ARKIB : 22/11/2008
Oleh TAUFEK RAZAK
AZIZULHASNI Awang berjaya
mencatat sejarah menjadi pelumba pertama negara membawa pulang pingat emas pada
perlumbaan basikal trek Piala Dunia di Melbourne, semalam.
KUALA LUMPUR - Azizulhasni
Awang mencatat sejarah menjadi pelumba pertama negara berjaya memenangi pingat
emas pada perlumbaan basikal trek Piala Dunia yang berlangsung di Melbourne,
Australia, semalam.
Dalam aksi acara keirin yang
mendebarkan itu, Azizulhasni menewaskan pelumba Ukraine, Andriy Vynokurov di
tempat kedua dan pelumba Perancis yang mewakili kelab Cofidis, François Pervis,
ketiga.
Turut menjadi mangsa kayuhan
bertenaga pelumba cilik kelahiran Terengganu itu ialah pemenang pingat gangsa
Sukan Olimpik Beijing dari Jepun, Kazunari Watanabe yang sekadar mampu
menduduki tempat kelima daripada enam pelumba yang beraksi dalam acara akhir.
Kejayaan Azizulhasni itu sekali
gus menebus kekecewaan dan kesilapannya di Beijing, Ogos lalu dan membalas
dendam kekalahan kepada Watanabe yang menjadi musuh tradisinya di Asia.
Malah dalam perjalanannya ke
perlumbaan akhir keirin, Azizulhasni mengungguli kesemua acara saringan iaitu
pertama dan kedua.
Mengulas mengenai kejayaan itu,
Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Abu Samah Wahab
berkata, ia satu pencapaian yang tentunya membanggakan.
"Josiah Ng juga pernah
menang keirin pada Piala Dunia sebelum ini tetapi dia tidak menang emas
sebaliknya hanya meraih mata sahaja.
"Kali ini pingat emas
diberikan. Jadi ini kali pertama Malaysia bawa pulang emas malah kali pertama
juga lagu Negaraku berkumandang pada trek Piala Dunia ini," katanya.
Menurut Abu Samah, Josiah
bagaimanapun tidak beraksi dalam acara keirin semalam kerana satu negara hanya
dibenarkan diwakili satu pelumba sahaja.
Sementara itu, dalam acara
kejar mengejar berpasukan lelaki, kuartet negara hanya mampu menduduki tempat
ketujuh dan tercorot.
Gandingan Akmal Amrun, Mohd
Fadhli Fauzi, Jasmin Ruslan dan Thum Weng Kin mencatat masa 4 minit 28.344
saat.
Catatan itu jelas masih jauh
daripada standard kelas dunia walaupun kayuhan mereka makin pantas berbanding
rekod kebangsaan.
Acara itu semalam dimenangi
Australia (4:03.483s) diikuti Sepanyol (4:07.945s) dan Ukraine (4:10.041s).
Hari terakhir saingan hari ini
bakal menyaksikan Azizulhasni berpeluang menambah pingat emas untuk negara
apabila beraksi dalam acara 200 meter pecut bersama Josiah.
Kelmarin, pelumba tunggal
wanita negara, Fatehah Mustapha tewas seawal pusingan pertama lagi dalam acara
200m pecut wanita
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1122&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz518Uxs2JN
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment