Ad

Tuesday, 11 February 2020

Iniesta 'vs' Safawi siapa lebih hebat

MyMetroArena
 
Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my
KETIKA mata bakal terarah kepada tonggak tengah Vissel Kobe, Andres Iniesta apabila turun menentang Johor Darul Ta'zim (JDT), kelibat bintang muda negara Safawi Rasid tidak boleh diketepikan begitu saja pada aksi sulung Kumpulan G Liga Juara-Juara Asia (ACL) malam esok.

Pertembungan kedua-dua pemain itu sememangnya ditunggu penyokong pasukan masing-masing dengan Iniesta bakal memainkan peranan sebagai 'arkitek' penting untuk menghidupkan jentera serangan kelab dari Jepun itu.

Manakala Safawi yang diiktiraf antara pemain ‘future wonderkid’ oleh laman sosial bola sepak antarabangsa 'Striker' yang mengiktirafnya sebaris bintang muda dunia, Kylian Mbappe dan Christian Pulisic, mampu menghadirkan kejutan dengan menjaringkan gol penting untuk menghadiahkan mata buat JDT.

Seperti aksi terdahulu, Safawi sering muncul sebagai 'hero' apabila berdepan pasukan gergasi dengan menjaringkan gol seperti dibuktikannya ketika membantu Malaysia membenam Korea Selatan 2-1 di Sukan Asia dua tahun lalu.


Malah, gol cantik menerusi rembatan padu kaki kiri ketika menentang Shandong Luneng dalam saingan Kumpulan E ACL musim lalu nyaris mengikat Shandong sebelum tumpas 1-2 ketika kelab dari China itu dibarisi pemain hebat seperti bekas penyerang Manchester United, Marouane Fellaini.

Sudah tentu sentuhan Safawi sekali lagi ditagih dalam aksi di Stadium Misaki Park, Kobe nanti dengan pengendali pasukan, Benjamin Mora turut mengakui anak buahnya kini berada pada prestasi terbaik bagi menghadapi aksi itu.

Malah, beliau juga berbangga dapat membawa JDT beraksi di pentas tertinggi saingan kelab-kelab elit Asia itu.

"(Saya) bangga dapat membimbing JDT dan membawa pasukan pada aksi pembukaan ACL 2020. Perasaan cukup hebat dan harapan ketika ini amat tinggi," katanya di laman Instagram miliknya, hari ini.

Untuk rekod, ini penampilan kedua JDT di ACL selepas musim lalu sekadar menamatkan kempen di tangga terakhir Kumpulan E dengan empat mata daripada enam aksi.

Berdasarkan persiapan pramusim di Emiriah Arab Bersatu (UAE) dengan meraih tiga kemenangan daripada lima aksi persahabatan bertemu kelab liga utama UAE dan kelab Eropah bulan lalu, JDT bakal memberi cabaran lebih sengit terutama dalam kempen kedua ACL musim ini.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Februari 2020 @ 8:25 PM



No comments:

Post a Comment