Ad

Saturday, 16 December 2017

'Jangan hanyut dibuai mimpi'

ARKIB : 15/01/2009
KUALA LUMPUR - Berada di puncak memang mengasyikkan namun pengendali KL PLUS, Mat Zan Mat Aris tidak sekali-kali mahu melihat anak didiknya hanyut dibuai mimpi lapor MOHD. RAFIE AZIMI.

Kecemerlangan KL PLUS menewaskan Pulau Pinang 3-1 membolehkan skuad lebuh raya itu memintas kedudukan Selangor yang rebah 2-1 kepada Johor FC di Stadium J-Corp, Pasir Gundang dalam aksi Liga Super kelmarin.

Mat Zan yang ditemui selepas perlawanan itu berkata, beliau bersyukur dengan kejayaan pasukannya berada di takhta liga namun mengingatkan para pemain betapa liga musim ini baru sahaja bermula.

''Saya gembira mendapat tahu kami mendahului pasukan lain di dalam liga. Namun, masih terlampau awal untuk meramal kedudukan setiap pasukan yang bertanding musim ini.

''Cuma saya harap kedudukan ini tidak akan menjadi beban serta tekanan kepada pemain untuk mengekalkan momentum kemenangan,'' katanya.

Dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur kelmarin, Bobby Gonzalez muncul wira KL Plus apabila menjaringkan dua gol pada minit ke-49 dan 58 bagi membenam skuad harimau kumbang.

Satu lagi gol KL Plus disumbangkan oleh Nur Adli Mohd. Pauzee minit ke-37 manakala Mohd. Idzwan Salim pula menyumbat gol sagu hati untuk Pulau Pinang pada masa kecederaan separuh masa pertama.

Mengulas mengenai corak permainan pasukannya malam itu, Mat Zan secara keseluruhannya berpuas hati dengan persembahan yang ditunjukkan para pemain sepanjang perlawanan berlangsung.

''Kami agak longlai pada babak pertama sehingga membenarkan lawan menjaringkan gol mudah akibat kelalaian sendiri.

''Kebangkitan KL Plus pada separuh masa kedua adalah sesuatu yang menggembirakan malah saya percaya para penonton turut terhibur melihat corak permainan yang kami sajikan malam ini,'' katanya.

Dalam pada itu, Mat Zan seakan turut mengingatkan para pesaingnya musim ini betapa pasukan bimbingannya itu masih belum sampai ke kemuncak prestasi.

''Saya percaya prestasi kami masih belum sampai ke kemuncak dan akan ada peningkatan daripada para pemain bagi menghadapi perlawanan seterusnya,'' ujarnya
sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0115&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz51TRUh2yV

© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment