ARKIB : 31/12/2009
Oleh SAYED HESHAM IDRIS
sukan@utusan.com.my
KUALA LUMPUR - Skuad bola sepak
kebangsaan yang membawa pulang pingat emas pada Sukan SEA XXV Laos, meneruskan
persembahan menyakinkan apabila mengalahkan Syria 4-1 pada perlawanan
persahabatan di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi.
Pasukan bimbingan K. Rajagobal
yang menamatkan penantian 20 tahun pingat emas acara bola sepak Sukan SEA di
Laos, baru-baru ini menang hasil penalti pada kedua-dua babak yang
disempurnakan oleh Shafiq Rahim.
Zaquan Adha Abdul Razak
mengukuhkan kedudukan hasil jaringan pada minit ke-77.
K. Gurusamy memadamkan sisa harapan
Syria menerusi gol keempat pada minit ke-90.
Pasukan lawan memperoleh jaringan
sagu hati juga menerusi sepakan penalti pada minit ke-63.
Perlawanan semalam merupakan
perlawanan persahabatan tunggal yang diharungi oleh skuad kebangsaan yang
sedang dalam persediaan untuk perlawanan kelayakan Piala Asia 2011 menentang
Emiriyah Arab Bersatu (UAE) di Dubai pada 6 Januari ini.
Peluang kita untuk layak ke
pusingan akhir Piala Asia 2011 sukar apabila gagal mengutip sebarang mata dalam
Kumpulan C yang dihuni oleh Uzbekistan dan UAE.
Satu-satunya peluang untuk layak
ke pusingan akhir ialah dengan menang besar ke atas UAE. Selepas itu, Malaysia
terpaksa mengharapkan UAE kalah besar apabila berdepan Uzbekistan.
Walaupun tiada aksi pantas
seperti ketika perlawanan akhir acara bola sepak Sukan SEA XXV menentang
Vietnam, jentera serangan skuad kebangsaan yang diterajui Zaquan Adha
melancarkan asakan bertali arus.
Malaysia sepatutnya di depan
seawal minit kedua apabila Zaquan Adha hanya berdepan dengan penjaga gol lawan
tetapi sepakannya jauh tersasar.
Zaquan hampir menebus kehampaan
kerana gagal menyempurnakan peluang gol awal apabila berjaya meletakan bola ke
dalam gawang Syria pada minit ke-15 tetapi bola lebih awal telah keluar dari
garisan gol.
Bermula asakan dari bahagian
tengah, Norshahrul yang membawa bola sehingga ke kawasan penalti dijatuhkan
pada minit ke-30 sehingga memberikan penalti kepada skuad Rajagobal.
Shafiq Rahim yang diberi
tanggungjawab mengambil sepakan penalti, tenang memperdaya penjaga gol lawan.
Dominasi Malaysia berterusan di
babak kedua namun sekurang-kurangnya tiga peluang gol dalam tempoh 10 minit
pertama selepas bermain bersambung dihampakan oleh penyudah tumpul.
Mirip gerakan yang membawa
sepakan penalti pertama yang memberikan gol awal kepada skuad negara,
Norshahrul sekali lagi dijatuhkan di dalam kawasan penalti pada minit ke-62.
Shafiq sekali lagi tidak
mengecewakan hampir 3,000 penyokong apabila tenang menyempurnakan sepakan
penalti.
Zaquan mencatat nama sebagai
penjaring menerusi jaringan pada minit ke-77 sebelum Gurusamy melengkapkan
kemenangan bergaya hasil jaringan pada minit ke-90.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1231&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5YiaR7bgl
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment