ARKIB : 23/02/200
Susunan SITI AINIZA KAMSARI
DI Zaman Pra Islam iaitu di
Semenanjung Arab dikatakan terdapat lebih 20 kabilah yang terdiri daripada
puak-puak Yahudi. Ini menjadikan terdapat sejumlah besar penduduk di semenanjung
itu terdiri daripada kaum Yahudi selain daripada bangsa-bangsa Arab yang lain.
Tetapi adakah puak-puak Yahudi
ini merupakan penduduk asal Tanah Arab dan membentuk negara bangsa Yahudi
mereka di situ? Pastinya mereka sebagaimana yang tercatat dalam sejarah, Yahudi
merupakan kaum yang terpaksa migrasi dari satu tempat ke suatu tempat yang
lain, mencari bumi mana yang sudi menerima mereka.
Jika kita menyingkap sejarah
asal usul kaum ini, mereka juga dikenali juga sebagai Bani Israel bermaksud
bangsa yang berketurunan Israel.
Fakta mengenai Israel yang
mesti kita ketahui bahawa Israel berasal dari perkataan Ibrani yang bermaksud
'orang yang berjalan di malam hari'.
Iaitu satu gelaran yang
diberikan kepada Nabi Yaakob a.s, iaitu nabi kesepuluh lahir selepas Nabi Adam
a.s. Nabi Yaakob dikatakan selalu mengembara dengan memulakan perjalanannya di
waktu malam, manakala berehat semasa siangnya dan membuat persediaan untuk
meneruskan perjalanan pada waktu malam berikutnya.
Gelaran itu menjadi asal usul
kepada kaum yang lahir daripada anak-anak Nabi Yaakob yang seramai 12 orang
itu, yang turut dikenali dengan gelaran "Al Asbaath."
Antara anak-anak baginda itu
ada yang diangkat sebagai nabi seperti Nabi Yusuf bagi meneruskan syariat Allah
yang diperturunkan kepada nabi-nabi terdahulu, iaitu Nabi Ishak, Nabi Ismail
dan Nabi Ibrahim.
Nabi-nabi lain yang lahir dari
keturunan ini, termasuklah Nabi Ayyub, Nabi Musa, Nabi Harun, Nabi Zulkifli,
Nabi Daud, Nabi Sulaiman, Nabi Ilyas, Nabi Ilyasa, Nabi Yunus, Nabi Zakaria,
Nabi Yahya dan Nabi Isa.
Sehinggalah sejarah bangsa ini
melewati 587 (atau 586) Sebelum Masihi akibat penempatan mereka di Jerusalem
diserang dan dihancurkan oleh Raja Nebuchadnezzar iaitu raja Kaum Chaldea dari
Babylon (Iraq).
Peristiwa ini merupakan kali
pertama orang Yahudi dihalau keluar dari Israel (Jerusalem) dan ada sebilangan
yang ramai daripada mereka ditawan dan dibawa ke Babylon.
Serangan ini tidak sahaja
menghancur dan memusnahkan negara mereka malah termasuk juga haikal (kuil-kuil)
Yahudi. Namun mereka terpaksa juga meninggalkan Jerusalem mencari penempatan
lain untuk meneruskan kehidupan.
Melarikan diri dan perjalanan
mencari dunia baru itu akhirnya, menyaksikan ada kalangan mereka sampai di
bahagian utara Hijaz dan apabila diterima baik oleh penduduk asal Arab di situ,
pendatang Yahudi terus menetap di kawasan-kawasan utara semenanjung Tanah Arab
itu.
Lebih ramai Yahudi yang
melarikan diri ke kawasan tersebut sehingga mereka berjaya membentuk penempatan
Yahudi yang besar iaitu di Yathrib (nama lama bagi Madinah), Khaibar dan Taima.
Mereka kemudiannya membuka
lebih banyak perkampungan-perkampungan Yahudi, benteng dan kubu bagi tujuan
mempertahankan diri daripada serangan musuh.
Pendatang-pendatang Yahudi itu
kemudiannya mula menyebarkan agama mereka di kalangan penduduk-penduduk Arab
yang berada di persekitaran mereka, sehinggalah kedatangan Islam yang dibawa
oleh Nabi Muhammad.
Sebagaimana yang kita sedia
ketahui, Yahudi berjaya membentuk satu komuniti yang kuat terutama di Yathrib.
Kabilah-kabilah Yahudi yang berjaya membentuk pengaruh yang kuat dan terkenal,
termasuklah Kaibar, Mustaliq, Nadir, Quraizah dan Qainuqa.
Jadi telah berlaku asimilasi
agama dan kaum yang jika sebelum ini agama Yahudi itu dianuti oleh bangsa
Israel itu sahaja. Namun mereka nampak ada kepentingan, jika agama Yahudi itu
tersebar di kalangan penduduk asal atau orang Arab itu sendiri kerana menyedari
status mereka yang sebenarnya berasal daripada kaum pendatang.
Fenomena ini menyebabkan ada
pihak yang menyebut terutama di kalangan bangsa Arab, Yahudi dan Islam itu
sebenarnya saling bersaudara. Walaupun berbeza agama tetapi sebenarnya
kedua-dua kaum ini masih mampu untuk hidup berpakat dan berjiran tanpa ada
sebarang prejudis kaum atau perkauman.
Tetapi bagaimana dikatakan
agama Yahudi itu menjadi hak anutan kepada bangsa-bangsa Yahudi sahaja, tidak
bangsa lain yang ada di muka bumi ini? Adakah anda mengetahui fakta sejarah
mengenainya?
Pakar Sejarah terkenal, Harun
Yahya (Adnan Oktar) dalam bukunya, Kaum-kaum Yang Pupus (Terbitan Saba Islamic
Media, 2004) menulis Kitab-Kitab Perjanjian Lama (Taurat) seolah-olah
menggambarkan Nabi Ibrahim seperti menerangkan dua individu berbeza.
Seorang dikenali sebagai
Abraham dengan versi mereka sendiri dan seorang lagi Ibrahim sebagaimana
kisahnya diceritakan dengan benar dan tepat seperti terkandung dalam al-Quran.
Menurut Harun, tidak ada satu
cerita atau kisah Nabi Ibrahim yang dilemparkan ke dalam api dan tindakannya
memecahkan berhala-berhala kaumnya, Kaum Namrud disebut dalam Kitab Perjanjian
Lama (Taurat).
Secara umum kitab itu hanya
menyebut Nabi Ibrahim sebagai moyang kepada kaum Yahudi sahaja.
"Ternyata para pemimpin
kaum Yahudi telah menggunakan pandangan Perjanjian Lama ini untuk
mengetengahkan konsep "agama bangsa".
Mereka mempercayai bahawa
bangsa mereka adalah terpilih oleh tuhan, justeru mereka mempunyai keagungan
yang tiada tandingan berbanding bangsa-bangsa lain.
"Mereka dengan sengaja
meminda kandungan Kitab Suci mereka sendiri dan menokok tambah serta memadamkan
sesetengah kandungan demi kepentingan kepercayaan mereka," kata Harun.
Sementelah bagi penganut dan
pengikut Kristian pula berpendapat Nabi Ibrahim yang dianggap sebagai moyang
kaum Yahudi tetapi menurut mereka Nabi Ibrahim bukan seorang Yahudi tetapi
seorang Nasrani.
"Mereka tidak mengendahkan
konsep bangsa seperti Yahudi itu dan mengambil pendirian mereka sendiri, yang
telah menyebabkan berlaku perselisihan antara kedua-dua agama itu,"
katanya.
Perselisihan ini telah disebut
dalam al-Quran, iaitu; Wahai ahli-ahli Kitab! Mengapa kamu berani bertengkar
mengenai agama Ibrahim, pada hal Taurat dan Injil tidak diturunkan melainkan
kemudian daripada zaman Ibrahim; patutkah kamu berdegil sehingga kamu tidak
mahu menggunakan akal?....Bukanlah Nabi Ibrahim itu seorang pemeluk agama
Yahudi dan bukanlah juga baginda seorang Kristian. (Ali Imran: 65 - 68)
Turut disebutkan juga terdapat
agama lain yang menjadi anutan kalangan penduduk Arab selain, Nasrani, Yahudi
pada zaman sebelum keputeraan baginda Nabi Muhammad SAW.
Iaitu agama Majusi (menyembah
api) iaitu kalangan penduduk Arab yang tinggal berdekatan atau berjiran dengan
negara Parsi, negara asal agama ini. Agama ini juga dikatakan bertapak di Iraq,
Bahrain dan kawasan-kawasan persisiran Teluk Arab yang berdekatan dengannya.
Atau anda pernah mendengar
agama Sabiah? Agama ini juga merupakan satu lagi bentuk agama yang dikatakan
menjadi anutan kepada sebahagian kecil penduduk Arab di Tanah Arab. Iaitu kaum
Ibrahim al Kaldaniy dan juga dikatakan ramai penduduk Syam yang mempercayai
agama ini. Namun akibat kehadiran dan kemaraan agama Nasrani dan Yahudi
menyebabkan agama ini lemah dan semakin pupus.
Mereka yang menganut agama ini
menggantungkan kepercayaannya kepada perjalanan bintang dan falak, berkeyakinan
bahawasanya segala sesuatu itu, gerak dan diam, berjalan dan berhenti, semua
itu berkait dengan bintang-bintang.
Mungkin ada menariknya kita
ikuti corak kehidupan masyarakat Arab Jahiliah dengan lebih dekat lagi. Ikuti
keluaran akan datang, bagaimana yang dikatakan dalam kejahilan itu mereka
sebenarnya bertamadun seperti dalam bidang kesusasteraan, sehinggakan
dinding-dinding Kaabah menjadi saksi kehebatan masyarakat Arab Jahiliah
bersastera!
sumberArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0223&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm#ixzz520GbuSQ3
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment