Ad

Friday, 28 February 2020

Aksi 90 minit jadi penentu-Baddrol [METROTV]

MyMetroArena
 
Rizar Mohd Noor
rizar@mediaprima.com.my
“KAMI ada 90 minit perlawanan dan apa-apa sahaja boleh terjadi,” itu yang dikatakan kapten Kedah, Baddrol Bakhtiar yang tampak optimis rakan sepasukannya mampu mengimbangi kekuatan Johor Darul Ta’zim (JDT) pada aksi pembuka tirai Liga Super dan juga perebutan Piala Sumbangsih di Stadium Sultan Ibrahim malam esok.

Baddrol berkata, tumpuan 90 minit perlawanan menjadi penentu untuk Kedah bagi mencipta kejutan ke atas JDT dan berharap rezeki memihak skuad Lang Merah untuk meraih keputusan positif walaupun sedar agak sukar untuk menumbang skuad yang berstatus juara liga enam musim berturut-turut.

“Jika semua perancangan taktikal membuahkan hasil, tidak mustahil Piala Sumbangsih akan di bawa pulang ke negeri Jelapang Padi. Justeru faktor beraksi dengan penuh semangat dan tidak gentar bukan sahaja berdepan JDT tapi pemain ke-12 iaitu penyokong mereka harus diketepikan,” katanya.

Ditanya mengenai pertembungan dia dan Liridon Krasniqi pada perlawanan itu taktala kedua-dua pemain itu pernah beraksi bersama enggan memikirkan kelibat pemain naturalisasi JDT itu.

Sebaliknya, dia mahu memikirkan corak permainan JDT terutama kesebelasan utama pasukan itu malah persiapan Kedah juga tidak berdepan masalah tatkala lebih mengutamakan taktikal.

Sementara itu, kapten JDT, Hariss Harun menegaskan aksi pembuka tirai Liga Super cukup penting buat skuad itu untuk memulakan saingan dengan langkah kanan dan juga mahu mengekalkan Piala Sumbangsih di Johor.

Hariss juga berpendapat betapa Kedah bukan calang-calang pasukan dan setiap pemain JDT harus berwaspada apabila kedua-dua pasukan bertembung pada aksi di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam esok.

Katanya, pada musim lalu, JDT menutup tirai liga dengan memenangi Piala Malaysia dan pada musim baharu keinginan untuk memulakan saingan dengan kemenangan tiga mata dan menjulang piala tampak begitu menebal.

“Enam musim berturut-turut JDT beraksi di pentas Piala Sumbangsih dan pastinya ia pencapaian membanggakan. Tiga mata pertama tatkala beraksi di ‘rumah baharu’ sememangnya harus menjelmakan kemenangan.

“Aksi menentang Kedah, kami harus fokus melebihi 100 peratus dan tidak mahu memikirkan pencapaian yang lalu kerana kemenangan mampu melonjak moral pemain bagi mengharungi saingan liga nanti dan kami ada tanggungjawab yang perlu dipikul,” katanya.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Februari 2020 @ 11:40 PM

No comments:

Post a Comment