ARKIB : 16/01/2009
KUALA LUMPUR - Pemain No. 1
dunia, Datuk Lee Chong Wei mengulangi perlawanan akhir Terbuka Malaysia minggu
lalu apabila bakal menentang bintang muda Korea, Park Sung Hwan sekali lagi
pada saingan suku akhir Kejohanan Badminton Siri Super Terbuka Korea, hari ini.
Kemaraan Malaysia pada
kejohanan lumayan bernilai AS$300,000 (RM1.07 juta) itu turut diteruskan oleh
beregu veteran, Choong Tan Fook-Lee Wan Wah yang menumpaskan naib juara Terbuka
Malaysia, Alvent Yulianto-Hendra Gunawan dari Indonesia 11-21, 21-16, 21-19.
Begitupun cabaran empat lagi
wakil negara, Chong Wei Feng, Mohd. Arif Abdul Latif, Chan Chong Ming-Chew
Choon Eng dan perseorangan wanita, Julia Wong berakhir semalam.
Selepas berhempas pulas untuk
melepasi pusingan pembukaan kelmarin, juara Terbuka Malaysia, Chong Wei
mengharungi perlawanan yang lebih mudah pada pusingan kedua selepas mengalahkan
Tanongsak Saensomboonsuk dari Thailand 21-14, 21-9 dalam masa 20 minit.
Sung Hwan, pemain No. 8 dunia
juga mencatat kemenangan mudah dalam laluan ke suku akhir apabila menundukkan
pemain Jepun, Sho Sasaki 21-12, 21-4.
Walaupun menang lapan daripada
sembilan pertemuannya ke atas Sung Hwan, namun Chong Wei perlu berhati-hati
apabila berdepan jaguh muda Korea itu sekali lagi kerana dia bakal beraksi di
gelanggang sendiri.
Malah, pemenang pingat perak
Olimpik itu tidak mempunyai rekod baik sepanjang penyertaannya di Seoul, di
mana pencapaian terbaik Chong Wei hanya layak ke suku akhir pada 2007 dan 2004.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0116&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz51TmNlKQr
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment