MyMetroTopic
Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Seperti dijangka, Datuk Hamidin Mohd Amin menang tanpa bertanding bagi jawatan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) selepas tempoh pencalonan pemilihan Kongres FAM Ke-57 ditutup petang tadi.
Menurut sumber boleh dipercayai, Hamidin tidak dicabar oleh sesiapa dan ini bermakna beliau akan kekal di Wisma FAM di Kelana Jaya bagi penggal kedua selepas turut menang tanpa bertanding pada edisi lalu.
"Untuk makluman, Datuk Hamidin menang tanpa bertanding," kata sumber itu kepada Arena Metro.
Kemenangan Hamidin yang juga Presiden FAM ketujuh itu sememangnya sudah diduga sejak awal selepas mengambil kira beberapa perubahan yang berjaya dibawa olehnya sejak dilantik pada 2018 lalu.
Malah, pelantikan beliau sebelum ini turut mencipta sejarah tersendiri menjadi individu pertama dari kalangan orang biasa bergelar Presiden selepas enam Presiden terdahulu terdiri daripada Perdana Menteri, Menteri Kabinet serta Kerabat Diraja.
Sebaik meminpin badan induk itu tiga tahun lalu, Hamidin tidak menunggu lama untuk merangka pelan revolusi apabila memperkenalkan Peta Hala Tuju FAM atau F:30 di mana skuad Harimau Malaya disasarkan untuk berada dalam lima kelompok pasukan terbaik di Asia menjelang 2030.
Selain itu, langkah berani beliau membuka pintu buat pemain dari luar negara untuk dinaturalisasikan sebagai pelan jangka pendek turut membuahkan hasil apabila kehadiran mereka nyata membawa impak segera kepada pasukan kebangsaan.
Jelas sumber sama, Datuk Yusoff Mahadi juga berjaya mempertahankan kerusinya apabila menang tanpa bertanding. Untuk rekod, pemilihan Kongres FAM Ke-57 akan dilangsung pada 13 Mac depan.Sebanyak 17 kerusi bakal menjadi rebutan bagi pemilihan Jawatankuasa Eksekutif FAM untuk penggal baharu 2021-2025.
SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Februari 2021 @ 9:35 PM
No comments:
Post a Comment