ARKIB : 13/02/2009
Sheikh Sya'rawi berkata:
"Selepas itu, Allah menceritakan berkenaan dengan Maryam kerana ia
merupakan subjek utama. Begitu juga masalah rezeki yang dikurniakan kepadanya
tanpa sebarang kesusahan dan kepayahan daripada Allah SWT."
Ayat ke-42
Firman Allah SWT yang
bermaksud: Dan (ingatlah Wahai Muhammad) ketika malaikat berkata: Wahai Maryam!
Sesungguhnya Allah telah memilihmu, dan mensucikanmu, dan telah memilihmu
(beroleh kemuliaan) melebihi perempuan-perempuan seluruh alam (yang sezaman
denganmu).
Iktibar dan fiqh ayat :
i. Ibn Jauzi berkata:
"Maksud dengan penyucian di sini ialah:-
nPertama: Suci daripada haid
seperti kata Ibnu Abbas r.a.
nKedua: Suci daripada disentuh
lelaki seperti kata Ibnu Abbas r.a juga.
nKetiga: Suci daripada
kekufuran seperti kata al-Hassan dan Mujahid.
nKeempat: Suci daripada kejian
dan dosa seperti kata al-Muqatil.
ii. Al-Maraghi berkata:
"Sesungguhnya Allah SWT telah memilih pengabdianmu kepada Baitu
al-Muqaddis dan membersihkanmu daripada kecelakaan material mahupun moral,
serta memberikan keistimewaan kepadamu dengan mendapat anak tanpa disentuh oleh
mana-mana lelaki serta memuliakanmu daripada sekelian perempuan lain pada
setiap masa."
iii. Hamka berkata:
"Adalah satu kemuliaan baginya, sebab dia sebagai nazar ibunya berkhidmat
di rumah suci. Adalah kemuliaan baginya kerana guru pengasuhnya adalah seorang
Nabi dan Rasul yang besar.
"Adalah kemuliaan baginya
bahawa dia adalah satu-satunya perempuan yang dipilih Allah SWT untuk
melahirkan Isa a.s ke dunia tanpa perantaraan seorang bapa. Satu lagi riwayat
menyatakan Maryam benar-benar suci dan tidak pernah dikotori dengan haid. Sebab
itu dia disebut juga Maryam az-Zahra, sebagai Fatimah puteri Rasulullah SAW
menurut beberapa riwayat tidak diberi haid oleh Allah SAW tetapi tidak
menghalangi beliau beroleh putera Hasan dan Husain.
"Menurut sebuah hadis daripada
Nabi SAW ada tiga perempuan yang amat mulia. Pertama, Maryam binti Imran.
Kedua, Khadijah binti Khuwalid (isteri Rasulullah SAW yang pertama). Ketiga,
Fatimah binti Muhammad.
Ayat ke-43
Firman Allah SWT yang
bermaksud: Wahai Maryam! Taatlah kepada Tuhanmu, dan sujudlah serta rukuklah
(mengerjakan sembahyang) bersama-sama orang-orang yang rukuk.
Iktibar dan fiqh ayat:
i. Al-Maraghi berkata:
"Taatlah engkau kepada Tuhanmu dan tunduklah kepada-Nya serta
sembahyanglah bersama-sama di tempat sembahyang sedangkan Maryam sudah biasa
menetap di mihrabnya".
ii. Hamka berkata:
"Selalulah engkau beribadat kepada Allah SWT sehingga kemuliaan dan
pilihan atas diri engkau yang diberikan Tuhan bertambah cemerlang. Sebagaimana
Imam al-Ghazali pernah mengisahkan bahawasanya Nabi Isa a.s sendiri
kadang-kadang membawa bunga karang untuk menghapus air matanya yang mengalir
kerana ingat akan Tuhan dan burung yang sedang terbang pun terpegun
mendengarkan bunyi kecapi Nabi Daud a.s menyanyikan nama Tuhan dan Nabi
Muhammad SAW sampai sesemut kakinya kerana lamanya sembahyang malam. Bertambah
mulia kedudukan mereka di sisi Tuhan, tunduk merendah diri kepada Allah
SWT."
Ayat ke-44
Firman Allah SWT yang
bermaksud: Peristiwa yang demikian ialah sebahagian dari berita-berita ghaib
yang Kami wahyukan kepadamu (Wahai Muhammad), sedang engkau tidak ada
bersama-sama mereka ketika mereka mencampakkan kalam masing-masing (untuk
mengundi) siapakah di antara mereka yang akan memelihara Maryam. Dan engkau
juga (Wahai Muhammad) tidak ada bersama-sama mereka ketika mereka berkelahi
(tentang perkara menjaga dan memelihara Maryam).
Iktibar dan fiqh ayat:
i. Al-Maraghi berkata:
"Inilah antara beberapa cerita mengenai Maryam dan Nabi Zakaria a.s yang
Kami ceritakan kepadamu, meskipun engkau sendiri tidak pernah menyaksikannya
sama sekali. "Begitu juga orang lain daripada kaummu dan engkau pun tidak
membacanya daripada mana-mana buku, bahkan tidak seorang pun mengajarkannya
kepadamu. Tetapi kerana wahyu yang Kami berikan kepadamu melalui Jibril a.s, ia
dapat menjadi bukti kebenaran kenabian hamba Kami dan menolak pengingkaran yang
menentangmu".
ii. Mohamad Quraish Shihab
berkata: "Itulah peristiwa yang dialami oleh isteri Imran, Nabi Zakaria
a.s serta Maryam a.s sebahagian dari berita-berita ghaib yang kami wahyukan
kepadamu dari saat ke saat wahai Muhamad SAW.
"Kini kamu mengetahuinya,
padahal engkau wahai Muhamad SAW tidak berada di sisi mereka untuk
mengisyaratkan bahawa informasi tersebut tidak terbuka dan hampir tidak
diketahui oleh manusia".
iii. Hamka berkata: "Allah
SWT menjelaskan bahawasanya berita ini, baik berita nazar isteri Imran atau
pengasuhan Nabi Zakaria a.s ke atas Maryam atau doa Nabi Zakaria a.s agar
diberi anak. Semuanya adalah berita ghaib yang tidak diterima oleh orang lain
tetapi diwahyukan terus kepada Nabi Muhammad SAW.
"Ditekankan lagi
peringatan Allah SWT akan kesucian Maryam yang diceritakan kepada Muhammad
SAW".
Dalam bahasa Arab perkataan
istifa' khususnya pada ayat ini merupakan sifat khusus yang dimiliki Maryam.
Dia melahirkan seorang nabi tanpa disentuh oleh mana-mana lelaki. Pemilihan
seperti ini tidak dinyatakan dengan perbuatan, tetapi disediakan dengan sifat
khusus ini.
Dalam perkara ini, terkandung
kesaksian yang membebaskan dirinya daripada apa yang didakwakan oleh orang
Yahudi terhadap dirinya.
Ayat-ayat yang kita bincangkan
ini kemuliaan Maryam dan ia diperintah Allah supaya sentiasa taat dan patuh
dengan berdoa dan solat kepada-Nya. Alangkah baiknya jika sekiranya kita
menempatkan diri bersama golongan yang sentiasa taat dan patuh kepada-Nya.
sumberArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0213&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_03.htm#ixzz51lQXhIej
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment