ARKIB : 22/02/2009
SOALAN
Tidak lama selepas pencen
sebagai pengurus di cawangan sebuah bank, suami saya didatangi oleh seorang
lelaki berjubah hijau, berserban mengajaknya masuk tabligh. Seperti yang
lepas-lepas dia menolak, hendak rehat dahulu, rehat-rehat dengan anak dan keluarga,
setelah bekerja lebih daripada 35 tahun.
Setelah beberapa kali dipujuk,
seumpama dipaksa, akhirnya suami saya ikut kumpulan tabligh. Mula-mula pergi
seminggu. Balik ke rumah sebulan, kemudian pergi lagi. Kali ketiga pergi paling
lama, lebih sebulan. Mula-mula ada menelefon, tetapi lama-lama tidak memberi
khabar. Alih-alih sudah ada di rumah.
Saya menjadi kebingungan. Lebih
daripada setahun setengah keadaan seperti ini berlaku Anak tidak dipedulikan.
Tidak pernah menjenguk buku pelajaran, jauh sekali mengajar muqaddam pada dua
anak yang masih kecil. Saya masih muda, 35 tahun, perlukan kasih sayang,
keyakinan diri dan keselamatan.
Sebagai seorang guru, kedua-dua
anak saya di tinggalkan dengan pembantu rumah yang saya tidak berapa yakin
dengan kerjanya. Suami selalu tidak ada di rumah. Biarpun wang belanja tidak
diberi, saya reda kerana saya ada gaji. Sebelum ini kami tidak ada masalah,
sejak suami masuk tabligh, rumah tangga seumpama terabai, tidak menentu.
Kedatangan ketua kumpulan tabligh berjubah hijau menjadikan saya fobia.
- Guru bingung, Sepang,
Selangor.
Jawapan:
Sumbangan mubaligh dalam usaha
menyebarkan Islam, di Semenanjung, di Sabah, Sarawak, juga di Nusantara begitu
besar, termasuk dalam golongan ini ialah ahli-ahli sufi, yang akhirnya menjadi
penulis diraja, pengarang kitab dan wartawan, mendirikan pondok,
sekolah-sekolah Arab dan sebagainya.
Daripada kalangan mereka inilah
yang memberi sumbangan dalam memperkayakan perbendaharaan kata Melayu, yang
diambil daripada istilah-istilah Arab, yang merangkumi istilah fiqah, tauhid,
pertuturan harian dan sebagainya membolehkan perbendaharaan kata Melayu itu
kaya lagi luas.
Di Malaysia, kegiatan para
mubaligh akhirnya menjadi lebih terhad, lebih sempit, khusus kepada golongan
tertentu, iaitu mereka yang berjubah, kepala berlilit serban dan sebahagian
daripada mereka memakai pakaian yang banyak dipakai di Pakistan juga India.
Mereka berjuang, menyebarkan
Islam, menghuni di masjid-masjid, di surau-surau. Di antara mereka ada yang
membawa tilam, periuk dan sebagainya yang diperlukan. Yang terkini keperluan
ini tidak dibawa bersama, sesetengah daripada mereka tidak dibenarkan tinggal
di surau-surau tertentu, kerana sebab-sebab tertentu, di antara mereka
dikatakan menyebabkan kotor, tidak memberi sumbangan untuk bayaran api, air dan
sebagainya.
Di sinilah mereka belajar
dengan membentuk kelompok-kelompok kecil, yang memberi syarahan oleh
orang-orang tertentu, biasanya diberi oleh ketua mereka, juga orang yang
terdiri daripada kumpulan tersebut. Kegiatan tabligh buat masa kini tidak
serancak 20 tahun yang lalu. Walaupun demikian, kegiatan ini tetap bergerak.
Sesetengah masyarakat mempersoalkan kegiatan ini, memandang dengan mata
sebelah, biarpun tidak ada protes supaya kegiatan ini dihentikan.
