| | 28 Februari 2020
Khairul Fahmi Che Mat
MELAKA- Penjaga gol Melaka
United, Khairul Fahmi Che Mat berazam untuk meningkatkan prestasinya menjelang
aksi sulung perlawanan Liga Super 2020 esok, seterusnya mempertahankan
posisinya dalam kesebelasan utama.
Bekas penjaga gawang kebangsaan
yang lebih dikenali dengan panggilan 'Apek' itu berkata beliau akan bangkit
membantu pasukannya merealisasikan impian merangkul sebarang piala dalam Liga
Super meskipun sebelum ini beliau berehat panjang akibat kecederaan di bahu dan
tumit.
"Kali pertama Melaka United
dapat piala ialah pada Liga Perdana, sepanjang penyertaan di Liga Super tidak
pernah menang apa-apa dan harapan kita tahun ini untuk layak beraksi dalam
perlawanan akhir dan sekurang-sekurangnya menang satu piala.
"Sebagai pemain dalam
pasukan, kami pasti akan memberi yang terbaik untuk Melaka United pada saingan
musim ini dan berharap semua berjalan dengan lancar," katanya kepada
Bernama.
Skuad kendalian Ketua Jurulatih
Zainal Abidin Hassan itu bakal bertemu UITM FC pada perlawanan pertama Liga
Super musim ini di Stadium UiTM Shah Alam, malam esok.
Khairul Fahmi berkata semangatnya
untuk menabur bakti bersama skuad kebangsaan masih membara namun beliau mahu
membuktikan kemampuannya pada saingan Liga Super.
Katanya kehadiran penjaga gawang
baharu yang dibawa masuk ke dalam skuad Sang Kancil iaitu Norazlan Razali
selain rakannya Ahmad Solehin Mamat yang masih dikekalkan itu dilihat
menyempurnakan persediaan pasukan selain membentuk saingan sihat.
"Apa-apa pun saya perlu
rebut dahulu tempat dalam Melaka United dan akan berusaha dengan gigih untuk
pasukan," katanya.
Sementara itu, Norazlan berkata
beliau percaya dengan kemampuan Melaka United selain pengurusan yang ada akan
membantu perjalanan pasukan lebih lancar dan menjaga kebajikan para pemain.
"Kita harap dapat memberi
yang terbaik dan bantu pasukan ini menyerlah sekali gus mencapai sasaran,"
katanya.
No comments:
Post a Comment