MyMetroArena
Mohd Amin Jalil
sukanteam@nstp.com.my
KAPTEN Negeri Sembilan, Norhafiz Zamani Misbah lega apabila Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) berjaya menyelesaikan semua isu berbangkit membabitkan tunggakan gajinya.
Bekas pemain kebangsaan yang pernah beraksi bersama The Red Warriors selama tiga musim iaitu dari 2015 hingga 2017 itu berkata, KAFA membayar semua tunggakan gajinya, bulan lalu.
"Alhamdulillah, KAFA sudah menyelesaikan semua tunggakan gaji saya dengan pengurusan pasukan itu sebelum ini. Memang saya amat lega dengan tindakan KAFA yang menunjukkan keprihatinan mereka terhadap kepentingan bekas pemain.
"Saya ucapkan terima kasih di atas usaha pengurusan KAFA yang mengambil inisiatif dalam menyelesaikan masalah ini dan kini semua urusan mengenai tunggakan gaji itu tidak lagi berbangkit," katanya hari ini.
Dalam laporan sebelum ini, Norhafiz mendakwa terdapat tunggakan gajinya dengan KAFA berjumlah sekitar RM82,000.
Mengulas lanjut, pemain pertahanan berpengalaman berusia 38 tahun itu berkata, dengan penyelesaian tunggakan gaji terbabit, dia kini sudah boleh memberikan fokus kepada persiapan dan latihan bersama Negeri Sembilan.
"Kini, saya sudah boleh terus bagi tumpuan kepada latihan persiapan pasukan Negeri Sembilan bagi menghadapi saingan Liga Malaysia yang akan bermula hujung bulan ini," katanya pemain kelahiran Melaka itu.
Dia juga berharap KAFA dan skuad Kelantan dapat berikan tumpuan kepada persiapan mereka untuk saingan musim ini dan mampu menempa kejayaan yang disasarkan.
"Kami dalam kelompok sama bersaing dalam Liga Perdana dan saya yakin semua pemain dalam setiap pasukan memiliki motivasi yang tinggi untuk menjulang nama pasukan masing-masing, musim ini," katanya.
SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Februari 2020 @ 1:13 PM
No comments:
Post a Comment