ARKIB : 08/09/2008
Koleksi tulisan Allahyarham WAN
MOHD. SHAGHIR ABDULLAH
KITAB Tafsir Surah Yasin
karangan Imam Asy-Syaukani terjemahan bahasa Melayu oleh Sheikh Al-Marbawi atas
permintaan percetakan Musthafa Al-Baby Al-Halabi Mesir tahun 1353H.
ULAMA besar yang diperkenalkan
pada kali ini tidak asing bagi kebanyakan pelajar-pelajar Alam Melayu amnya,
dan di Malaysia khususnya. Beliau sangat terkenal dengan kamus Arab-Melayunya,
iaitu Qamus al-Marbawi. Beliau ialah Sheikh Muhammad Idris Abdur Rauf
al-Marbawi, seorang ulama yang berketurunan dari Kampung Merbau, Perak.
Dilahirkan pada tahun 1893 M di Mekah, dan tarikh kembalinya beliau ke
rahmatullah juga telah banyak ditulis orang pada 10 Oktober 1989, dimakamkan di
Kampung Lubuk Merbau, Perak pada usia 96 tahun.
Tok Kenali antara Guru Sheikh
Idris al-Marbawi
Ilmu yang paling banyak
diperolehnya adalah dari Tok Kenali Kelantan. Sebelum ini, artikel mengenai Tok
Kenali pernah dibicarakan penulis dengan judul Tok Kenali: Ulama Peringkat Wali
yang dikeluarkan pada Isnin, 2 Oktober 2006.
Namun dirasakan perlu dibicarakan
lagi secara umum berkenaan guru kepada Sheikh Idris Marbawi tersebut.
Tok Kenali adalah satu nama
yang paling terkenal dalam dunia pengajian Islam bersistemkan pondok di
Malaysia, bahkan juga seluruh Alam Melayu.
Beliau ialah murid yang paling
dipercayai oleh Sheikh Ahmad al-Fathani, sehinggakan tiada satu rahsia
perjuangan Sheikh Ahmad al-Fathani yang tidak diketahui oleh beliau.
Beliau meninggalkan murid yang
sangat ramai. Antara yang menjadi ulama besar adalah Sheikh Idris Marbawi dan
Sheikh Utsman Jalaluddin Penanti. (Sumber ini penulis perolehi daripada murid
beliau, Tuan Guru Haji Abdur Rahman bin Husein al-Kalantani, seorang Mufti
Mempawah Indonesia, yang didengar penulis pada tahun 1969 di Indonesia, Tuan
Guru Haji Mahmud di Gajah Mati, Kedah, yang didengar pada tahun 1970, Kadi Haji
Wan Ismail bin Hawan di Jala Patani pada tahun 1970, Kadi Haji Abdur Rahim
Kelantan di Mekah pada tahun 1979, dan masih ramai yang lain yang belum perlu
disebutkan).
Karya-karya yang dihasilkan
Sheikh Idris al-Marbawi
meninggalkan karya-karya yang tidak kurang banyaknya. Terdapat dua karya beliau
yang sangat terkenal, sehingga masih digunakan sehingga ke hari ini iaitu Qamus
al-Marbawi dan Bahrul Mazi. Keterangan maklumat mengenai kedua-dua karya
tersebut adalah berikut:
A. Qamus Idris al-Marbawi
Qamus Idris al-Marbawi adalah
judul sebenar dalam persuratan. Dalam percakapan umum dinamakan kamus Marbawi.
Kamus ini bukan kamus Arab-Melayu yang pertama ditulis. Terdapat kamus lain
ditulis sekitar tahun berhampirannya. Namun, kamus ini mendapat tempat
tersendiri dalam bidang perkamusan.
Paling luas penyebarannya
Antara keistimewaan kamus ini
berbanding yang lainnya adalah kamus Arab-Melayu yang ditulis dengan
Melayu-Jawi dan yang pertama paling luas penyebarannya di seluruh dunia Melayu.
Bahkan ia turut digunakan oleh masyarakat Melayu di Mekah, Mesir dan beberapa
tempat lain.
Ia turut digunakan oleh hampir
semua orang yang belajar bahasa Arab dari kalangan suku kaum Melayu, Jawa,
Bugis dan sebagainya.
Dalam mukadimahnya, beliau
meluahkan yang terkandung dalam hatinya demi kemajuan bangsa Melayu, iaitu
katanya: Kemudian dari itu, maka sebelum masuk mengarang kamus ini, lebih dulu
menerangkan maksudku mengadakannya, ialah memajukan bangsaku Melayu, sekiranya
menuntut bahasa Arab adalah kamus penyuluhnya yang diharap, mendapatkan
pelajarannya umpama nahu dan saraf.
