
Manakala satu hadis yang menarik
dalam soal ini ada diriwayatkan oleh Ibnu Majah dalam sunannya dan al-Darimi
dalam sunannya daripada Abdullah ibnu Amru ibnu al 'Aas r.a, beliau berkata:
"Pada satu hari, Rasulullah SAW keluar daripada salah satu biliknya dan
masuk ke masjid lalu Baginda berada antara dua kumpulan.
Salah satu daripadanya manusia
yang sedang membaca al-Quran dan berdoa kepada Allah Taala. Sementara yang satu
kumpulan lagi sedang belajar dan mengajar.
Lalu bersabda Rasulullah SAW
berkata: "Kesemua mereka adalah baik. Adapun orang yang membaca al-Quran
dan berdoa kepada Allah SWT, jikalau Allah SWT inginkan kebaikan kepada mereka,
nescaya Allah SWT akan beri, jikalau Allah SWT tidak menginginkan maka Dia akan
menegahnya. Adapun orang yang mengajar dan belajar, maka sesungguhnya saya
diutuskan sebagai pendidik," lalu Rasulullah SAW duduk bersama kumpulan
mereka." (Sunan Ibnu Majah :1:83)
Bukti kejayaan Nabi SAW sebagai
pendidik terlihat pada kualiti insan sebelum Baginda dibangkitkan dan
sesudahnya. Baginda telah berhasil mengubah masyarakat jahiliah yang tandus
daripada nilai kemanusiaan kepada satu generasi yang paling tinggi nilai
keperibadiannya.
Lahirlah di tangan Baginda SAW,
tokoh-tokoh perkasa berkeperibadian luhur yang muncul memimpin manusia secara
sambung-menyambung hingga buahnya dapat dinikmati hingga ke zaman ini.
Rasulullah cintai ilmu
Penekanan dan keutamaan yang
diberikan oleh Rasulullah SAW terhadap pendidikan juga dapat dirasakan apabila
kita meninjau beberapa sikap Rasulullah SAW dalam aspek ini.
Kitab al-Targhib wa al-Tarhib
oleh al Hafiz al-Munziri dalam bab al-Tarhib fi Katmi al-'Ilm (Celaan Terhadap
Menyembunyikan Ilmu) dan al-Hafiz Ibnu Hajar dalam Majma' al-Zawaid ada
merakamkan daripada 'Alqamah ibnu Saad ibnu Abd Rahman ibnu Abza daripada
ayahandanya daripada datuknya dari Abd. Rahman ibnu Abza r.a telah berkata,
Rasulullah SAW telah berkhutbah pada satu hari.
Baginda memuji Allah SWT dan
berdoa serta menyebutkan tentang sekumpulan orang Islam dan mendoakan kebaikan
ke atas mereka, lalu bersabda, "Alangkah malangnya kaum yang tidak
memahamkan dan mengajarkan agama kepada jiran-jiran mereka serta tidak
mencerdikkan mereka terhadap agama dan tidak pula menyuruh mereka membuat
kebaikan dan melarang membuat keburukan."
Allamah Syeikh Mustofa al-Zarqa
dalam kitabnya al-Madkhal al-Fiqhi al-'Aam telah mengulas hadis ini dengan
berkata, "Ini adalah satu pernyataan yang penting dan jelas bahawa
pengabaian terhadap pendidikan dan menuntut ilmu adalah merupakan jenayah
kemasyarakatan yang amat besar dan sewajarnya mereka yang terlibat dalam
jenayah ini dikenakan denda di dunia lagi. Jenayah kemasyarakatan ini akan
mengakibatkan pengabaian pelbagai kewajipan agama."
Oleh itu, apabila seorang alim
tidak melaksanakan peranannya mendidik dan seorang yang jahil tidak menunaikan
tugasnya untuk menuntut ilmu pengetahuan, maka wajib kedua pihak ini mendapat
hukuman denda terhadap kecuaian mereka.
Umum mengetahui bahawa Rasulullah
SAW telah mewajibkan menuntut ilmu dalam sabdanya yang bermaksud:
"Menuntut ilmu itu adalah wajib ke atas lelaki dan perempuan."
Daripada pengertian hadis ini,
dapat kita faham bahawa Nabi SAW mengkaitkan kefarduan menuntut ilmu dengan
sifat Islam seseorang sebagai peringatan bahawa sesiapa yang menisbahkan
dirinya sebagai seorang Islam, maka telah menjadi kewajipan padanya untuk menuntut
ilmu dan menjauhi kejahilan.
Rasulullah SAW juga
memperingatkan umatnya supaya mempelajari ilmu yang bermanfaat serta berwaspada
daripada ilmu yang tidak bermanfaat.
Mesej ini dapat difahami daripada
doa Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dalam satu hadis daripada Zaid
Ibnu Arqam r.a berkata: Bahawasanya Rasulullah SAW telah berdoa: Ya Allah, aku
berlindung denganMu daripada ilmu yang tidak bermanfaat, daripada hati yang
tidak khusyuk (lalai) , daripada nafsu yang tidak pernah puas dan daripada doa
yang tidak mustajab. (Sahih Muslim 17:41)
Nabi model pendidik
Sewajarnya bagi setiap orang yang
menjadi pembimbing dan pendidik manusia mempunyai sifat-sifat yang sesuai
dengan peranan yang dilakukan.
