KHALID Jamlus (tengah) dan pekerjanya di hadapan gerai Daging Salai Masak Lomak Cili Api di Batu 7 Sijangkang, Kuala Langat, Selangor hari ini. – UTUSAN/ABDUL RAZAK IDRIS
Oleh ABDUL RAZAK IDRIS
28 Januari 2021, 9:30 am
KUALA LANGAT: Dahulu, nama Khalid Jamlus dikenali dengan kehebatan beraksi di padang bola sepak.
Namun, siapa sangka, kini bekas penyerang bola sepak negara itu memfokuskan untuk memajukan gerai daging salai masak lemak cili api yang terletak di Lepak Court Batu 7, Sijangkang di sini.
Khalid,43, atau nama sebenarnya Muhamad Khalid Jamlus berkata, dia enggan lagi menoleh ke belakang dan kini tekad meneruskan perniagaan yang diusahakan sejak tiga bulan lalu yang merupakan hasil jualan kasut emas dan barangan peribadinya sepanjang bergelar pemain bola sepak.
Bapa kepada tiga anak itu berkata, pemilihan menu itu berikutan ayah dan keluarga isterinya yang berasal dari Negeri Sembilan.
“Saya tidak mahu terus terpalit dengan isu kasut emas yang diperoleh selepas menjadi penjaring terbanyak sebelum ini.
“Hasil jualan tersebut saya membayar hutang dan mengusahakan gerai ini dengan berbekalkan pengalaman berniaga sebelum ini serta kemahiran memasak daripada ahli keluarga,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini semalam.
September lalu, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan membeli Kasut Emas Khalid pada satu nilai yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak dan penyerahannya diadakan dalam satu majlis ringkas di Istana Alam Shah, Klang.
Kasut emas dimiliki Khalid selepas meledak 17 gol ketika bersama Perak.
Dalam pada itu, Khalid yang dianggap legenda bola sepak Perak dan pernah menyarung jersi Selangor dari 2005 hingga 2006 itu berkata, selepas kasut emasnya dijual, ada pihak yang menawarkan untuk mengemudi satu pasukan.
“Pihak terbabit menjanjikan tawaran sebagai jurulatih tahun lalu. Namun, sehingga kini diam tanpa khabar berita.
“Saya sudah berhenti berharap dan mahu meneruskan hidup dan mengukuhkan kewangan keluarga,” ujarnya.
Tambah Khalid, dia bersyukur apabila sambutan diterima setakat ini terhadap jualan gerainya amat menggalakkan dalam kalangan pelanggan.
“Saya kini berhasrat memajukan lagi tapak gerai ini bersama pemilik Lepak Court, Tafsir Asmawi. Saya juga bercadang menambah cawangan gerai tersebut di beberapa lokasi lain dalam mengukuhkan perniagaannya.
“Malah, impian untuk mengikuti kursus kejurulatihan kelas A masih ada namun buat masa ini terpaksa ditangguhkan kerana kos kursus dianggarkan RM6,000.
“Saya rasa ketika ini adalah lebih baik wang berkenaan dilaburkan dalam memajukan perniagaan sedia ada,” katanya.- UTUSAN ONLINE
No comments:
Post a Comment