Sabtu | 15 Februari 2020
MyMetroArena
Rizar Mohd Noor
rizar@mediaprima.com.my
APAKAH pemain bek kanan Pahang, Matthew Davies bakal menyertai Johor Darul Ta'zim (JDT) bagi mengharungi kempen Liga Super yang bakal menyingkap tirai 28 Februari ini.
Perkhabaran pemain kebangsaan itu berhijrah ke Harimau Selatan kini hangat diperdebatkan di laman media sosial walaupun di laman rasmi Johor Southern Tigers dan Persatuan Bola sepak Pahang (PBNP) sepi seribu bahasa.
Namun jemputan daripada pihak pengurusan JDT kepada media bagi majlis memperkenalkan pemain baharu juara Liga Super enam musim berturut-turut di Ibu pejabat Kelab Bola sepak JDT di Iskandar Puteri pada Isnin ini bagaikan merungkai spekulasi pemain mana yang akan bersama pasukan itu.
Jika Davies yang akan menyertai skuad Harimau Selatan ia pastinya menarik tatkala JDT turut membantu skuad Tok Gajah apabila meminjamkan Fazly Mazlan dan S Kumaaharan menyertai skuad bimbingan Dollah dan kemungkinan juga ia sebahagian perjanjian antara JDT dan Pahang.
Dikhabarkan keinginan JDT untuk mendapatkan pemain bek kanan tampak begitu memuncak selepas persembahan tidak konsisten S Kunanlan pada saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) pada pertembungan menentang Vissel Kobe yang menyaksikan skuad Harimau Selatan tewas 1-5.
Malah ia diperkukuhkan lagi dengan kecederaan yang dialami Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham yang mungkin memakan masa panjang untuk pulih dan posisi bek kanan ketika ini hanya diisi oleh Kunanlan dan Adam Nor Azlin.
Adam yang beraksi di posisi di bek tengah terpaksa memikul tugas di posisi bek kanan jika diperlukan.
Spekulasi bertambah kukuh tatkala kelibat Davies kemungkinan akan menyertai skuad Harimau Selatan apabila dia tidak kelihatan pada sesi latihan malah tidak diturunkan dalam aksi persahabatan terbaharu skuad Tok Gajah.
Apapun, segala jawapan sama ada Davies atau pemain lain yang akan diumumkan sebagai pemain baharu skuad Harimau Selatan hanya akan ditentukan Isnin ini.
SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Februari 2020 @ 2:35 PM
No comments:
Post a Comment