Dalam konteks ini, tidak ada di
sepanjang zaman seorang manusia pun yang mempunyai atau menghampiri ciri-ciri
kesempurnaan akhlak sebagaimana yang dimiliki oleh Rasulullah SAW sehingga
mendapat pujian unggul daripada Allah SWT sebagaimana firmannya: Dan bahawa
sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) mempunyai akhlak Yang amat mulia.
(al-Qalam :4)
Kesempurnaan yang dimiliki oleh
Rasulullah SAW adalah sifat-sifat yang seharusnya ada pada seorang pendidik dan
boleh diperincikan kepada empat perkara iaitu kesempurnaan kejadian,
kesempurnaan akhlak, kelebihan kata-kata dan kelebihan perbuatan.
Kesempurnaan zahir yang ada pada
Nabi SAW yang ditonjolkan oleh kesederhanaan tubuh badannya terdiri daripada;
1. Ketenangan yang membangkitkan
sifat hebat (menggerunkan) dan dipandang hebat. Sifat inilah yang telah
menyebabkan utusan Raja Kisra menggeletar ketakutan apabila berhadapan
dengannya. Sekalipun pandangan manusia kepadanya hebat tetapi Nabi SAW tetap
bersifat tawaduk tidak mengambil kesempatan untuk menguasai seseorang.
2. Air muka yang berseri
menyebabkan Baginda dicintai oleh setiap orang yang memandang wajahnya. Yang
hampir berharap ingin sentiasa bersamanya, yang jauh ingin berdekatan
dengannya.
3. Mendapat penerimaan yang
menjadikan semua hati cenderung untuk menerima apa sahaja yang datang daripada
Nabi SAW. Tidak ada yang mengingkari kecuali orang yang hasad.
4. Kecenderungan manusia untuk
mentaati Rasulullah SAW sekalipun perlu kepada kesabaran dan kesusahan yang
terpaksa mereka tetap berpegang teguh dan mentaati-Nya. Demikian antara
kesempurnaan fizikal yang dimiliki oleh Rasulullah.
Adapun kesempurnaan akhlak Nabi
SAW pula terdiri dari empat perkara iaitu:
*kebernasan fikiran, sangkaan dan
firasatnya.
*Sabar di atas segala kesusahan
dan rintangan.
*Zuhud terhadap dunia serta tidak
berkehendak dan tidak cenderung kepadanya.
*Tawaduk kepada manusia lain
sedangkan mereka semua adalah pengikutnya. Bermesra dengan sahabatnya tanpa ada
jurang pemisah yang membezakan mereka.
*Berlemah lembut dengan manusia
serta mudah mesra dan simpati dengan manusia lain. Sehingga setiap orang
merasakan Rasulullah SAW seumpama ayah mereka.
*Memelihara janji dan tidak
pernah memungkirinya.
Kelebihan Rasulullah dari sudut
pengucapannya pula ialah:
1. Diberikan kepadanya
kebijaksanaan dari segi menuturkan ucapan. Perkataannya dipenuhi dengan seni
bahasa Arab yang terdiri daripada balaghah, ma'ani dan badi'. Walaupun begitu
perkataan Rasulullah mudah difahami oleh mereka yang ingin menerimanya.
2. Menghafaz apa-apa yang dikhabarkan
oleh Allah kepadanya dari kisah-kisah para nabi terdahulu dalam hafalan dadanya
tanpa dicatat.
3. Perkara-perkara yang
disuruhnya adalah terdiri dari perkara yang baik-baik dan adab-adab yang
tinggi.
Kelebihan perbuatan Rasulullah
SAW pula dapat dilihat dari berapa sudut. Antara ialah:
1. Elok perjalanan hidupnya dan
tepat perancangannya.
2. Sederhana dalam melakukan
perkara yang disyariatkan tanpa berlebihan atau kekurangan.
3. Tidak menjadikan sahabatnya
terlalu cenderung terhadap hal keduniaan dan tidak pula menolak dunia secara
keseluruhannya.
Kita tidak menafikan bahawa
agenda pendidikan ada digarap dalam pelbagai pendekatan individu dan kumpulan
yang beridealismekan perjuangan Rasulullah SAW di zaman kita ini.
Cuma yang harus dimuhasabah
adalah setakat mana agenda ini diberi tempat yang utama dan sepatutnya dalam
kerangka gerak kerja masing-masing. Juga setakat mana ciri-ciri acuan
pendidikan Rasulullah SAW yang hakiki telah dihayati.
Seperti yang dihimbau di atas,
sebagai pendidik ulung, acuan pendidikan Rasulullah SAW dicirikan oleh gaya
penerangannya yang jelas, tuturan yang fasih, gaya bahasa yang indah, isyarat
fizikal yang menawan, sinaran roh yang memancar, sifat kasih sayang yang tebal
serta kebijaksanaan yang tiada tolok bandingnya. Semoga kita semua mampu
menterjemahkannya dalam diri dan organisasi kita.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1026&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm#ixzz5Ybp7s5ye
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment