SUKAN
Kemelut Perak FC tidak lemahkan pemain
Oleh KOSMO!
12 Februari 2021, 11:00 am
Oleh AZIZAN HASHIM
PEMAIN Perak FC dijangka tidak terkesan dengan kemelut yang melanda pasukan itu hingga menyaksikan mereka tidak menerima gaji dua bulan setengah selain kehilangan pengurus pasukan.
Penjaga gol utama skuad The Bos Gaurus, Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy mengakui pemain-pemain tidak berasa tertekan dengan situasi yang melanda pasukan disebabkan masalah dalaman tersebut.
Katanya, semua pemain akur serta faham dengan situasi yang dihadapi, lebih-lebih lagi kerajaan negeri perlu memberi fokus terhadap permasalahan lebih penting.
“Secara jujur, kami tidak ada sebarang masalah kerana kami faham dengan situasi dihadapi kerajaan negeri yang perlu beri keutamaan kepada perkara-perkara lebih penting terutama mangsa banjir.
“Kesabaran semua pemain ketika menghadapi situasi ini nyata berbaloi kerana masalah gaji kami akhirnya berjaya diselesaikan dengan baik,” kata penjaga gol kebangsaan itu.
Kemelut kewangan yang melanda Perak FC menyaksikan Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Timbalan Presiden, Datuk Adly Shah Ahmad Tah meletak jawatan dan kerajaan negeri bersetuju menyumbang dana.
Hafizul berkata, mereka kini bersiap sedia untuk menjalani latihan mengikut model gelembung sukan berikutan kebenaran yang diberikan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada 15 Mac ini.
Meskipun belum pasti mengenai venue latihan, namun pemain berusia 28 tahun itu percaya ia mungkin dijalankan di salah sebuah Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di negeri tersebut.
SUMBER-SUKAN KOSMO ONLINE
No comments:
Post a Comment