Ad

Saturday, 13 February 2021

Masa tambahan’ seminggu legakan pasukan Liga M



Oleh Media Mulia

13 Februari 2021, 2:38 pm

KUALA LUMPUR: Pasukan Liga Malaysia (Liga M) boleh menarik nafas lega apabila diberi ‘masa tambahan’ untuk mendaftarkan pemain selepas tempoh pendaftaran dilanjutkan sehingga 19 Februari.

Kelulusan itu diberikan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) semalam selepas menerima permohonan rasmi daripada Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).

Ketua Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan berkata, permohonan tersebut dibuat melalui Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) disebabkan beberapa kekangan yang dihadapi pasukan dalam tempoh Covid-19, terutama melibatkan pendaftaran pemain import.

Ini perkembangan amat baik bagi pasukan atau kelab yang terlibat dalam Liga M kerana mereka mempunyai tambahan masa seminggu lagi untuk memastikan pemain benar-benar bersedia bagi menghadapi cabaran musim ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Ab Ghani berharap pasukan menggunakan tempoh lanjutan itu sebaik mungkin memandangkan selepas ini tiada lagi tempoh lanjutan boleh diberikan FIFA.

MFL sebelum ini memutuskan tempoh pendaftaran pertama Liga-M akan bermula pada 21 Januari sehingga 12 Februari.

AB GHANI HASSAN

Pada masa sama, Ab Ghani berkata, perkembangan itu memberikan suntikan semangat buat pasukan yang bakal memulakan latihan berpasukan pada Isnin ini susulan kebenaran diberikan kerajaan.

Maka semua pasukan harus memastikan agar semua pemain dan pegawai terlibat mematuhi SOP (prosedur operasi standard) untuk mengelakkan sebarang perkara tidak diingini berlaku dalam Liga M,” katanya.

Kempen Liga M 2021 dijadual bermula 5 Mac depan dengan perlawanan Sumbangsih merebut Piala Sultan Ahmad Shah antara juara bertahan dan juara Liga Super 2020, Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kedah, menjadi aksi pembuka tirai.SUMBER-SUKAN UM ONLINE

No comments:

Post a Comment