Saya perhatikan, kegiatan
tabligh boleh dikatakan tidak melibatkan politik. Sebahagiannya berkunjung dari
rumah ke rumah sebelum waktu maghrib atau sebelum asar, mereka berdakwah,
mengajak orang Melayu Islam sama-sama ke masjid, terutamanya untuk mendirikan
sembahyang berjemaah.
Beberapa kali kumpulan ini
datang menemui saya ketika saya sedang menyangkul di kebun, mengajak bersama
untuk berjemaah. Saya ucapkan berbanyak terima kasih kerana memperingatkan saya
dan saya rasa kesal tidak dapat mengajak minum bersama dengannya untuk menghormati
tetamu yang saya hormati.
Saya terfikir, kenapa mereka
datang menemui saya yang ada di kebun, dekat rumah. Kenapa tidak pergi ke
rumah-rumah orang Islam yang tidak pernah pergi ke masjid, termasuk
pekerja-pekerja asing dari Indonesia, Myanmar, Bangladesh, Filipina, dari
Pakistan, India termasuk mereka yang bekerja di restoran yang sebahagian
daripada mereka tidak sembahyang Jumaat atau mereka yang bekerja di restoran
yang taukenya India bukan Islam, tetapi meletakkan ayat-ayat al-Quran di dinding-dinding.
Terfikir saya, kenapa kumpulan
ini hanya pergi ke tempat-tempat seperti kampung tempat saya tinggal, tidak
pergi berdakwah ke tempat-tempat yang lebih utama, di Chow Kit, sarang-sarang
pelacur, sarang-sarang pondan, kelab-kelab malam yang penuh dengan marijuana,
syabu, ganja, arak atau kediaman golongan elit.
Memang benar, di sesetengah
tempat perumahan begitu besar, hingga 400 buah rumah, tetapi untuk mendirikan
sembahyang Maghrib yang datang tidak sampai 40 orang jemaah. Pekerja-pekerja di
restoran di mana ayat-ayat al-Quran ditampal atau disangkut di dinding, boleh
dikatakan tidak nampak mereka pergi sembahyang Jumaat di kampung berkenaan.
Mungkin mereka menganggap
sembahyang Jumaat itu tidak wajib bagi mereka. Mereka tetap musafir. Tidak pernah
kita dengar adanya tangkapan oleh jabatan-jabatan agama dilakukan ke atas
mereka yang tidak sembahyang Jumaat, sekali, lebih tiga kali atau seumur hidup.
Sama halnya dengan mereka, yang bukan Islam bekerja di restoran yang dipenuhi
orang Melayu Islam. Pihak tertentu sepatutnya memberi garis panduan yang mesti
dipatuhi oleh restoran ini supaya mengambil pekerja yang beragama Islam sahaja.
Islam itu suci, zahir dan batin, kesucian batin melibatkan akidah, iaitu
pegangan agama Islam.
Keadaan yang sama juga berlaku
di hotel-hotel yang sebahagian besar daripadanya menyediakan makanan yang
enak-enak tetapi tidak ada sijil halal. Tidak pernah terdengar, ada pihak-pihak
tertentu yang meminta supaya pihak kerajaan, pihak jabatan agama Islam atau
Jakim memastikan supaya hotel-hotel berusaha mendapatkan sijil halal dalam
semua aktiviti penyediaan makanan.
Apabila sijil halal itu tidak
diperlukan, maka dengan sendirinya makanan yang disajikan itu tidak tertakluk
kepada hukum halal.
Pada pemikiran kebanyakan orang
bukan Islam, terutamanya dari Barat, apabila menyebut tentang halal food atau
muslim food yang dimaksudkan ialah datang yang bukan daripada daging babi. Pada
hal makanan halal itu bermaksud makanan hasil daripada ternakan yang disembelih
menurut syariat. Kerana itu apabila ayam, kambing atau kerbau itu disembelih
oleh orang bukan Islam, maka sembelihan, pemotongan leher atau ketukan pada
kepala yang menyebabkan binatang itu mati tidak diiktiraf oleh Islam. Apabila
tidak diiktiraf, daging adalah tetap bangkai, haram dimakan.
Dalam kapal terbang, apabila
kita minta halal food atau muslim food, pramugari akan membawa makanan yang
bukan daripada daging babi. Terfikir saya, dari Rusia hendak ke Kuala Lumpur,
kita minta daging halal. Adakah orang yang menyediakan makanan itu akan
menyediakan daging khas yang disembelih oleh orang Islam, pada hal yang minta
makanan halal itu hanya dua orang sahaja?
Terlalu banyak tanya, lagi
cerewet, payah sangat hendak hidup, kalau begitu makan telor sahaja, Minta
telor yang belum dikupas kulitnya. Kalau sudah dikupas, mungkin sambalnya
bercampur dengan minyak babi atau bahan yang tidak halal.
Begitu besar skop kegiatan para
mubaligh kalau hendak dilakukan secara terancang dan rapi, malangnya masih ada
segelintir masyarakat yang memandang mereka dengan mata sebelah, kerana
sesetengah golongan lebih gemar mendengar dan melihat bintang-bintang filem,
pelakon atau penyanyi berkahwin dengan hantaran RM40 ribu, hampir sejuta
ringgit, dipaparkan dalam akhbar-akhbar. Pasangan ini diserbu, dalam
suratkhabar dipenuhi gambar-gambar pasangan ini, tanpa difikiri bahawa berita
seumpama ini tidak memberi manfaat atau maklumat yang bersifat ilmiah yang
menambah kaya khazanah berfikir dan muhasabah diri.
Peranan para mubaligh seperti
seorang kapten juga awak-awaknya berjalan tegak ke hadapan, ke satu destinasi
praktikal. Akhbar-akhbar, televisyen dan radio jangan terlalu banyak memaparkan
berita-berita yang berwarna-warni atau bergula-gula yang pastinya dikerumuni
oleh manusia semua, lalu akhirnya mereka yang mengerumuni itu keletihan,
manakala gulanya cair begitu sahaja, tanpa memberi apa-apa manfaat. Dalam
keadaan ini kalau kapten itu terlajak pendakwah termasuk para mubaligh perlu
mengajak mereka yang terlibat kembali ke pangkal jalan.
Tidak ada salah dengan tabligh
atau amalan berdakwah, malah rasulullah sendiripun seorang pendakwah,
menyampaikan kalimah tauhid kepada mereka yang belum beriman, menjadi contoh
ikutan, yang bersifat sidek, amanah, tabligh dan fatanah dalam tindak-tanduk
yang telah ditetapkan oleh Allah disampaikan melalui Malaikat Jibrail.
Kewajipan bertabligh adalah
jelas, lagi mulia amalannya. Namun kesilapan tetap wujud pada diri mereka yang
bertabligh, antaranya meninggalkan rumah tangga, anak isteri seperti yang
berlaku ke atas puan. Meninggalkan mereka menyebabkan seolah-olah kasih sayang
itu dibawa bersama ketika bertabligh di perjalanan, menyebabkan terasa
seolah-olah bertabligh itu adalah segala-galanya dengan membelakangkan
kewajipan terhadap anak isteri, keselamatan, kasih sayang, hal-hal yang
berkaitan dengan pelajaran, pengajian dan keselamatan keluarga, pada hal
kedua-duanya adalah perlu untuk kebahagiaan di dunia dan akhirat.
Amat malang sekali sekiranya
seseorang itu bertabligh, mensasarkan syurga firdaus di akhirat kelak, namun
isteri terasa terabai dan kehadiran para mubaligh di rumah menimbulkan fobia,
anak-anak terabai pelajarannya serta tidak tahu mengaji al-Quran, lebih malang
kalau pergi bertabligh berbulan-bulan itu menyebabkan isteri menanggung
segala-galanya hal urusan rumah tangga yang sepatutnya menjadi tanggungjawab si
suami.
sumberArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0222&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm#ixzz51upgpKzq
© Utusan Melayu (M) Bhd