ARKIB : 15/01/2009
KUALA LUMPUR - Dua pemain
pelapis negara, Chong Wei Feng dan Mohd. Arif Abdul Latif menyelamatkan maruah
Malaysia apabila berjaya mengiringi jaguh No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei mara
ke pusingan kedua Kejohanan Badminton Siri Super Terbuka Korea di Seoul,
semalam.
Kemaraan Wei Feng dan Arif itu
berjaya menggelakkan Malaysia daripada mengalami keputusan terburuk selepas
lima wakil lain, termasuk dua lagi pemain senior, Muhammad Hafiz Hashim dan
Kuan Beng Hong tersungkur seawal pusingan pembukaan.
Sekiranya kedua-dua pemain muda
ini gagal meneruskan cabaran, maka hanya Chong Wei yang akan menjadi
satu-satunya perseorangan lelaki Malaysia pada pusingan kedua kejohanan
bernilai AS$300,000 (RM1.07 juta) itu.
Kebanyakan pemain negara masih
gagal menghasilkan keputusan terbaik meskipun tanpa kehadiran pemain utama
dunia dari China dan Indonesia seperti Lin Dan, Chen Jin, Bao Chunlai, Taufik
Hidayat serta Sony Dwi Kuncoro.
Semalam, Wei Feng dan Arif
melayakkan diri ke pusingan kedua Siri Super buat kali pertama dalam karier
mereka, manakala Chong Wei pula dipaksa berhempas pulas ketika melepasi cabaran
pemain muda tuan rumah, Hong Ji Hoon.
Wei Feng, yang tersingkir pada
pusingan pembukaan Terbuka Malaysia, minggu lalu, menewaskan pemain Korea, Kim
Sa Rang 21-15, 21-12 untuk menempah pertemuan dengan jaguh Indonesia, Simon
Santoso.
Arif pula menumpaskan pemain
India, Anand Pawar 21-14, 21-15 untuk bertemu seorang lagi pemain Indonesia,
Andre Kurniawan Tedjono.
Chong Wei yang memburu
kejuaraan ketiga berturut-turut dalam tempoh sebulan, bermula cemas apabila
diheret beraksi dalam permainan tiga set ketika menang 21-11, 17-21, 21-15 ke
atas Ji Hoon.
Menanti juara Masters Akhir dan
Terbuka Malaysia itu hari ini adalah pemain Thailand, Tanongsak Saensomboonsuk
yang mara selepas menyingkirkan pemain muda negara, Pei Wee Chung 21-14, 21-11.
Sementara itu, juara Seluruh
England 2003, Hafiz, mengalami satu lagi kekalahan buruk - kurang seminggu
selepas disingkirkan dengan cara yang sama pada Terbuka Malaysia.
Selepas ditumpaskan 21-15,
21-10 oleh Simon pada Terbuka Malaysia, Hafiz tunduk pula 13-21, 12-21 kepada
Joachim Persson dari Denmark - kekalahan yang meningkatkan kebimbangan terhadap
karier bekas pemain utama negara itu.
Dalam perlawanan lain, Beng
Hong tumpas 12-21, 16-21 kepada Simon Santoso, Tan Chun Seang pula kalah mudah
15-21, 11-21 di tangan Sho Sasaki dari Jepun, manakala Sairul Amar Ayob tewas
dalam pertarungan sengit dengan Koichi Saeki 24-22, 20-22, 14-21.
Cabaran Malaysia di Korea juga
diteruskan oleh dua beregu lelaki, Choong Tan Fook-Lee Wan Wah dan Chan Chong
Ming-Chew Choon Eng.
Tan Fook-Wan Wah menewaskan
pasangan tuan rumah, Ko Sung Hyun-Kwon Yi Goo 21-17, 21-19 untuk bertemu naib
juara Terbuka Malaysia, Alvent Yulianto-Hendra Gunawan dari Indonesia.
Chong Ming-Choon Eng juga
menewaskan beregu Korea, Kim Ki Eung-Kim Ki Jung 23-21, 21-8 untuk berdepan
satu lagi pasangan negara itu, Han Sang Hoon-Shin Baek Choel.
Malaysia turut menempatkan satu
wakil dalam perseorangan wanita selepas Julia Wong menyingkirkan Aditi Mutatkar
dari India 21-9, 21-15 untuk bertemu pilihan ketiga, Wang Chen dari Hong Kong.
Cabaran pemain remaja berusia
19 tahun, Lydia Cheah bagaimanapun berakhir dengan kekalahan 9-21, 16-21 kepada
Pia Zebadiah Bernadet dari Indonesia.
sumberArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0115&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz51TG3IjPN
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment