Khamis, 6 Februari 2020 | 7:46pm
FOTO ihsan Facebook FA Kedah
Perak, Kedah berentap tentukan siapa jaguh Utara
IPOH: Perak dan Kedah sekali lagi bakal membuat perhitungan bagi merebut kejuaraan edisi kedua Unity Shield 2020 di Stadium Perak di sini, 15 Februari ini.
Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA), Mohammad Azlin Mohd Nazri berkata perlawanan itu akan dijadikan sebagai medan terbaik untuk membalas dendam kekalahan 0-2 pada edisi sulung di Stadium Darul Aman, Kedah, tahun lalu.
“Selain itu, Unity Shield ini juga akan dijadikan sebagai perlawanan oleh jurulatih untuk menguji keserasian para pemain Perak sebelum Liga Malaysia (Liga-M) bermula.
“Selebihnya, kita akan menjadikan perlawanan ini sebagai medan untuk himpunkan ribuan peminat Perak dan Kedah khususnya," katanya pada sidang media pengumuman perlawanan berkenaan di Pejabat PAFA, di sini hari ini.
Unity Shield adalah kejuaraan yang diilhamkan oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Datuk Seri Mukhriz Mahathir dengan bertujuan mengeratkan hubungan antara dua pasukan berkenaan dan berlangsung mengikut giliran sama ada di Ipoh atau Alor Setar.
Mohammad Azlin berkata bayaran masuk yang dikenakan bagi perlawanan berkenaan adalah sebanyak RM10 bagi tempat duduk teres manakala RM5 untuk kanak-kanak.
“Hasil kutipan tiket itu nanti akan disumbangkan kepada beberapa bekas pemain Perak yang hidup dalam kesusahan dan kita harap ia sedikit sebanyak mampu meringankan bebanan mereka," katanya.
Selain itu, mengulas tentang sesi pengenalan pemain dan jersi pasukan, beliau berkata program berkenaan akan diadakan sebelum sepak mula Liga-M berlangsung pada 28 Februari ini.
“Tarikh dan tempat kita belum muktamadkan lagi dan seperti mana yang diperkatakan oleh presiden, kita kemungkinan besar akan buat program berkenaan dalam skala yang kecil bagi mengelakkan pembaziran," katanya. – BERNAMA.[i]
[i] https://www.bharian.com.my/sukan/bola/2020/02/653272/perak-kedah-berentap-tentukan-siapa-jaguh-utara
No comments:
Post a Comment