Ad

Wednesday, 13 December 2017

bukan sekadar berhias Tunjuk belang di AFF

ARKIB : 29/11/2008
Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD
 
skuad Malaysia menggunakan jersi Adidas ketika layak ke Sukan Olimpik 1980.

BUKAN calang-calang pemain yang berhak dan layak menyarungkan tubuh mereka dengan jersi negara yang mewakili tradisi kebanggaan dan lambang maruah serta perjuangan Malaysia di arena sukan antarabangsa.

Malah seorang pengurus terkenal pernah berkata kepada sebuah skuad negara yang cukup ringkas tetapi mendalam maknanya - "Bayangkan daripada berjuta-juta warga Malaysia, hanya anda yang terpilih menyarung jersi ini."

Bekas Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Seri Dr. Ibrahim Saad juga menyebut: "Yang terpenting ialah kesedaran mempertahankan maruah negara setiap kali menyarung jersi kerana ia turut mewakili tanggungjawab kepada 25 juta warga Malaysia.”

Dengan diasaskan warna kuning, biru, merah dan putih daripada baju hingga stokin, ia seperti pengganti Jalur Gemilang walaupun ia sepatutnya dilekatkan di dada kiri, sekali gus menyandarkan tanggungjawab yang besar kepada si pemakainya yang bergelar pemain kebangsaan.

Gerak-geri si pemakainya sentiasa mendapat perhatian apatah lagi dalam sukan bola sepak yang memiliki jutaan peminat setia dan harapan tinggi mereka sekalipun pencapaian skuad negara belum mampu dibanggakan pada ranking ke-151 dunia.

Skuad negara bakal memasuki Piala Suzuki AFF dari 5 hingga 28 Disember ini dengan penampilan jersi baru dan lebih segar - kali kedua selepas mendapat penaja baru, Nike sejak Kejohanan AFF (nama lamanya) pada Januari tahun lalu.

Sebelum itu hampir dua dekad lamanya, skuad negara menggunakan kelengkapan Adidas dengan kebanyakannya mengutamakan warna kuning sebelum dijalinkan warna hitam dan berjalur malah kadangkala bertukar kepada putih, merah dan biru.

Kepada segelintir pengkritik, kemunculan jersi baru cuma persis satu perubahan kosmetik dan ia tidak akan membawa sebarang makna selagi skuad negara asyik kecundang, bermain hambar dan berjuang tanpa komitmen atau semangat melawan yang setinggi mentari.

Lumrahnya, benda yang baru turut akan membawa semangat baru untuk menampilkan kebangkitan tetapi sejauh mana ia dapat ditunaikan hanya dapat dijawab mulanya dalam persaingan Kumpulan B menentang Laos, Vietnam dan Thailand.

Namun diukur pada pencapaian skuad negara sejak berjersi berbelang hitam (tuan rumah/utama) setahun lalu yang cuba menyerap semula semangat dan kejayaan skuad juara pertama Pestabola Merdeka 1958 ini, ia masih tidak cukup meyakinkan.

Diterajui Norizan Bakar, Harimau Malaya mengorak langkah dengan jersi itu sebelum terkandas pada separuh akhir Kejohanan AFF 2007 malah lebih teruk ialah ketika 'diratah' China dan Uzbekistan masing-masing dengan lima gol dalam Piala Asia, Julai tahun lalu.

Apabila B. Sathianathan mengambil alih dalam Pestabola Merdeka, sebulan kemudian, prestasi skuad negara tiba-tiba meningkat namun ia seperti ada kaitannya dengan penukaran kepada jersi biru seluar putih mereka (pelawat/kedua) sebaik sahaja dikejutkan Myanmar 2-1.

Penampilan biru-putih itu turut membawa tuah apabila kemarau kejuaraan Pestabola selama 14 tahun diakhiri anak buah Sathia dengan membalas dendam terhadap lawan 3-1 dalam perlawanan akhir di stadium Shah Alam, Selangor.

Malangnya tuah jersi baru tidak berpanjangan pada Kelayakan Piala Dunia 2010 (Oktober) yang merakamkan kekalahan agregat 4-1 kepada Bahrain sekali gus mengucapkan selamat tinggal kepada tuan rumahnya, Afrika Selatan, tiga tahun lebih awal sejak pusingan pertama lagi.

Tiada bezanya dengan Sukan SEA Korat 2007 pada November - misi sasaran Sathia bersama skuad Bawah 23 Tahunnya yang menyaksikan mereka gagal ke separuh akhir dan pulang tanpa pingat setelah dibenam Vietnam 3-1, diikat Singapura 1-1 dan hanya mengalahkan Laos 4-0.

Memasuki 2008, skuad Sathia mengikat Indonesia (Jun) dan India (Julai) 1-1 dan membenam Pakistan 4-1 dalam siri persahabatan menjelang ke Pestabola Merdeka dengan deretan empat kemenangan tanpa bolos sebelum hanya dihampakan skuad belia Vietnam menerusi penalti 6-5.

Tiba-tiba Piala Cabaran Grand Royal di Yangon pada pertengahan bulan lalu merakamkan kebimbangan penyokong Harimau Malaya kerana setelah mampu menghukum balik Vietnam, skuad negara langsung longlai dibenam Myanmar 4-1 - satu jurang gol yang cukup besar dan mengejutkan.

Tekanan pada nasib Sathia di 'kerusi panas' itu memuncak serta-merta dan kepercayaan Timbalan Presiden FAM, Khairy Jamaluddin Abu Bakar terhakis lalu mencetuskan kata dua buatnya - "Berjaya di AFF atau selamat tinggal".

Sekalipun penaja masih terikat dengan kontrak dalam tempoh tertentu, sebarang pencapaian hambar lagi mungkin mampu memberikan kesan yang kurang memberangsangkan kepada penjualan jersi ini di kalangan penyokong bola sepak.

Sekali lagi lumrah dan resmi manusia memainkan peranan di sini dengan mengungkap persoalan yang sinis tetapi cukup mudah dijawab, "Siapa yang mahu digelar Si Malang (The Loser) kerana memakai jersi pasukan yang asyik kalah?
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1129&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana_Sukan&pg=rs_02.htm#ixzz518ydS5DS

© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment