ARKIB : 23/01/2009
Oleh W. RAHIMAH DRAMAN
(peserta misi menjejaki
perjuangan Solahuddin Al-Ayyubi Aman Palestin Malaysia di Asia Barat)
SEJARAH sering kali berulang
kerana sejarah tidak pernah berbohong. Cuma manusia yang selalu alpa.
Sejarah bukan untuk dibukukan
dan disimpan dalam arkib atau sekadar di catat dan diulang sebut tanpa dihayati
dan dijadikan iktibar serta panduan dalam kehidupan.
Tamadun yang cemerlang kerana
khalifah dan umara yang berkuasa banyak belajar dengan mengambil iktibar dan
teladan daripada sejarah.
Manusia yang berjaya lazimnya
adalah yang mengkaji, belajar meneliti dan sentiasa ingat akan sejarah yang
mencorak hidupnya.
Tetapi paling malang jika
manusia buta sejarah. Buta sejarah bangsa keturunan dan asal usul boleh
dimaafkan, kerana asal insan dari satu iaitu Adam dan Hawa yang Allah ciptakan
dari tanah.
Tetapi jika buta sejarah agama
kepercayaan, akidah anutan dan perjuangan Rasulullah SAW serta khalifah
terdahulu, tidak akan ada maafnya.
Kerana itulah yang paling
merugikan sama ada di dunia lebih-lebih lagi di akhirat. Namun itulah yang
banyak berlaku kini.
Islam hanya satu-satunya agama
yang diterima di sisi Allah SWT. Allah berfirman yang mafhum-Nya: Barang siapa
mencari agama selain agama Islam, maka sekali-kali tidaklah akan diterima
(agama itu) daripadanya, dan dia di akhirat termasuk orang-orang yang rugi.
(ali-'Imran: 85).
Namun sejarah agama dan akidah
yang digaris al-Quran serta al-Sunnah semakin jauh dari umat muslim. Maka
itulah nilai iman terhakis dan wujud masalah dengan musibah silih berganti.
Kedajalan zionis Yahudi Israel
adalah ulangan sejarah manusia nafsu syaitan yang buas, ganas dan kejam ke atas
sesama insan bergelar Islam. Palestin terus bermandi darah oleh kedayusan
tentera rejim zionis Yahudi Israel di bumi Palestin yang dijajah sekarang.
Jika kekejaman zionis Kristian
Eropah di bumi ambia itu dapat dihapus dan dinyah oleh tokoh pejuang terbilang
Islam tahun 1192, Solahuddin al-Ayyubi, apakah ada Solahuddin kedua abad ini
akan muncul menghancurkan zionis Yahudi Israel yang gila darah dan sedang
bermaharajalela di bumi Palestin sekarang?
Islam kini benar-benar
memerlukan Solahuddin era moden untuk menyatukan ummah dan mengembalikan nilai
iman serta membetulkan akidah bagi menyelamatkan Palestin dan membebaskan
Al-Aqsa serta Baitul Maqdis dari penjajahan rejim Yahudi Israel.
Roh, semangat dan jiwa
Solahuddin diperlukan oleh Muslim agar Islam kembali mengetuai urusan dunia
agar dihormat dan ditakuti golongan kafir dan puak kufar yang bernafsu dan
bertuhankan syaitan.
Sejarah kehebatan Solahuddin
adalah jelmaan dari ketokohan khalifah terulung Islam di zaman Nabi dan para
sahabat, Saidina Umar al-Khattab.
Kebijaksanaan dan pandangan
jauh Solahuddin dalam membina semula daulah Islamiah selepas jatuhnya keagungan
tamadun Islam belum ada tandingan hingga kini.
Kehebatannya menyusun strategi
sama ada dalam peperangan mahu pun ketika mengurus tadbir pemerintahan dan
penyatuan ummah terus jadi sejarah.
Namun keberanian dalam
perjuangan, ketokohan memimpin dan kewarakan dalam melaksanakan tuntutan
beragama Solahuddin tidak ditonjolkan kepada khalayak.
Solahuddin al-Ayyubi adalah
nama gelaran. Nama sebenar dan nasab keturunannya ialah Solahuddin bin
Najmuddin Ayub bin Syazi bin Marwan al-Kurdi.
Berasal dari puak Kurdis dari
kabilah paling besar dan sangat mulia serta tinggi keimanan iaitu Rawadiyah,
dari golongan al-Hazyaniah yang menetap di Duwain bersempadankan Wilayah
Azerbaijan.
Dilahirkan di Tikrit, Baghdad
tahun 1137 (532 Hijrah), Solahuddin yang bapanya pernah memerintah kota itu
sebelum dihalau ketika dia masih kecil oleh Raja Baghdad, Sultan Majuhid Bahruz
adalah pejuang dan mujahid sejati era pasca moden.
Berhijrah ke Mosul
Berhijrah ke Mosul bersama
bapanya, Najmuddin Ayub, keluarganya disambut baik oleh pemerintah di situ,
Imaduddin Zinki kerana jasa bapanya sewaktu memerintah Kota Baghdad.
Sejarah tokoh dan panglima
terbilang selepas malapnya tamaddun Islam itu bagaimanapun tidak diuar-uarkan
oleh dunia dan umat Islam sendiri.
Sebagai tokoh, pejuang, mujahid
dan khalifah paling hampir kepada ummah kini, roh dan semangat Solahuddin
penting untuk ditiup ke sanubari Muslim kini.
Terutama ketika rejim Yahudi
Israel sedang bermaharajalela mengganas dengan membunuh serta mengusir rakyat
Palestin sesuka hati sejak tahun 1948 hingga hari ini dengan bangsa Arab yang
berpecah belah.
Solahuddin kedua diperlukan
bagi menyatukan bangsa Arab yang berpecah dan berpuak untuk bersekongkol dengan
puak kafir kini. Golongan kufar Kristian sememangnya ngeri dengan nama dan
bayangan Solahuddin Al-Ayyubi.
Perang Salib yang berlarutan
hampir 200 tahun (1096-1192) akan terus menghantui kuasa penjajah zionis
Kristian Eropah. Sebab itulah ketokohan Solahuddin tidak dikaji dan
dikembangkan oleh sarjana orientalis barat.
Malangnya, umat Islam juga
turut 'menyembunyikan' kepahlawanan tokoh terbilang awal abad moden itu
daripada generasi kini.
Menyatupadukan ummah (Arab) dan
menegakkan Islam serta mengembalikan hak Muslim ke atas Masjid Al-Aqsa dan
Baitul Maqdis daripada penaklukan zionis Kristian Eropah adalah misi dan hasil
perjuangan tinggalan Solahuddin yang hanya ada dalam lipatan sejarah Islam.
Menyedari besar dan agungnya
ketokohan serta sumbangan Solahuddin dalam menyatu ummah dan menegakkan Islam serta
kewarakannya, Aman Palestin Malaysia (APM) tampil menyelusuri jejak-jejak
perjuangannya untuk didedah kepada umum.
Dengan matlamat membangkitkan
semangat Solahuddin al-Ayyubi ke jiwa generasi muda Muslim negara ini dan dunia
Islam seluruhnya, APM merealisasikan usha itu melalui program Rehlah Jejak
Solahuddin pada 2 hingga 11 Disember lalu.
"Kami menyahut cabaran
selepas salah seorang pejuang Palestin di Jordan, Sheikh Abu Habib, menyuarakan
gagasan itu dua tahun lalu.
"APM terpanggil bagi
merealisasikan idea itu selepas tiada pihak tampil menyambut gagasan
beliau," kata Ahli Lembaga Pengarah APM yang berpusat di Shah Alam,
Selangor, Hashimah Saleh.
Menurut beliau, APM mengambil
risiko kerana pentingnya ada ikon Islam tulen paling hampir dengan generasi
zaman ini untuk dijadikan idola dalam perjuangan Muslim sekarang.
Hashimah antara tunggak utama
APM dalam menyingkap sejarah perjuangan Solahuddin untuk didedahkan kepada umat
Muslim.
Menjejaki tinggalan kubu-kubu
kota tinggalan perjuangan Solahuddin dan tenteranya melalui Rehlah Jejak
Salahuddin berlangsung ketika kemuncak 'jihad' dalam ibadah Haji musim 1429.
Semangat pengorbanan
Mengambil semangat pengorbanan
Nabi Allah Ibrahim a.s dan anaknya Nabi Ismail a.s serta ketabahan jiwa rakyat
Palestin menghadapi penyiksaan rejim zionis Yahudi Israel, 13 peserta di mana
lapan adalah wanita diketuai Mohd. Nadzmaimi Mohd. Nadzir, selaku Pengarah
program tersebut.
Perjalanan 10 hari meninggalkan
keluarga dan kemeriahan Hari Raya korban di tanah air, melalui perjalanan
hingga melewati 24 jam sehari untuk pergi dan balik ke satu-satu lokasi
tinggalan Solahuddin merentasi gurun dan laluan bergunung ganang ke pendalaman
Jordan dan Syria di jalan berliku yang sempit bukan perkara mudah.
Sedangkan muncung M-16,
pelancar roket dan mortar di kubu kawalan yang sedia di petik picu ada di
mana-mana dengan kelibat kereta kebal berkeliaran terutama di kawasan
bersempadankan Palestin dan sekitar Beirut.
Adakalanya pula, makan dan
minum perlu 'diqada dan jamak' sebagaimana amalan ibadah solat ketika
bermusafir.
"Alhamdulillah usaha
terlaksana, selepas beberapa kali tertangguh kerana melibatkan soal keselamatan
selain wang ringgit dan komitmen serta sokongan telus mereka yang benar-benar
prihatin," kata Hashimah.
Menyelusuri jejak perjuangan
Solahuddin perlu menjelajah seluruh kawasan bersempadankan Palestin di Jordan,
Syria dan Lubnan.
Ketiga-tiga negara ini adalah
laluan utama dan benteng strategik tentera Solahuddin ketika menyerang dan
menawan penjajahan tentera Salib untuk mengembalikan keadilan dan hak Islam ke
atas Aqsa serta Baitul Maqdis..
Di Jordan sahaja terdapat tidak
kurang 40 buah kubu kota (qol'ah) yang dibina semula oleh Solahuddin selepas
menawannya daripada tentera Salib, di samping membina banyak lagi kubu-kubu
pertahanan baru bagi mengukuhkan kekuatan Islam.
Kubu kota di banjaran
pergunungan atas puncak bukit di pendalaman daerah Lattakia, Syria, di mana
puncak bukit batu granit setinggi menara berkembar Petronas di belah untuk
membina jalan oleh pemerintahan Bizantin era empayar Rom yang dijajah tentera
Salib, turut di tawan dan dibina semula oleh tentera Solahuddin.
Kubu di pergunungan Lattakia
adalah kota pertahanan terbesar (lima hektar) dalam sejarah pembinaan kubu-kubu
pertahanan era tamadun Rom yang berjaya 'diislamkan' oleh Solahuddin, di
samping kubu kota Karak di utara Jordan yang menghadap Laut Mati dan menjadi
benteng paling hadapan untuk menawan semula Al-Aqsa dan Baitul Maqadis dari
penjajahan zionis Kristian.
bukti ketinggian iman
Sebuah masjid serba lengkap
dibina oleh Solahuddin di setiap kubu kota yang diduduki dan dibinanya semula
adalah bukti ketinggian iman serta kewarakan beliau dalam perjuangannya.
Kehebatan seni bina kubu-kubu
yang turut dilengkapi dengan pusat pentadbiran, perniagaan dan penjara itu utuh
hingga kini dan tidak akan dapat ditandingi oleh mana-mana seni bina era moden.
Semua kubu yang ditawan dan
dibina semula oleh tentera Solahuddin berada di kawasan strategi, atas bukit di
banjaran pergunungan jauh ke pendalaman dan menghadap ke arah kiblat pertama
Islam, Masjid Al-Aqsa di Baitul Maqdis.
Ini kerana misi perjuangan
Solahuddin semata-mata untuk membebas dan mengembalikan hak Al-Aqsa dan tanah
haram Baitul Maqdis kepada pemilik mutlak, Islam.
Tentera kaum Arab dari pelbagai
suku puak bangsa dan warna kulit bergabung atas kerja keras Solahuddin
menyatukan mereka yang berpecah belah, bermula tahun 569 Hijrah (1173 Masihi),
iaitu setelah lima tahun dia dilantik memimpin Mesir.
Mereka berjihad melalui
semangat Solahuddin dan berpegang pada firman Allah SWT dalam mafhum-Nya:
Pergilah kamu beramai-ramai (untuk berperang pada jalan Allah), sama ada dengan
keadaan ringan (dan mudah bergerak) ataupun dengan keadaan besar (disebabkan
berbagai-bagai tanggungjawab) dan berjihadlah dengan harta benda dan jiwa kamu
pada jalan Allah (untuk membela Islam). Yang demikian amatlah baik bagi kamu
jika kamu mengetahui. (al-Anfaal: 41).
Bertahun-tahun Solahuddin
berusaha menyatukan wilayah-wilayah Islam Arab yang berpecah ketika itu, bagi
memerangi penjajahan zionis Kristian dalam tiga Perang Salib sebelum dapat
mengembalikan Al-Aqsa dan Baitul Maqdis ke pangkuan Islam.
Ketika tentera salib hampir
memusnahkan Masjid Al-Aqsa dengan lautan darah dari pembunuhan lebih 5,000 umat
Muslim Palestin, bagai 'singa lapar' Solahuddin dan tenteranya bangkit
menamatkan kedajalan zionis Kristian hampir 200 tahun itu (1096/489H -
1192/588H), pada tahun 1192.
Ribuan tentera Salib diketuai
raja-raja Eropah ketika itu, (Raja Jerman, Frederick I Barbarossa, Raja
Perancis, Philip II Augustus dan Raja England, Richard The Lion Heart) mati
serta tunduk kepada perjanjian damai yang diputuskan oleh Solahuddin pada bulan
Syaaban 588 Hijrah (1192 Masehi).
Namun kejayaan perjuangan
Solahuddin yang benar-benar berlandaskan al-Quran dan al-sunnah serta apa yang
menjadi amalan Rasulullah SAW tidak terus dinobatkan.
Hingga akhirnya rejim zionis
Yahudi Israel pula bertindak menjajah bumi Palestin dengan membunuh serta
mengusir Muslim bermula tahun 1948 hingga hari ini.
"Diharap jihad kecil AMP
bagi mendedahkan perjuangan tentera Solahuddin menyelamatkan Palestin, Aqsa dan
Islam ini akan menghidupkan semula roh serta semangat Solahuddin Al-Ayyubi di
sanubari umat Muslim.
"Ia bagi mengembalikan semula
hak Islam ke atas Aqsa dan Baitul Maqdis dari penjajahan zionis Yahudi Israel
pula," kata Mohd. Nadzmaimi.
Menurutnya, semangat perjuangan
yang tidak pernah kenal penat dan putus asa Solahuddin dalam jihad
mempertahankan Islam inilah yang mahu dipupuk oleh APM ke jiwa setiap Muslim
hari ini
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0123&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_03.htm#ixzz51WeKqViG
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment