MyMetroArena
Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: "Jangan sengaja nak mencipta pelbagai alasan," kata bekas pengendali Kuantan FA, Ismail Zakaria yang menganggap pemilik Marcerra Kuantan FA, Datuk Seri Dr Mohamad Feardaus Khairuddin sengaja mencipta alasan untuk melepaskan diri.
Menurut jurulatih berpengalaman itu, bermula dari bulan pertama pada Januari 2018 sehingga empat bulan berikutnya tidak pernah langsung menerima sebarang gaji.
Malah, tuduhan Feardaus mengatakan ada pemain yang melanggar terma kontrak tidak tepat kerana pemain masih setia mengikut perjanjian kontrak dengan tetap turun beraksi walaupun tidak menerima gaji.
"Kalau pemain langgar kontrak, pemain masih bermain banyak perlawanan walaupun tanpa dibayar gaji. Dalam kontrak, sekiranya gaji gagal dibayar pihak majikan sebulan pun, pemain boleh ambil tindakan dan boleh pindah kelab sebenarnya.
"Tapi ini berbulan-bulan tak bayar, budak-budak masih bermain sampai satu tahap sudah tak tahan dengan duit tak ada.
"Banyak benda kesalahan beliau kita boleh tunjukkan...ada ke dia masukkan duit dalam akaun (bayar gaji), kalau ada tolong tunjukkan bukti. Beliau mencari alasan bermacam-macam.
"Tapi pada saya, kalau beliau masih nak berdolak dalih, kita bawa ke mahkamah. Kalau budak ini sudah langgar perjanjian, apa langgarnya. Budak-budak itu masih lagi main bola, malah FAM pun ada rekod perlawanan," katanya kepada Arena Metro.
Semalam, Feardaus tampil menjelaskan sedang bersama peguamnya dalam usaha mengumpul segala bukti dan fakta untuk mempertahankan diri terhadap segala tuduhan oleh bekas pemain pasukan berkenaan membabitkan tunggakan gaji.
Beliau yang dihubungi Arena Metro memaklumkan bahawa sedia maklum berkaitan tuntutan oleh beberapa bekas pemain dan jurulatih pasukan berkenaan namun ada antara perkara berkenaan tidak munasabah menyebabkan kehendak mereka gagal dipenuhi.
Katanya, beliau memahami situasi bekas pemain dan jurulatih yang mahu menuntut hak masing-masing namun hakikatnya terdapat beberapa terma atau syarat kontrak yang gagal dipatuhi mereka ketika bersama Marcerra Kuantan FA.
Kelmarin, Arena Metro melaporkan bekas pemain Marcerra Kuantan FA mahu mengheret pemilik kelab itu ke muka pengadilan selepas bersabar hampir tiga tahun ekoran tunggakan gaji yang masih belum diselesaikan.
Menurut peguam yang dilantik bekas pemain itu Mohamad Suhail Rahimi Abdul Razak, pihaknya bakal mengheret dua pasukan iaitu Marcerra Kuantan FA dan Kuantan FA membabitkan isu tunggakan gaji sejak 2018 lalu.
SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Februari 2021 @ 12:08 AM
No comments:
Post a Comment