SUKAN
AZAM mengintai peluang untuk mewakili negara pada Sukan SEA dengan cara menjadi anggota skuad muda Harimau Malaya.
Azam idam sertai skuad Sukan SEA
Oleh MUHAMMAD ZUHAILY BADLISHAH
6 Februari 2021, 11:15 am
PERTAHANAN kanan Terengganu FC (TFC), Azam Azmi Murad berazam untuk memikat pengendali skuad bawah 19 (B-19) negara, Brad Maloney untuk dipilih sebagai anggota skuad Sukan SEA Vietnam pada November depan.
Pemain berasal dari Pulau Pinang itu berkata, peluang menyarung jersi negara pada temasya sukan dwitahunan Asia Tenggara tersebut merupakan impian setiap pemain muda sepertinya.
Katanya, pentas Sukan SEA menjadi pengubat duka dirinya selepas Kejuaraan AFC B-19 yang dijadualkan berlangsung di Uzbekistan pada bulan depan telah dibatalkan.
“Sebagai antara tonggak yang bermain pada aksi kelayakan (AFC B-19) di Kemboja pada dua tahun lalu, saya memang kecewa dengan pembatalan Kejuaraan AFC B-19.
“Diharap Sukan SEA tidak mengalami nasib sama dan kalau boleh, saya mahu tersenarai dalam kontinjen negara bagi memburu kilauan pingat emas,” katanya kepada Kosmo! di Kuala Terengganu semalam.
Azam tampil cemerlang pada aksi kelayakan Kejuaraan AFC 2019 lalu apabila berjaya menjaringkan tiga gol untuk membantu Malaysia menjuarai Kumpulan G.
Selain itu, dia merupakan sebahagian skuad muda Harimau Malaya yang muncul naib juara Kejuaraan AFF B-18 selepas tumpas kepada Australia pada aksi final.
Justeru, Azam mahu fokus untuk meningkatkan prestasi bersama TFC dan menjadi pemain yang lebih baik agar menjadi batu loncatan untuk menyertai skuad Sukan SEA Vietnam.
Justeru katanya, misinya sekarang adalah untuk mengukuhkan kedudukan bersama TFC di bawah kendalian Mohd. Nafuzi Zain sepanjang saingan Liga Malaysia musim ini.
SUMBER-KOSMO ONLINE
No comments:
Post a Comment