Ad

Friday, 7 February 2020

Salah pengadil!

MyMetroNode
 
Mutu pengadilan berat sebelah nyata menyumbang kepada kekalahan kedua skuad Bawah 15 (B-15) negara dalam saingan Torneo Delle Nazioni 2017 apabila tumbang 0-2 di tangan tuan rumah Austria dalam perlawanan di Padang Enam Kotschach, Austria, semalam.

Perkara itu turut diakui pengendali pasukan, Lim Teong Kim yang mempersoalkan keputusan pengadil memberikan sepakan penalti kepada tuan rumah biarpun jelas pergelutan dalam kotak penalti itu sekadar sentuhan biasa.

“Mereka tak sepatutnya meraih penalti kerana perebutan bola itu bagi saya 50-50. Malah, banyak lagi keputusan pengadil yang terang-terang memihak pasukan tuan rumah.

“Sekiranya sepakan penalti itu tidak diberikan, mungkin keputusan perlawanan boleh berubah. Jelas sekali kita mengawal permainan dari mula hingga akhir tapi jika mutu pengadil seperti ini (berat sebelah), saya rasa pasukan terkuat dunia pun akan kalah,” katanya sejurus tamat aksi.

Pada aksi berlangsung dalam cuaca hujan itu, skuad negara bermula positif apabila hampir menerjah gawang Austria pada minit ke-5 namun percubaan dari luar kotak penalti Luqman Hakim Shamsudin dinafikan penjaga gol tuan rumah, Philipp Jorganovic.

Selang dua minit kemudian, Austria hampir mendahului pelawat menerusi tandukan penyerang utamanya Bernhard Zimmermann selepas menerima hantaran silang rakan sepasukan, namun Sikh Izhan Nazrel bertindak cemerlang untuk merebahkan badannya bagi menghalang percubaan itu.

Memasuki pertengahan babak pertama, skuad kendalian Teong Kim cuba meningkatkan tekanan ke kubu tuan rumah yang menyaksikan Jorganovic agak sibuk mengawal gawangnya.

Bagaimanapun, pada minit ke-25 Austria dihadiahkan sepakan penalti selepas tonggak tengah negara Harith Haikal Adam Afkar menjatuhkan pemain tuan rumah dalam kotak penalti dan Zimmermann yang ditugaskan mengambil sepakan itu mudah menewaskan Izhan.

Memulakan babak kedua, Teong Kim membuat beberapa pertukaran khususnya di bahagian tengah dengan memasukkan Harith Naem dan Aiman Haikhal bagi memburu gol penyamaan.

Percaturan itu bagaimanapun tidak berhasil apabila skuad negara dibolosi pada minit ke-46 hasil jaringan Alejandro Dominguez menerusi sepakan rendah ke penjuru kiri penjaga gol negara itu.

Jelas, gol itu menyentap semangat pemain negara untuk bangkit dan kedudukan 0-2 kekal hingga tamat permainan, sekali gus menutup peluang negara melangkah ke separuh akhir.

“Selepas ini (hari ini) kita akan bertemu Croatia bagi melengkapkan aksi peringkat kumpulan. Saya tetap mahukan kemenangan buat meletakkan pasukan berada pada undian terbaik untuk aksi klasifikasi 5 hingga 12,” katanya.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 April 2017 @ 8:49 AM

No comments:

Post a Comment