MyMetroArena
Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my
KELAB Jepun, Vissel Kobe nyata berada dalam kelas tersendiri apabila mudah membenam cabaran Johor Darul Ta'zim (JDT) 5-1 dalam aksi pertama Kumpulan G saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL), malam ini.
Vissel Kobe yang masih segar dengan kejayaan memenangi Piala Super Fuji Xerox dengan menewaskan Yokohama FM Sabtu lalu menguasai hampir 60 peratus permainan di Stadium Misaki Park, Kobe, Jepun itu.
Skuad Harimau Selatan yang tampil buat musim kedua berturut-turut di pentas ACL sebaliknya kerap melakukan kesilapan mudah termasuk adegan 'jatuh sendiri' sama ada ketika melancarkan serangan mahupun bertahan.
Malah, gol kedua tuan rumah hasil kesilapan S Kunalan yang terjatuh di depan kotak penalti sebelum mudah dihukum jentera depan lawan.
Seperti dijangka, bekas tonggak Barcelona dan pemenang Piala Dunia 2010 bersama pasukan Sepanyol, Andres Iniesta menjadi duri dalam daging buat JDT apabila hantaran cantiknya pada minit ke-13 berjaya disudahkan Keijiro Ogawa yang bijak melambungkan bola buat menewaskan Farizal Marlias.
JDT yang dinobatkan Kelab Terbaik Piala AFC Sepanjang Dekad oleh Konfederasi Bolasepak Asia pada Ahad lalu, tidak mudah berputus asa apabila berjaya mengikat kedudukan 1-1 pada minit ke-27.
Jaringan itu disumbangkan penyerang muda Harimau Malaya, Safawi Rasid menerusi sepakan penalti selepas bola hantaran Diogo terkena tangan tonggak pertahanan, Thomas Vermaelen.
Namun, keceriaan penyokong pelawat tidak kekal lama apabila seminit kemudian Kyogo Furuhashi mudah menyumbat gol kedua hasil 'bantuan' Kunalan yang terjatuh di depannya sekaligus membuka ruang untuk melakukan rembatan.
Bersambung babak kedua, tidak banyak yang mampu dilakukan anak buah Benjamin Mora apabila terus ketinggalan sekali lagi menerusi ledakan Ogawa di minit 58 sebelum penyerang import dari Brazil, Douglas Matos melebarkan kedudukan 4-1 minit 64.
Ogawa dilihat begitu serasi bersama Iniesta dan dia sekali lagi bijak membaca hantaran ketua pasukan itu buat meledak gol kelima pada minit ke-72 yang juga hatriknya dalam perlawanan itu.
SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Februari 2020 @ 8:07 PM
No comments:
Post a Comment