MyMetroArena
BERNAMA
Kota Bharu: Bekas pemain kebangsaan, Mohd Fitri Omar mengakui cabaran berbeza buat dirinya apabila diberi kepercayaan untuk memimpin barisan muda pasukan Kelantan United (KUFC) pada kempen Liga Malaysia (Liga M) musim ini.
Pemain berusia 36 tahun itu berkata beliau dan seorang lagi pemain berpengalaman Mohd Badhri Mohd Radzi atau lebih dikenali sebagai Piya menjadi taruhan untuk mengimbangi pasukan KUFC yang kebanyakannya dibarisi pemain berusia bawah 26 tahun.
"Saya sudah 17 musim beraksi dalam saingan Liga M menerima tanggungjawab itu kerana menyedari kebanyakan pemain tempatan bersama pasukan musim ini masih kurang pengalaman beraksi di pentas tertinggi," katanya.
Aksi pembukaan saingan Liga Perdana 2021 pada 6 Mac ini menyaksikan KUFC bakal berdepan Sarawak United di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.
Mohd Fitri yang beraksi bersama pasukan Petaling Jaya City (PJ City) FC pada musim 2020, pernah beraksi bersama pasukan Kelantan pada 2009 dan 2014-2015 dan pengalaman itu menjadi sandaran pengurusan terhadapnya.
Sementara itu, dalam tempoh seminggu menjalani latihan bersama pasukan KUFC, Mohd Fitri berkata semangat yang dimiliki pemain muda pasukan itu agak luar biasa dan mereka sentiasa bekerja keras dalam satu pasukan.
Sebagai seorang berpengalaman, Mohd Fitri sentiasa berpesan kepada pemain agar memanfaatkan sepanjang 90 minit perlawanan dalam mengharungi saingan liga serta kempen Piala Malaysia dan Piala FA.
"Perkara ini yang saya sentiasa beri peringatan kepada pemain muda, kerana berdasarkan pengalaman saya selama ini, pemain muda mempunyai kekurangan dari aspek mental dan kurang keyakinan diri apabila berdepan pasukan pilihan.
"Saya mahu bantu dalam aspek ini agar boleh melihat bakat mereka seiring dengan apa yang mereka boleh terjemahkan di atas padang pada hari perlawanan," katanya.
SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Februari 2021 @ 6:25 PM
No comments:
Post a Comment