Ad

Friday, 26 February 2021

'Pok Nik' sedia julang KL United

MyMetroArena



Mohd Amin Jalil

sukanteam@nstp.com.my

Seremban: Pemain pertahanan Kuala Lumpur United FC (KL United), Nik Shahrul Azim Abdul Halim sudah bersedia untuk menggalas cabaran pasukan itu dalam saingan Liga Super musim ini, yang bakal membuka tirainya 6 Mac ini.

Tonggak berpengalaman berusia 30 tahun itu yakin dengan kemampuannya untuk meneruskan kecemerlangan KL United, walaupun cabaran yang dihadapi kali ini di pentas yang berbeza dengan musim lalu.

"Saya dan rakan-rakan dalam pasukan Kuala Lumpur sudah bersedia untuk memulakan cabaran saingan liga musim ini. Hasil bimbingan ketua jurulatih berpengalaman, Bojan Hodak, kami berada pada paras keyakinan yang tinggi untuk memulakan cabaran.

"Walaupun sedar, cabaran kami kali ini berbeza dengan musim lalu tetapi saya yakin dengan perancangan jurulatih dan kemampuan rakan-rakan untuk berhadapan dengan pesaing hebat dalam saingan Liga Super.

"Pengalaman saya beraksi bersama beberapa pasukan berpengalaman di pentas berprestij itu menjadi azimat buat saya dan rakan lain untuk berjuang mempertahankan Kuala Lumpur," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Nik Shahrul Azim yang pernah beraksi bersama Negeri Sembilan pada musim 2017, juga yakin dengan kombinasi antara pemain berpengalaman dan muda yang membentuk skuad warga kota itu musim ini.

Bekas pemain kebangsaan kelahiran Rantau Panjang itu berkata, kehadiran 'otai' Shukor Adan dalam pasukan itu menyuntik semangat bukan sahaja buat dirinya, malah rakan lain terutama pemain muda dalam usaha mempertahankan reputasi Kuala Lumpur musim ini.

"Shukor dilihat sebagai 'ikon' buat pasukan kami kerana dia berjaya membuktikan kemantapan tersendiri walaupun sudah mencecah umur 40 tahun.

"Sebelum ini pun saya pernah bersamanya dalam pasukan lain dan kehadiran rakan lama sepertinya mampu membangkitkan lagi semangat pemain untuk berjuang mempertahankan nama pasukan," katanya.

Dia juga tidak menghadapi masalah mengikuti corak latihan dan taktikal yang diketengahkan Bojan Hodak kerana pernah berada di bawah pengendali itu ketika beraksi dengan pasukan Kelantan sebelum ini.

"Walaupun corak latihan dan taktikal beliau (Bojan Hodak) sudah banyak berubah, tapi saya dapat mengikutinya dengan cepat kerana ia penting untuk membina kemantapan pasukan, ketika tempoh cabaran sebenarnya hanya tinggal seminggu lagi," katanya.

Mengenai sasarannya musim ini, Nik Shahrul Azim yang juga dipanggil 'Pok Nik' secara peribadinya mahu meletakkan KL United sekurang-kurangnya menamatkan saingan di kedudukan kelima terbaik Liga Super.

Menurutnya, walaupun pasukan yang disertainya sejak musim lalu itu dilabelkan sebagai pendatang baharu dalam Liga Super musim ini, tetapi pasukannya sudah memiliki pengalaman luas.

"KL United bukan asing beraksi di pentas liga tertinggi tempatan itu dan rekod baik itu pastinya akan dijadikan sandaran untuk kami buktikan kemampuan sebenarnya," katanya.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Februari 2021 @ 8:00 PM

No comments:

Post a Comment