Kamus ini mengandungi dua
juzuk. Juzuk pertama yang mengandungi 384 halaman dimulakan huruf Alif dan
berakhir dengan Zha, yang mengandungi 18,000 kosa kata perkataan Arab yang
diberi takrif atau ertinya ke dalam bahasa Melayu, dan terdapat juga 700 yang
diisyaratkan dalam bentuk gambar.
Dalam juzuk kedua pula
mengandungi 401 halaman, yang dimulakan daripada huruf Ain dan berakhir dengan
huruf Ya, juga terdapat 18,000 kosa kata Arab dan 500 yang diisyaratkan dalam
bentuk gambar.
Berkenaan maklumat-maklumat
lainnya berkaitan kamus Marbawi tersebut, telah banyak penulis bicarakan dalam
Berita Harian, 28 Mac 2006 (Selasa) dengan judul Kamus Marbawi Rujukan Pelajar
Kuasai Bahasa Arab.
B. Bahrul Mazi
Karya Syeikh Idris al-Marbawi
yang berupa hadis yang terkenal ialah Bahrul Mazi, judul lengkapnya Bahrul Mazi
li Syarh Mutkhtasar Sahihit Tarmizi. Ia merupakan terjemahan kitab Sahih
Tarmizi dan disyarah oleh beliau.
Terjemahan Sahih Tarmizi secara
lengkap ini adalah merupakan yang pertama sekali dilaksanakan dalam bahasa
Melayu.
Bahrul Mazi adalah karya besar
yang terdiri daripada 22 jilid yang sudah diterbitkan. Maklumat ringkas tentang
keseluruhan jilidnya, adalah seperti berikut:
- Jilid I : Tanpa menyebut
tarikh. Tebal 227 halaman. Menerangkan bicara bersuci dan barang yang takluk
dengannya. Terdiri daripada 126 hadis dan 591 masalah.
- Jilid II: Tanpa menyebut
tarikh. Tebal 232 halaman. Menerangkan bicara sembahyang dan barang yang takluk
dengannya. Terdiri daripada 138 hadis dan 454 masalah.
- Jilid III: Tanpa menyebut tarikh.
Tebal 240 halaman. Menerangkan bicara sembahyang dan barang yang takluk
dengannya. Terdiri daripada 161 hadis dan 558 masalah.
- Jilid IV: Tanpa menyebut
tarikh. Tebal 232 halaman. Menerangkan bicara sembahyang; zakat dan barang yang
takluk dengannya. Terdiri daripada 115 hadis dan 519 masalah.
- Jilid V: Tanpa menyebut
tarikh. Tebal 208 halaman. Menerangkan bicara puasa dan barang yang takluk
dengannya. Terdiri daripada 110 hadis dan 473 masalah.
- Jilid VI: Tanpa menyebut
tarikh. Tebal 224 halaman. Menerangkan bicara haji dan barang yang takluk
dengannya. Terdiri daripada 108 hadis dan 458 masalah.
- Jilid VII: Tanpa menyebut
tarikh. Tebal 224 halaman. Menerangkan bicara umrah dan jenayah. Terdiri
daripada 114 hadis dan 483 masalah.
- Jilid VIII: Tanpa menyebut
tarikh. Tebal 224 halaman. Menerangkan baki bab-bab jenayah dan membicarakan
Kitabun Nikah. Terdiri daripada 99 hadis dan 330 masalah.
- Jilid IX: Tarikh selesai
menulis malam Rabu, 29 Syawal 1357 H di rumah berdekatan Universiti Al-Azhar,
Kaherah, Mesir. Tebal 224 halaman. Menerangkan bab-bab talak, lian dan jual
beli. Terdiri daripada 117 hadis dan 226 masalah.
Bab-bab jualan
- Jilid X: Tanpa menyebut
tarikh. Tebal 228 halaman. Menerangkan baki bab-bab jualan, bab-bab kadi, diat
dan barang yang takluk dengannya. Terdiri daripada 180 hadis dan 259 masalah.
- Jilid XI: Tanpa menyebut
tarikh. Tebal 224 halaman. Menerangkan korban, nazar-nazar, sumpah-sumpah,
perjalanan Nabi dan barang yang takluk dengannya. Terdiri daripada 151 hadis
dan 486 masalah.
- Jilid XII: Tanpa menyebut
tarikh. Tebal 232 halaman. Menerangkan perang sabil, pakaian, makanan dan
barang yang takluk dengannya. Terdiri daripada 170 hadis dan 353 masalah.
- Jilid XIII: Tanpa menyebut
tarikh. Tebal 224 halaman. Menerangkan minum-minuman, kebaktian, perhubungan
rahim dan barang yang takluk dengannya. Terdiri daripada 152 hadis dan 472
masalah.
- Jilid XVI: Tanpa menyebut
tarikh. Tebal 224 halaman. Melengkapi atas baki bab-bab perhubungan rahim,
perubatan, faraid, wala, hibah, qadar dan barang yang takluk dengannya.
