Ad

Wednesday, 24 February 2021

KL United ada ramuan tersendiri

MyMetroArena



Firdaus Hashim

firdaushashim@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Skuad Kuala Lumpur United FC (KL United) komited untuk memberi saingan sengit pada musim ini apabila dinaikkan pangkat daripada Liga Perdana ke pentas Liga Super musim ini.

Jika dilihat persediaan skuad Warga Kota itu pada musim ini, ramai pemain baharu berjaya diikat bagi memperkuatkan pasukan dalam misi untuk terus kekal dalam saingan Liga Super pada musim depan.

Antara yang menjadi perhatian adalah dua pemain dari Kedah musim lalu, Hadin Azman dan Irfan Zakaria yang menyaksikan ini kali pertama Hadin berpeluang untuk beraksi bersama KL United selepas berkelana dengan pasukan lain sebelum ini.

Irfan pula ibarat sudah sinonim dengan pasukan apabila sebelum ini pernah melakukan 91 penampilan daripada musim 2016 sehingga 2019 sebelum berhijrah ke Kedah pada musim lalu.

Dengan 91 penampilannya sebelum ini, ternyata pemain berusia 26 tahun ini ghairah untuk melengkapkan sembilan lagi aksi bagi mencapai angka 100 penampilan bagi pasukan itu.

Menurut pengendalinya, Bojan Hodak, pemain-pemain baharu yang ada dalam skuad ketika ini diletakkan kepercayaan tinggi untuk mencipta keserasian terbaik bersama pemain lain pada musim ini.

"Saya gembira dengan kehadiran Irfan ke dalam pasukan pada musim ini dan saya percaya dia dapat memberi impak bersama-sama dengan pemain lain.

"Dalam latihan, dia juga menunjukkan komitmen yang sangat tinggi dan bagi saya, apa yang diberikan olehnya setakat ini dalam latihan cukup baik di mana boleh nampak Irfan begitu dahagakan prestasi yang terbaik untuk dirinya dan juga kelab.

"Saya harap dengan keinginan yang tinggi semua pemain untuk memberikan yang terbaik buat pasukan dapat menghasilkan keputusan yang positif untuk kita semua musim ini", katanya.

Selain itu, KL United turut mengikat pemain import baharu termasuklah peledak gol utama Terengganu FC musim lalu, Dominique da Sylva dan Romel Morales daripada Melaka.

Dan juga semestinya, gandingan pemain berpengalaman, Safee Sali dan pemain veteran, Indra Putra Mahayuddin akan menjadi tumpuan untuk mereka memperkasakan lagi skuad The City Boys.

KL United akan berkunjung ke Pulau Pinang untuk menentang Penang FC dalam aksi pembukaan Liga Super pada 6 Mac ini.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Februari 2021 @ 9:48 PM

No comments:

Post a Comment