MEHMET DURAKOVIC (kanan) bersama Khairul Shahril Mohamed dalam sidang akhbar penamatan kontrak sebagai Ketua Jurulatih Perak FC di Ipoh semalam. – UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Oleh AZIZAN HASHIM
23 Februari 2021, 2:50 pm
IPOH: Tiada yang lebih penting selain daripada keluarga.
Itulah hakikat yang menyebabkan jurulatih berpengalaman, Mehmet Durakovic meminta untuk dilepaskan kerana ingin pulang ke Australia dan bersetuju kontraknya ditamatkan menerusi perbincangan bersama Perak FC sejak lebih seminggu lalu.
“Keadaan tidak mengizinkan saya untuk berada lebih lama lagi di sini. Penularan pandemik Covid-19 membuatkan kehidupan saya susah kerana terpisah dengan keluarga.
“Memang ini satu keputusan yang sukar dan berat tetapi saya lebih utamakan keluarga,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar di sini semalam.
Mehmet mengakui sukar baginya meninggalkan skuad Bos Gaurus kerana telah bersama mereka selama empat musim.
“Hubungan yang terjalin dengan pemain, pegawai dan persatuan begitu baik. Kami seperti satu keluarga dan saya sayangkan Perak tetapi realitinya saya terpaksa pilih keluarga sendiri bila perlu memilih antara dua.
“Saya doakan mereka berjaya menempuhi kempen Liga Malaysia musim ini dengan gemilang,” ujar bekas pemain Selamngor itu.
Mehmet, 55, mengucapkan terima kasih kepada Perak FC kerana memahami keadaannya dan sudi menyelesaikan masalah yang dihadapinya dengan baik.
Sementara itu, Ahli Lembaga Pengarah Perak FC, Khairul Shahril Mohamed berkata, penamatan kontrak itu adalah atas permintaan Mehmet sendiri dan persetujuan bersama penamatan kontrak jurulatih itu telah ditandatangani pada 19 Februari lalu.
“Rundingan telah dijalankan selama lebih satu minggu dan pengurusan menghormati pendirian Mehmet yang memilih untuk kembali ke Australia. Ia merupakan satu keputusan yang sukar dan berat untuk kami putuskan.
“Kami mengucapkan selamat berjaya kepada beliau kerana mahu bersama keluarganya di Australia adalah keutamaan beliau,” katanya.SUMBER UM ONLINE
No comments:
Post a Comment