Terdiri daripada 138 hadis dan 395 masalah.
- Jilid XV: Tanpa menyebut
tarikh. Tebal 248 halaman. Melengkapi bab-bab huru-hara, tabir mimpi dan
saksi-saksi. Terdiri dari 105 hadis dan 301 masalah.
- Jilid XVI: Tarikh akhir Bab
ar-Ruya dan mengiringi bab-bab syahadah. Selesai malam Rabu, 21 Ramadan 1359
H/1940 M. Melengkapi atas bab-bab mimpi, saksi-saksi dan zuhud. Terdiri
daripada 128 hadis dan 237 masalah.
- Jilid XVII: Tanpa menyebut
tarikh. Tebal 232 halaman. Melengkapi atas bab-bab sifat kiamat; pelembut hati,
wara dan barang yang takluk dengannya. Terdiri daripada 100 hadis dan 210
masalah.
- Jilid XVIII: Tanpa menyebut
tarikh. Tebal 228 halaman. Melengkapi atas bab-bab sifat syurga, neraka, iman
dan barang yang takluk dengannya. Terdiri daripada 109 hadis dan 210 masalah.
Minta izin
- Jilid XIX: Tanpa menyebut
tarikh. Tebal 228 halaman. Melengkapi atas bab-bab ilmu, minta izin dan barang
yang takluk dengannya. Terdiri daripada 148 hadis dan 266 masalah.
- Jilid XX: Tarikh dicatat oleh
pengarangnya, katanya: Telah selesai hamba daripada menulis dan mengarangkan
juzuk yang kedua puluh ini dengan kurnia Allah SWT kemudian daripada tergendala
mengarangnya 16 tahun. Iaitu mula perang Inggeris dengan Jerman dan Jepun dan
Itali pada tahun 1949, dan sudah juzuk ini pada malam Rabu 25 Ramadan dan 1373
bersamaan 18 Mei 1955." Melengkapi atas baki bab-bab adab, misal-misal,
bab-bab pahala Quran dan barang yang takluk dengannya. Terdiri daripada 127
hadis dan 311 masalah.
- Jilid XXI: Mulai penulisan
pada hari Khamis, 26 Syaaban 1374 H/19 Mei 1955 M, dan diselesaikan pada 25
Rabiulakhir 1376 H/10 Disember 1955 M. Tebal 255 halaman. Melengkapi atas
segala bab tafsir. Terdiri daripada 92 hadis dan 335 masalah.
- Jilid XXII: Dimulai 25
Rabiulakhir 1376 H/10 Disember 1955 M, dan selesai pada malam 2 Jamadilakhir
1377 H/24 Disember 1957 M. Tebal 242 halaman. Melengkapi atas tafsir
setengah-setengah ayat di dalam surah al-Maidah dan lain-lainnya. Terdiri
daripada 95 hadis dan 351 masalah.
Penerbitan keseluruhan
diusahakan oleh Syarkah wa Maktabah wa Mathbaah Mustafa al-Baby al-Halaby wa Auladuhu,
Mesir, mulai tahun 1352 H/1933 M.
Pada kata aluan jilid pertama,
pengarangnya menerangkan bahawa beliau telah belajar ilmu hadis daripada Sheikh
Muhammad Ibrahim as-Samaluti, iaitu guru hadis yang mengajar berpuluh-puluh
tahun di Jami Saiyidina Husein di Kaherah, Mesir. Bahawa ketika pulang ke
rumah, beliau terus mencatat pelajarannya sehingga tersusunlah kitab besar
Bahrul Mazi tersebut.
Kurang tersebar
Sebuah lagi karangan Sheikh
Idris al-Marbawi yang kurang tersebar ialah kitab Tafsir Surah Yasin. Asal
kitab ini adalah karangan Imam Muhammad bin Ali bin Muhammad asy-Syaukani dan
diterjemahkan ke bahasa Melayu oleh Sheikh Idris al-Marbawi atas permintaan
Syarkah wa Maktabah wa Mathbaah Mustafa al-Baby al-Halaby wa Auladuhu, Mesir
pada tahun 1353H.
Pada mukadimah Sheikh Idris
al-Marbawi menulis: Adapun kemudian daripada itu, maka telah menuntut kepada
hamba oleh Syarkah wa Maktabah wa Mathbaah Mustafa al-Baby al-Halaby wa
Auladuhu, Mesir bahwa hamba terjemahkan tafsir yasin karangan asy-Syaukani
daripada Arab kepada Melayu....
Kitab ini telah diterbitkan
oleh Mathbaah Mustafa al-Baby al-Halaby wa Auladuhu, Mesir pada tahun 1353H/
1935 M.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0908&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_04.htm#ixzz50NgL0Lhk
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment