Ad

Friday, 26 February 2021

Polis pantau kegiatan antivaksin

MyMetroMutakhir



BERNAMA

Labuan: Polis Labuan akan memantau kegiatan kumpulan antivaksin di pulau itu yang menyebarkan propaganda mengenai vaksin Covid-19 melalui pelbagai platform media sosial.

Pemangku Ketua Polis Labuan Deputi Superintendan Mohd Ibrahim Mohd Ghani berkata, pemantauan itu termasuk mengambil tindakan terhadap mana-mana individu atau kumpulan yang menggunakan media sosial untuk menyebarkan maklumat yang tidak tepat mengenai Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

"Kami akan memantau penyebaran maklumat yang tidak tepat mengenai program vaksinasi ini dan jika ada laporan polis dibuat, kami akan mengambil tindakan segera terhadap mereka yang terbabit," katanya kepada Bernama di Terminal Feri Labuan selepas ketibaan kumpulan pertama vaksin Pfizer-BioNTech Covid-19 dari Kota Kinabalu hari ini.

Beliau berkata, walaupun jumlah golongan antivaksin tegar adalah kecil, namun pemantauan diperlukan kerana program imunisasi itu sangat penting untuk membentuk imuniti kepada penduduk di pulau itu dan di negara ini secara amnya.

Mohd Ibrahim turut mengingatkan bahawa individu yang ditahan kerana terbabit dalam menyebarkan propaganda antivaksin dan maklumat yang mengelirukan boleh didakwa mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 yang boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda, atau kedua-duanya.

Berhubung keselamatan 4,680 dos vaksin Pfizer-BioNTech Covid-19 yang ditempatkan di pusat penyimpanan vaksin Hospital Labuan, Mohd Ibrahim berkata, pusat itu akan diawasi dengan baik oleh anggota polis selama 24 jam setiap hari.

"Adalah menjadi tanggungjawab kami untuk memastikan program vaksinasi berjalan lancar sepanjang fasa," katanya.

SUMBERArtikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Februari 2021 @ 5:25 PM

No comments:

Post a Comment