Ad

Friday, 19 February 2021

Malaysia cipta nama anugerah alam sekitar Asia

MyMetroMutakhir



Rafidah Mat Ruzki

fidahruzki@bh.com.my

Putrajaya: Kejayaan di peringkat antarabangsa dicapai apabila Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) untuk membanteras pencerobohan, pembalakan haram serta pemburuan hidupan liar dipilih antara pemenang Anugerah Penguatkuasaan Alam Sekitar Asia 2020 semalam.

Pengiktirafan itu diumumkan pada Majlis Asia Environmental Enforcement Awards kelima anjuran Program Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNEP).

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah, berkata operasi itu yang dilaksanakan kementerian itu melalui Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) dipilih antara pemenang anugerah itu di Majlis Anugerah Penguatkuasaan Alam Sekitar Asia ke-5 anjuran United Nations Environment Programme (UNEP).

Beliau berkata, OBK yang dilancarkan pada 3 September 2019 turut membabitkan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM), Jabatan Perhutanan Negeri, Perbadanan Taman Negeri Perak (PTNP), Perbadanan Taman Negeri Johor (PTNJ) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

"Anugerah ini adalah berdasarkan kejayaan cemerlang OBK pada 2019 apabila seramai 87 pesalah ditangkap dengan jumlah sitaan bernilai RM2.7 juta serta memusnahkan sebanyak 460 jerat dawai.

"Pada 2020 pula, seramai 140 pesalah ditangkap dengan jumlah sitaan bernilai RM1.85 juta serta sebanyak 672 jerat

dawai dimusnahkan," katanya tadi.

Shamsul Anuar berkata, OBK masih giat dilaksanakan pada tahun ini dan diperkukuhkan bawah Program Perlindungan dan Rondaan Biodiversiti (BP3).

Beliau turut mengucapkan tahniah dan penghargaan kepada Jabatan PERHILITAN, PDRM, JKDM, JPSM dan semua pihak yang terbabit dalam menjayakan OBK.

Katanya, kerjasama strategik seumpama itu bukan sahaja akan diteruskan malah akan diperkukuhkan bagi menjaga khazanah biodiversiti negara yang tidak ternilai.

Selain itu, Shamsul Anuar turut mengajak semua pihak berganding bahu memperhebatkan usaha dalam membanteras pencerobohan, pembalakan haram serta pemburuan hidupan liar.

Menurutnya, OBK masih giat dilaksanakan pada tahun 2021 dan diperkukuhkan di bawah Program Perlindungan dan Rondaan Biodiversiti (BP3).

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Februari 2021 @ 9:59 PM



No comments:

Post a Comment