Ad

Thursday, 14 December 2017

Pentingnya menghayati sejarah

ARKIB : 14/12/2008
Oleh Ku Seman Ku Hussain
ORANG cerdik pandai selalu berkata, sejarah adalah guru terbaik untuk mendidik manusia menjadikan sesuatu yang lalu sebagai teladan atau sempadan. Sejarah adalah kebijaksanaan silam yang boleh dimanfaatkan untuk menongkah masa depan. Andaian yang mengatakan sejarah tidak relevan dengan masa kini dan akan datang adalah disebabkan persepsi sempit terhadap sejarah. Andaian ini tercetus apabila sejarah difahami sebagai himpunan tarikh-tarikh dan peristiwa-peristiwa luput yang terpisah dengan realiti sosio-budaya dan politik semasa.

Kerana tidak memahami sejarah juga misalnya, ada sesetengah pihak menafikan banyak perkara yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan. Kewujudan Perlembagaan Persekutuan itu satu sejarah besar negara ini. Malah kerana tidak menghayati sejarah juga membuatkan sesetengah pihak menanggapi sesuatu isu yang melibatkan kaum terkeluar daripada kerangka sejarahnya. Mereka tidak melihat sejarah sebagai asas untuk memberi dan menerima dalam sesuatu perkara. Maka asas perpaduan di negara berbilang kaum seperti Malaysia adalah memahami, menghayati dan memanfaatkan sejarah.

Dalam konteks ini langkah Kementerian Pelajaran menimbang untuk menjadikan sejarah sebagai satu subjek khusus adalah suatu yang proaktif. Pengumuman menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein untuk memberikan penekanan subjek sejarah di peringkat sekolah rendah dilihat satu anjakan besar untuk melahirkan generasi yang tahu menghormati dan menghayati sejarah negara.

Ketika ini subjek sejarah agak terpinggir disebabkan tidak menjadi subjek khusus. Malah di peringkat sekolah rendah, sejarah hanya diperkenalkan pada tahun empat. Sementara di peringkat menengah pula pendekatan pembelajaran sejarah kelihatan tidak dinamik, masih dengan pendekatan menghafal tarikh-tarikh dan peristiwa tertentu kecuali di peringkat tingkatan enam.

Banyak tanggapan sebelum ini bahawa subjek sejarah gagal menarik minat pelajar berbanding subjek lain. Tanggapan ini barangkali ada benarnya kalau pendekatan tidak diubah supaya lebih interaktif dan mengesan wujudnya elemen-elemen dinamik daripada sejarah. Sekarang ini seorang pelajar boleh memilih sama ada belajar bersungguh-sungguh atau sambil lewa terhadap subjek sejarah. Ini kerana subjek ini tidak memberikan apa-apa kesan terhadap keputusan dalam peperiksaan khususnya di peringkat menengah.

perpaduan

Kita kena mengakui bahawa sejarah sesebuah negara adalah akar tunjang sesuatu bangsa. Kerana itu subjek sejarah sememangnya kunci perpaduan dan persafahaman antara kaum di negara ini. Tetapi agak malang apabila tidak ada pihak yang bangkit dan membetulkan pendekatan pengajaran sejarah supaya tidak dianggap sebagai "melihat kembali benda-benda mati."

Dengan anjakan besar yang dibayangkan oleh Hishammuddin, banyak sejarah kegemilangan silam serta peninggalan khazanah intelektual orang-orang Melayu akan ditampilkan kepada generasi muda masa kini. Pengajaran subjek sejarah mesti bermula di peringkat awal yakni di sekolah rendah. Semua ini bertujuan mengubah persepsi bahawa sejarah bukan belajar tentang "benda-benda mati" atau menghafal tarikh-tarikh yang tidak relevan dengan keperluan semasa.

Mempelajari subjek sejarah adalah menyelongkar atau menyusuri lapis demi lapis kebijaksanaan silam. Kegagalan mengenal sejarah yang berkaitan dengan negara sendiri akan melunturkan kecintaan kepada tanah air. Definisi subjek sejarah bukan saja mengingati beberapa tarikh penting, peristiwa tertentu malah tokoh- tokoh yang bertanggungjawab melakukan anjakan pemikiran kepada bangsanya pada zaman lampau.

Sejarah mengenai orang Melayu dan dunia Melayu bukanlah sekadar kebangkitan dan kejatuhan empayar Sri Vijaya, Majapahit, Sumatera-Pasai, Melaka atau Johor-Riau. Sejarah Melayu mengenai sumbangan para intelektual silam yang terus relevan hingga kini.

Maka persepsi tentang pembelajaran dan pengajaran subjek sejarah boleh di atasi sekiranya kita kembali menoleh sumbangan intelektual tokoh-tokoh seperti Munshi Abdullah yang menulis Hikayat Abdullah dan Hikayat Pelayaran Abdullah pada zaman Stamford Raffles. Jangan lupa, Munshi Abdullah pernah dianggap oleh sesetengah orang Melayu sebagai "Budak Raffles" kerana mengkritik sikap sesetengah orang Melayu. Munshi Abdullah dianggap pengkhianat Melayu kerana kritikannya yang tajam itu.

Tetapi sejarah juga membuktikan Munshi Abdullah bukan pengkhianat apabila intelektual Melayu selepasnya daripada kalangan nasionalis menulis perkara yang sama mengenai masalah orang Melayu.

Dalam konteks yang lebih luas, subjek sejarah perlu bebas daripada kepungan fahaman politik yang sempit. Ini merugikan kerana disebabkan berbeza fahaman politik, sesetengah tokoh dalam sejarah bangsa dipadamkan dari senarai khususnya setiap kali ulang tahun kemerdekaan negara.

mempertahankan

Kementerian Pelajaran mesti mempertahankan langkah menjadikan sejarah sebagai subjek khusus di peringkat rendah dan juga menengah. Kita tidak mahu ada kalangan generasi muda yang lebih kenal sejarah negara lain daripada tanah air bertuah tempat mereka berteduh ini. Kalangan bukan Melayu khususnya mesti diperjelaskan bahawa mengkaji sejarah negara ini tidak boleh dipisahkan daripada melihat sejarah orang Melayu. Sejarah negara adalah sejarah Melayu yang bersifat kebangsaan yakni meliputi semua kaum. Ini sama dengan perjuangan kemerdekaan yang digerakkan oleh nasionalis Melayu, tetapi ini perjuangan kebangsaan untuk semua kaum. Sejarah negara ini tidak boleh dipisahkan daripada tiga perkara; orang Melayu, institusi Raja-Raja Melayu dan agama Islam.

Kalau kembali kepada sejarah, sudah tentu tidak wujud prasangka antara kaum di negara ini kerana sejarah telah menggariskan hak masing-masing tanpa berkorban apa-apa atau mengambil apa-apa daripada orang lain. Apabila mereka tahu sejarah asal usul masing-masing, tidak timbul lagi sekian banyak tuntutan yang tidak masuk akal.



SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1214&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_10.htm#ixzz51EF8zfoS

© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment