ARKIB : 29/12/2009
PADA suatu hari, Nabi Muhammad
bersama sekumpulan orang Islam telah berhijrah ke Madinah. Penduduk Madinah
menyambut baik kedatangan Nabi Muhammad. Masing-masing berebut-rebut menjemput
Nabi Muhammad tinggal dirumah mereka.
Melihat keadaan itu, Nabi
Muhammad pun berkata: "Saya akan ikut sahaja ke mana arah dan tempat unta
yang saya tunggang ini akan berhenti. Maka di situlah tempat saya akan
menginap."
Dengan izin Allah unta yang
ditunggang oleh Nabi Muhammad berhenti betul-betul di hadapan rumah Abu Ayyub
Khalid bin Zaid. Dia lebih dikenali dengan panggilan Abu Ayyub al-Anshari.
Kedatangan Nabi Muhammad ke rumah
Abu Ayyub disambut baik oleh tuan rumah. Isteri Abu Ayyub yang bernama Ummu
Ayyub binti Qais bin Saad al-Khazrajiyah al-Anshariyah juga menyambut baik
kedatangan Nabi Muhammad.
Ummu Ayyub sangat gembira kerana
mendapat tetamu iaitu Nabi Muhammad. Bermula pada hari itu Ummu Ayyub dan
suaminya melayani Nabi Muhammad dengan baik di rumahnya.
Rumah Abu Ayyub mempunyai dua
buah bilik iaitu satu di bahagian bawah dan satu di bahagian atas.
Ummu Ayyub berkata kepada
suaminya, "saya cadangkan Nabi Muhammad tidur di bilik atas. Kita tidur
sahaja di bilik bawah ini."
Mendengar cadangan itu Abu Ayyub
pun berkata, "Saya bersetuju dengan cadangan awak. Saya akan ajukan
cadangan ini kepada Nabi Muhammad."
menghormati tuan rumah
Tanpa berlengah, Abu Ayyub
bergegas berjumpa dengan Nabi Muhammad lalu berkata: "Wahai tuan,
jemputlah tidur di bilik atas sahaja. Bilik atas lebih selesa buat tuan."
Nabi Muhammad tersenyum lalu
berkata: "Terima kasih atas pelawaan awak itu. Sebagai menghormati tuan
rumah, bagi saya lebih baik saya tidur di bilik bawah sahaja".
Abu Ayyub tidak dapat berbuat
apa-apa lagi. Dia akur dengan jawapan yang diberikan oleh Nabi Muhammad.
Pada malam itu Abu Ayyub dan
isterinya tidur di bilik atas. Mereka tidak selesa dengan keadaan itu. Selang
beberapa jam kemudian, tiba-tiba bekas air yang terdapat di bilik mereka pecah.
Air melimpah ke atas lanta bilik. Lantai bilik mereka ada lubang-lubang kecil.
"Cepat ambil selimut itu.
Lapkan air yang tumpah ini," kata Ummu Ayyub kepada suaminya.
Sementara itu Ummu Ayyub mengelap
air yang tumpah dengan kain lain. Dia tidak mahu Nabi Muhammad terjaga dari
tidur akibat terkejut dengan titisan air yang tumpah dari bilik atas rumah itu.
Pada keesokan harinya, Ummu Ayyub
bangun dari tidur dan berkata kepada suaminya: "Saya harap Nabi Muhammad
tidak terkejut dari tidurnya semalam. Air yang tumpah itu terlalu banyak
sehingga selimut kita basah."
Abu Ayyub juga risau akan
peristiwa yang berlaku semalam. Pada pagi itu, Abu Ayyub segera berjumpa dengan
Nabi Muhammad dan berkata: "Tuan, saya merayu pada tuan supaya tidur di
bilik atas sahaja. Tidak elok tetamu saya tidur di bilik bawah. Saya berasa
tidak selesa sekiranya tuan terus tinggal di bilik bawah."
Selepas Abu Ayyub merayu kepada
Nabi Muhammd akhirnya Nabi Muhammad bersetuju untuk berpindah ke bilik atas.
Ummu Ayyub sangat menghormati Nabi Muhammad.
Segala keperluan makan dan minum
Nabi Muhammad dijaga dengan baik oleh pasangan suami isteri itu. Ummu Ayyub
juga mengetahui makanan kegemaran Nabi Muhammad ialah sup.
Pada satu malam, Nabi Muhammad
menerima hadiah berupa makanan dari Saad bin Ubbadah. Makanan itu dipenuhi
dengan sup. Nabi Muhammad makan sup itu dengan penuh selera sehingga habis.
Mulai malam itu, Ummu Ayyub selalu
menyediakan makanan berbentuk sup untuk Nabi Muhammad.
Ummu Ayyub juga turut menyediakan
bubur campuran daging buat Nabi Muhammad. Hidangan yang disediakan oleh Ummu
Ayyub untuk Nabi Muhammad dijamah dengan penuh selera oleh Nabi Muhammad.
Baginda tinggal di rumah Abu
Ayyub selama tujuh bulan. Kebaikan yang ditonjolkan oleh Ummu Ayyub merupakan
satu contoh teladan yang boleh kita ikuti. Ummu Ayyub sangat menghormati dan
melayani kehendak tetamunya dengan baik.
Sepanjang hayatnya, Ummu Ayyub
turut melaporkan hadis daripada Nabi Muhammad. Sejarah Islam mengatakan bahawa
Ummu Ayyub adalah seorang wanita yang sangat beruntung dan bertuah kerana
pernah menjaga makan dan minum Nabi Muhammad.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1229&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm#ixzz5YiHHrut7
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment