MyMetroArena
Ferzalfie Fauzi
ferzalfie@hemtro.com.my
Kuala Lumpur: Walaupun perlumbaan berstatus 1.2 ia bukan mudah buat pelumba Terengganu Cycling Team (TSG), Harrif Saleh untuk memenangi perlumbaan berkenaan dan dia sendiri mengakui terpaksa bergelut sejak dari awal perlumbaan Grand Prix (GP) Manavgat di Turki hujung minggu lalu.
Harrif melalui video di akaun YouTube miliknya mengakui bahawa dia juga bergelut dengan kekejangan kaki ketika 30 kilometer terakhir dan terpaksa mencari altenatif sendiri untuk menjadi pelumba pertama menuju ke garisan penamat.
"Selepas sekian lama tidak berlumba memang saya bergelut untuk mencari balik rentak. Lima kilometer (km) pertama lagi perlumbaan sudah pantas dengan purata kelajuan 50 kilometer per jam (km/j). Selepas itu pada 30 km pertama dia meningkat sehingga 53 km/j.
"Saya rasa agak bergelut untuk mengikut peloton. Sebab sudah lama tidak berkayuh. Saya duduk dalam kumpulan besar itu dan bertahan.
"Bagaimanapun, pada 30km terakhir kaki saya mula rasa kejang 'halus-halus'. Tapi saya tidak cepat gelabah dan mencari alternatif lain dengan menggunakan gear lebih rendah serta minum sedikit air bagi menyimpan tenaga," kata pelumba berusia 33 tahun itu.
Memasuki lima km terakhir menuju ke garisan penamat, Harrif mendapat bantuan daripada Youcef Reguigui serta rakan-rakannya yang membantu menariknya ke depan.
"Dua km terakhir saya mencari laluan sendiri dengan 'Pak Usop (Reguigui) menghalang pelumba lain di belakang saya. Pada satu km terakhir saya mengekori Andrea Guardini dalam masa sama saya menghalang pelumba lain untuk berada di belakang Guardini.
"Saya tidak bagi pelumba lain berada di belakang Guardini, saya seorang saja boleh berada di belakang pelumba Giotti Victoria itu.
"Selepas melihat garisan penamat rahsia saya adalah dengan menggunakan gigi gear 55, yang membolehkan saya melakukan kayuhan dengan kelajuan tinggi," katanya.
Selepas memberikan kayuhan dengan 'tendangan' 100 peratus, Harrif yang terkenal dengan panggilan 'Mamat' berjaya melintasi garisan penamat terlebih dulu mengetepikan Alan Banaszek (Mazowsze Serce Polski) di tempat kedua dan pelumba kebangsaan Ukraine, Adriy Kulyk di kedudukan ketiga, manakala Guardini hanya berpuas hati di tempat keempat.
SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Februari 2021 @ 10:09 PM
No comments:
Post a Comment