Ad

Saturday, 16 December 2017

Optimis kejayaan Harimau Malaya

ARKIB : 16/01/2009
 
Pemain bola sepak negara giat menjalani latihan kecergasan di ISN menjelang pertemuan Kelayakan Piala Asia 2011 dengan UAE di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur Rabu ini.
- Gambar ASMARUDDIN JAMALUDDIN

KUALA LUMPUR - Walaupun hanya mempunyai lima hari untuk meningkatkan kecergasan pemain menjelang perlawanan Kelayakan Piala Asia 2011 menentang Emiriyah Arab Bersatu (UAE), jurulatih negara, B. Sathianathan optimis skuad negara mampu melakukan kejutan terhadap pasukan Asia Barat itu.

Malah, kedudukan ke-114 UAE di persada dunia sedikitpun tidak membimbangkan Sathia yang sebelum ini nyaris diketepikan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) hasil prestasi hambar pasukan negara pada kejohanan Piala AFF Suzuki, Disember lepas.

"Berdasarkan ranking dunia, diakui UAE lebih hebat berbanding kita. Namun tidak mustahil Malaysia akan mencipta kemenangan bergaya, lebih-lebih lagi kita beraksi di gelanggang sendiri," ujarnya kepada Utusan Malaysia di Institut Sukan Negara (ISN) Bukit Jalil di sini semalam.

Pun begitu, Sathia mengakui tugasnya dalam masa lima hari ini agak mencabar terutama dua daripada 28 pemain utama negara iaitu Rosdi Talib dan Syed Adney Syed Hussein mengalami kecederaan.

Malaysia akan bertemu dengan UAE pada perlawanan Kumpulan C Kelayakan Piala Asia 2011 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Rabu ini.

Kini 28 jentera Harimau Malaya sudah mula menjalani latihan intensif di ISN sejak semalam selain mengikuti latihan kecergasan yang bertujuan mengenal pasti kemampuan prestasi mereka.

"Selain ujian kecergasan, para pemain juga akan diberikan pendedahan kepada latihan taktikal.

"Kita memilih 28 pemain ke latihan pusat berdasarkan kehebatan semasa mereka bersama pasukan masing-masing.

"Semasa sesi latihan inilah kita akan mengenal pasti mereka yang layak dan akan disenarai pendek dalam membentuk kesebelasan utama," ujarnya.

Malaysia diundi dengan UAE dan Uzbekistan dalam persaingan Kumpulan C Piala Asia 2011. Pasukan keempat, India, sudahpun layak ke pusingan akhir selepas menjadi juara Piala Cabaran Gabungan Bola Sepak Asia (AFC) 2008.

Uzbekistan pernah menumpaskan Malaysia 5-0 dalam pusingan akhir Piala Asia di Kuala Lumpur pada Julai 2007, manakala pertemuan terakhir negara dengan UAE pula menyaksikan pasukan Asia Barat itu memenangi perlawanan persahabatan 3-1 di Petaling Jaya, Selangor.

Malaysia layak secara automatik ke Piala Asia pada tahun 2007 selaku tuan rumah bersama Thailand, Vietnam dan Indonesia manakala kemaraan ke pusingan akhir menerusi merit hanya mampu dicapai pada 1976 di Iran dan Kuwait pada 1980.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0116&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz51TdYcMu3

© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment