ARKIB : 26/10/2009
Susunan SITI AINIZA KAMSARI
PADA suatu masa di Kota Mekah, di
satu kawasan yang dikenali Shafa yang tidak berapa jauh dari Kaabah, tinggal
sepasang suami isteri di sebuah rumah yang sentiasa dihias cantik dan lebih
mewah berbanding jiran-jirannya yang lain.
Namun rumah pasangan ini sentiasa
tertutup pintu dan tingkapnya yang memberikan gambaran penghuninya mempunyai
sifat dengki, tamak haloba, sombong dan egoistik.
Pasangan suami isteri itu tidak
lain tidak bukan ialah Abu Lahab dan isterinya, Ummu Jamil.
Nama sebenar Abu Lahab ialah
Abdul Uzza, putra tokoh Quraisy yang disegani, Abdul Mutalib yang juga saudara
tokoh-tokoh yang disegani di kalangan kaum itu iaitu Abdullah, Abu Talib dan
Abbas.
Akan tetapi, Abu Lahab memiliki
sifat yang tidak sama dengan saudara-saudaranya itu, baik dalam hal kesopanan,
keberanian mahupun yang lain. Abu Lahab (perkataan Arab yang bermakna mempunyai
kulit yang putih dan cerah) mungkin kebetulan boleh disamakan dengan perkataan
Melayu kita 'lahab.'
Ini kerana Abu Lahab memang
terkenal sikap rakus dan tamak dalam banyak hal. Perbuatan beliau yang dianggap
paling melampaui batas apabila Abu Lahab dikatakan pernah mencuri emas-emas
yang terdapat di Kaabah.
Isterinya, Ummu Jamil juga
seorang yang ego, suka berdengki dan pelbagai perangai buruk yang lain.
Sifat-sifat buruk itu sebagai menutup kekurangan yang ada pada dirinya, iaitu
sebelah daripada matanya, buta.
Cacat pada matanya itu
membuatkannya selalu merasa iri kepada sesiapa sahaja.
Sehinggalah pada suatu Subuh yang
hening, Ummu Jamil hampir-hampir bergaduh dengan suaminya apabila tidur mereka
terganggu dek satu suara yang melaung-laung dan memanggil orang ramai untuk
berkumpul.
Abu Lahab begitu memarahi
isterinya kerana dia masih mahu tidur dan pening kerana mabuk.
"Celaka aku keranamu wahai
perempuan jahat!" kata Abu Lahab terhadap isterinya itu.
Lalu dibalas juga oleh Ummu Jamil
dengan kata-kata yang kesat. "Aku pun celaka kerana kau wahai pemalas yang
suka tidur! Demi kebenaran berhala, jika kamu tidak memberitahuku (siapa yang
melaung-laungkan suara itu) nescaya tidak akan ku biarkan kamu tidur dengan
tenang walau sekejap!" katanya.
Akhirnya Abu Lahab bingkas bangun
dan mahu menyertai perhimpunan setelah beliau dapat mengenalpasti suara yang
memanggil-manggil itu iaitu tidak lain tidak bukan anak saudaranya sendiri,
Nabi Muhammad.
"Pasti itu Muhammad yang
memanggil kita kerana ada suatu hal yang penting," kata Abu Lahab.
"Barangkali ada harta yang
akan diberi olehnya kepada kita," sampuk Ummu Jamil.
Abu Lahab pun segera menyertai
anak saudaranya yang ketika itu telah berada di atas Bukit Safa dan menyeru
kepada seluruh yang hadir.
"Apakah kamu akan percaya
seandainya ku katakan kepadamu bahawa seekor keldai telah keluar dari kaki
bukit ini?" teriak Nabi Muhammad kepada semua yang hadir.
"Kamu tidak pernah mendustai
kami, kami mempercayai kamu!" ujar mereka hampir serentak.
Lalu Nabi Muhammad pun berkata;
"Sesungguhnya aku adalah seorang pemberi peringatan kepadamu sebelum kamu
menghadapi azab yang pedih!"
Abu Lahab yang mendengar
kata-kata anak saudaranya itu terus pergi meninggalkan kaki Bukit Safa itu
dengan marah-marah.
Abu Lahab sangat marah lalu
berteriak dengan suara yang nyaring; "Celakalah kamu untuk selama-lamanya.
Hanya untuk itukah kamu kumpulkan kami di sini?".
Daripada peristiwa inilah, Allah
mengutuk Abu Lahab kerana sikapnya yang degil dan begitu memusuhi Islam dengan
diturunkan-NYA surah al-Masaad (Bernyala-nyala), ayat 1 hingga 5, bermaksud:
Binasalah kedua-dua tangan Abu Lahab dan sesungguhnya dia akan binasa. Hartanya
dan segala yang diusahakannya tidak dapat menolongnya. Dia akan masuk ke dalam
api neraka yang marak menjulang. Dan juga isterinya (Ummu Jamil) seorang
pemunggah kayu api. Dilehernya ada tali daripada tali-tali yang dipintal
daripada sabut.
(Sesetengah riwayat mengatakan
ayat itu diturunkan sebagai mengecam tindakan Ummu Jamil yang suka menyakiti
Rasulullah di kemuncak penentangan pasangan suami isteri ini terhadap baginda)
Setibanya di rumah, Abu Lahab
disambut oleh isterinya yang kehairanan melihat kepulangan suaminya itu.
"Celakalah kamu wahai
perempuan! Mengapa aku harus lama di sana. Kalau yang aku dapat hanyalah si
Muhammad yang hendak mengajak kita semua supaya menerima ajaran baru dia
itu," jawab Abu Lahab.
Mereka suami isteri semakin tidak
senang duduk dengan perkembangan Islam yang semakin diterima oleh masyarakat
Arab Quraisy. Mereka menjadi semakin dengki namun tahukah anda apakah faktor
sebenarnya yang menjadikan mereka begitu benci kepada Islam?
Adakah semata-mata kerana
menyembah berhala itu satu ajaran yang sangat mulia dan mesti dipertahankan?
Kata Abu Lahab kepada Ummu Jamil:
"Kini kita perlu sedar setelah melihat kenyataan yang terjadi. Bahayanya
mengenai Islam semakin diterima ramai apabila tidak akan ada lagi utusan atau
orang Arab yang akan datang untuk mempersembahkan korban mereka kepada
berhala-berhala kita.
"Kita tidak akan mendapat
manfaat dengan seruan (Islam) Muhammad itu. Bukankah demikian wahai Ummu
Jamil?" kata Abu Lahab.
Ternyata merekalah yang selama
ini berkongsi hasil daripada penyembahan dan segala macam objek yang dijadikan
korban kepada berhala-berhala.
Bukan kerana mempertahankan agama
nenek moyang seperti yang selalu mereka laung-laungkan.
Sejak itu mereka suami isteri
sentiasa berusaha untuk menyekat perkembangan Islam secara lebih serius.
Ini termasuklah Abu Lahab akan
mengekori anak saudaranya yang keluar untuk menyampaikan dakwah Islamiah dan
kemudian akan memburuk-burukkan Nabi di hadapan orang ramai dengan pelbagai
kata yang menghina dan menyakitkan hati.
Sementara apa yang dilakukan oleh
Ummu Jamil adalah lebih dahsyat lagi. Setiap hari beliau akan keluar untuk
mengumpulkan kayu-kayu yang tajam dan penuh duri untuk ditaburkan di hadapan
rumah dan sepanjang jalan yang sering dilalui oleh Nabi Muhammad.
Dikatakan tidak ada ruang sedikit
pun di permukaan jalan tersebut kecuali semua penuh dengan duri yang pelbagai
bentuk yang menyebabkan tanpa baginda sedari, baginda akan terpijak dan melukakan
kakinya.
Maka itulah yang dilakukan oleh
Ummu Jamil setiap hari kerana dia merasakan satu kebahagiaan dan kepuasan yang
luar biasa setiap kali meletakkan duri-duri itu dan menyakiti anak saudaranya
itu.
Untuk bertindak lebih jahat, dia
kemudiannya melaksanakan satu lagi misi terhadap Rasulullah dan kali ini
melibatkan hubungan kedua-dua buah keluarga.
Ummu Jamil segera menemui
anaknya, Uthbah yang mengahwini anak perempuan Rasulullah yang bernama Ruqayyah
dan seorang lagi anaknya, Mukhtab yang juga berkahwin dengan seorang lagi anak
perempuan baginda yang bernama Ummu Kalsum.
Benar, Abu Lahab dan isterinya
itu selama ini bukan sahaja mempunyai hubungan bapa saudara dan anak saudara
dengan Nabi Muhammad malah mereka sebenarnya adalah berbesan.
Dek kerana bencinya Ummu Jamil
terhadap besannya itu, beliau kemudiannya memaksa anak-anak lelakinya itu
supaya menceraikan isteri masing-masing. Sehingga ke tahap itu sekali sehingga
sanggup memutuskan hubungan yang suci semata-mata memenuhi nafsu syaitannya
itu.
Pastinya Uthbah dan Mukhtab tidak
dapat memenuhi kehendak ibu mereka yang melampau itu kerana selama ini mereka
tidak menghadapi sebarang masalah dan bahagia dengan pasangan hidup
masing-masing.
"Baiklah, jika itu keputusan
kalian ibu akan pergi Kaabah dan akan bersumpah di hadapan berhala-berhala yang
ada di situ, bahawa kamu semua bukan anak ibu lagi kerana kamu telah
derhaka!" ancam Ummu Jamil.
Walaupun terkejut namun demi
seorang ibu, mereka terus menemui bapa mertua, Nabi Muhammad.
Lalu melafazkan di hadapan
baginda; "Mulai saat ini, kami menceraikan puteri-puteri anda yang kami
kahwini selama ini dan mula menentang agama yang anda cuba sebarkan demi maruah
berhala-berhala yang mulia!"
Rasulullah yang terkejut dengan
tindakan menantu-menantu baginda itu tidak mampu melakukan apa-apa kecuali
berdoa moga balasan yang setimpal ditimpakan terhadap keluarga Abu Lahab ini.
Ummu Jamil benar-benar bersorak
kegembiraan atas tekanan demi tekanan yang beliau lakukan terhadap Rasulullah.
Namun semua itu masih tidak
menghentikannya daripada terus menyakiti Rasulullah. Sehingga di akhir
hayatnya, Ummu Jamil dalam usia lanjut akhirnya menemui ajal kerana keletihan
menaburkan duri-duri di atas jalan bagi melukakan Nabi Muhammad itu.
Kisah Abu Lahab dan keluarganya
ini merupakan kisah yang dikutip dari sebuah buku lama yang bertajuk Profil Di
Balik Cadar - Kisah Wanita Dalam al Quran, karya Jabir Asy-syal (terbitan tahun
1986). Penulis memegang ijazah kedoktoran dalam Sastera Cum Laude dari Universiti
Iskandariah Mesir, 1961
Walaupun pernah diceritakan
mengenai kedua-dua mereka sebelum ini tetapi menerusi buku ini rasanya masih
banyak mengenai Ummu Jamil dan Abu Lahab yang hendak dikongsi bersama.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1026&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm#ixzz5YblRtav5
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment