ARKIB : 16/10/2008
Oleh ZAINI RABAN
Masjid India Muslim di Ipoh ini
masih gah walaupun sudah berusia 100 tahun.
- Gambar MOHD. NAJIB MOHD NOR
IPOH 15 Okt. - Salah satu yang
menarik perhatian apabila bercerita tentang bangunan lama di Ipoh ialah
mengenai kewujudan sebuah masjid yang terletak betul-betul di tengah bandar
raya ini iaitu Masjid India Muslim.
Sama ada percaya atau tidak,
usia masjid yang terletak berhampiran dengan Padang Bandaran Ipoh ini sudah
mencecah 100 tahun.
Ia dibina pada tahun 1908 dan
diasaskan oleh Sheikh Adam yang merupakan keturunan Tamil.
Buat pengetahuan umum, masjid
berkenaan merupakan sebuah masjid tua yang dibangunkan oleh pengikut Mazhab
Hanafi dan terletak di Jalan Clayton atau kini lebih dikenali sebagai Jalan
S.P. Seenivasagam.
Pada mulanya, tujuan masjid ini
dibina adalah untuk kegunaan komuniti India Muslim di Ipoh tetapi setelah 100
tahun berlalu, fungsi serta peranannya dalam membangunkan dakwah Islam di
negeri ini khususnya Ipoh memang tidak dapat dinafikan.
Apa yang membanggakan, masjid
ini terus tersergam indah dan secara tidak langsung menjadi lambang kekukuhan
syiar Islam di bandar raya ini.
Penulis percaya, semua itu
adalah hasil usaha keras, titik peluh dan keikhlasan komuniti India Muslim yang
terlibat dalam membina dan mengimarahkan Masjid India Muslim selama ini.
Pembinaan dan konsep seni bina
masjid ini lebih cenderung kepada Chitya India atau gaya Moghul yang hampir
sama bentuknya dengan Diwan-i-Khas di Delhi.
Bagaimanapun, apa yang penting
ialah mengenai pengisian atau fungsi masjid tersebut yang masih mampu bertahan
setelah 100 tahun berlalu.
Antara aktiviti kebajikan utama
masjid ini ialah membela saudara seagama yang hidup dalam kesusahan.
Sebab itu, di sebelah masjid
berwarna putih dan hijau ini, terdapat sebuah bangunan asrama yang menempatkan
insan-insan kurang bernasib baik.
Asrama berkenaan digunakan oleh
mereka sebagai tempat untuk berteduh selain beribadah selepas mendapat
kebenaran pihak pengurusan masjid.
Salah seorang individu penting
di sebalik kejayaan Masjid India Muslim ini bertahan lama ialah Pengerusi
Jawatankuasa Masjidnya iaitu Datuk Thasleem Mohd. Ibrahim Al-Haj.
Beliau yang merupakan tokoh
korporat yang berjaya begitu tegas dalam memainkan peranan untuk membela
golongan fakir miskin di seluruh negara.
''Kadang-kala kita cuma bagi
bantuan kepada mereka yang layak di masjid ini tetapi ia hanyalah simbolik di
hadapan masyarakat umum.
''Sebenarnya kita turut
membantu ramai mereka yang susah tetapi perkara itu tidak perlulah dihebahkan
kepada umum," katanya baru-baru ini.
Sempena dengan sambutan 100
tahun masjid itu, pihaknya berhasrat untuk menjemput Sultan Perak, Sultan Azlan
Shah menziarah masjid berkenaan sebagai tanda penghormatan.
Katanya, selaku Ketua Agama
Islam di Perak, Sultan Azlan adalah individu paling layak untuk memberi
penghormatan kepada kejayaan masjid ini.
Ditanya mengenai keunikan
masjid berkenaan, Thasleem berkata, kebanyakan jemaah berasa amat kagum dengan
kekukuhan binaan masjid tersebut.
''Setelah 100 tahun berlalu,
terfikir juga bagaimana masjid ini boleh begitu kukuh berdiri. Bagaimanapun
selepas diperiksa oleh pakar, kami dapati kayu di bahagian bumbungnya sudah
teruk dimakan anai-anai.
''Kami amat terkejut melihat
keajaiban itu. Malah pakar kejuruteraan yang kami bawa dari Kuala Lumpur juga
hanya mampu menggelengkan kepada dan hanya berkata ini semua kerja Allah.
''Kami sangat bersyukur kerana
mengikut logik, bumbung masjid ini sebenarnya boleh runtuh pada bila-bila
masa," katanya.
Setelah meneyedari perkara
tersebut, pihak pengurusan masjid telah membuat keputusan untuk memperbaiki
masjid berkenaan melalui dua fasa.
Katanya, fasa yang pertama
iaitu menukar kayu-kayu bumbung telah siap dengan menelan belanja lebih
RM200,000.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1016&pub=Utusan_Malaysia&sec=Utara&pg=wu_01.htm#ixzz50wJph9ym
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment