SUKAN
BADDROL dan rakan-rakan sepasukan KDA FC sudah tidak sabar untuk menjalani latihan menjelang aksi sepak mula Liga M pada 5 Mac depan.
Pemain Kedah tidak sabar turun berlatih
Oleh KOSMO!
11 Februari 2021, 11:30 am
Oleh RAFIE AZIMI
“KAMI tidak sabar lagi nak turun berlatih.”
Itu luahan kapten pasukan Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Baddrol Bakhtiar ketika ditanya pandangannya mengenai keputusan kerajaan membenarkan pasukan-pasukan Liga Malaysia (Liga M) menjalani sesi latihan bermula Isnin depan.
Menurut tonggak tengah berpengalaman itu, langkah itu sesuatu yang amat positif kepada para pemain memandangkan liga akan bermula dalam tempoh tidak sampai sebulan saja lagi.
“Ini peluang terbaik untuk kami mengembalikan kecergasan dan semangat memandangkan liga akan bermula tidak lama lagi.“Insya-Allah, kami akan patuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan. Bagi para pemain, ini adalah cabaran yang perlu diatasi apatah lagi kami bakal memulakan saingan bertemu JDT bagi merebut Piala Sumbangsih,” katanya ketika dihubungi di Alor Setar semalam.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kelmarin telah mengumumkan kebenaran kepada kejohanan liga utama seperti Liga M, Sepak Takraw League dan Liga Hoki Malaysia 2021 menjalani sesi latihan secara kuarantin dengan mengikuti SOP ketat bermula Isnin depan.
Sementara itu, jurulatih KDA FC, Aidil Sharin Sahak berkata, beliau mahu bertemu dengan anak-anak buahnya di padang secepat mungkin kerana masih banyak persiapan perlu dilakukan sebelum memulakan saingan pada 5 Mac nanti.
“Saya fikir tidak ada masalah untuk kami mematuhi SOP kerana sebelum ini pun, kami sentiasa akur kepada setiap arahan ditetapkan kerajaan semasa menjalani latihan serta mengharungi perlawanan.
“Ketika ini tumpuan saya hanya pada Kedah tanpa mahu terlalu memikirkan mengenai kekuatan JDT,” katanya.SUMBER-KOSMO ONLINE
No comments:
Post a Comment