ARKIB : 11/02/2009
SAFIYAH binti Abdul Mutalib
adalah ibu saudara Nabi Muhammad. Ayahnya, Abdul Mutalib bin Hasyim adalah
pemimpin kaum Quraisy yang disegani. Dia adalah adik kandung kepada Hamzah bin
Abdul Mutalib yang digelar 'Singa Allah' dan digeruni oleh pihak musuh Islam.
Safiyah melibatkan diri dalam
perang mengikut batasan-batasan yang dibenarkan oleh Islam. Dalam Perang Uhud,
Safiyah dan wanita Muslimah membantu tentera Islam yang berperang dengan
memberikan air minuman dan merawat mereka yang luka.
Pada awalnya, tentera Islam
meriah kemenangan. Namun kemudian mereka ingkar perintah Nabi lalu turun dari
Bukit Uhud bagi mendapatkan harta rampasan perang. Apabila pihak musuh melihat
hanya tinggal seorang dua tentera Islam yang mengawal Bukit Uhud, mereka
berpatah balik menyerang tentera Islam semula.
Akibatnya, tentera Islam
mengalami kekalahan mengejut sehingga ramai tentera Islam lari menyelamatkan
diri daripada dibunuh pihak musuh.
"Mengapa kamu semua lari
dari medan perang dan meninggalkan Rasulullah seorang diri," jerit Safiyah
dengan mengangkat tombak di tangan. Beliau mengarah kepada tentera Islam yang
melarikan diri.
Namun, tiada seorang tentera
Islam yang mempedulikan jeritan Safiyah dan terus lari meninggalkan medan
peperangan. Hanya beberapa pahlawan Islam bergadai nyawa menyelamatkan Nabi
daripada kepungan tentera pihak musuh. Hamzah terbunuh dalam perang ini dan
berita kematiannya sampai ke telinga Safiyah.
"Suruh ibu kamu pulang ke
rumah supaya dia tidak sedih dan terkejut melihat keadaan mayat ayah saudara
kamu yang diperlakukan dengan kejam," kata Nabi kepada Zubir apabila
mengetahui Safiyah sedang menuju ke tempat jasad tentera-tentera Islam yang
dikumpulkan untuk dikebumikan.
"Nabi meminta ibu pulang
ke rumah." Zubir menyampaikan pesanan nabi apabila bertemu dengan ibunya.
"Ibu sudah mengetahui
tentang keadaan mayat ayah saudara kamu. Insya-Allah, ibu dapat bersabar dan
tabah melihat mayatnya sebelum dia dikebumikan," balas Safiyah dengan nada
tenang.
Sifat kepahlawanan Safiyah
terserlah dalam perang Khandak. Apabila Nabi dan angkatan tentera Islam keluar
dari kota Madinah bagi menentang pihak musuh, kaum wanita dan kanak-kanak
ditempatkan di dalam satu rumah sebagai benteng pertahanan. Hasan bin Thabit,
penyair pada zaman itu ditugaskan bagi melindungi rumah itu daripada bahaya.
"Saya mahu pergi mengintip
rumah yang menjadi benteng pertahanan pihak Islam. Seandainya tidak ada kaum
lelaki di dalam rumah itu, kita dapat serang dan menangkap semua kaum wanita
dan kanak-kanak bagi dijadikan tebusan. Sudah tentu tentera Islam yang berjuang
di luar itu mengaku kalah," kata ketua kaum Yahudi keturunan Quraizah
kepada pengikutnya.
"Kami akan menunggu di
bawah benteng ini dan menunggu arahan tuan," balas pengikutnya yang
bersetuju dengan cadangan ketua mereka.
"Saya melihat ada seorang
Yahudi yang sedang mundar-mandir rumah kita. Saya bimbang sekiranya dia perisik
kepada orang Yahudi berketurunan Quraizah," komen Safiyah kepada Hasan
yang masih duduk mendiamkan diri.
"Saya minta kamu keluar
dari rumah ini dan bunuh Yahudi itu sebelum berlaku sesuatu yang tidak diingini
kepada kita semua," pinta Safiyah kepada Hasan yang belum menunjukkan
apa-apa reaksi.
"Kamu sahajalah keluar dan
bunuh Yahudi itu," balas Hasan dengan muka bersahaja.
"Kamu lupa saya ini adalah
seorang wanita." Safiyah mengingatkan statusnya kepada Hasan apabila
mendengar kata-kata Hasan itu.
"Safiyah, saya hanya penyair
dan bukannya pahlawan. Seandainya saya pahlawan, sudah tentu saya mengikuti
Nabi ke medan peperangan," Hasan mendedahkan perkara sebenar tentang
dirinya.
"Sekiranya begitu, biar
saya mencari jalan lain bagi menghapuskan Yahudi itu." Safiyah kecewa dengan
jawapan Hasan itu.
Dia mencari sebatang kayu yang
paling keras dan keluar dari rumah itu dengan penuh berhati-hati. Safiyah
berjalan perlahan-lahan mencari orang Yahudi yang mengelilingi rumah itu.
Apabila dia berjaya menemuinya,
dia memukul kepala Yahudi itu dengan kuat sehingga Yahudi itu rebah menyembah
bumi.
"Saya sudah bejaya
membunuh Yahudi itu. Sekarang, kamu pergi ambil barang-barang yang ada pada
mayat Yahudi itu," kata Safiyah kepada Hasan.
"Mengapa kamu tidak
mengambil barang-barangnya selepas kamu membunuhnya tadi?" tanya Hasan
dengan pantas.
"Tidak manis sekiranya
saya mengambil barang-barang daripada badan seorang lelaki," balas Safiyah
dengan nada sindiran.
"Saya tidak memerlukan
barang-barang Yahudi itu. Kamu sahajalah ambil barang-barangnya," Hasan
menolak permintaan Safiyah itu.
Safiyah yang kecewa dengan
kata-kata Hssan, keluar sekali lagi dari rumah itu. Dia menghampiri mayat
Yahudi itu. Dia mencampakkan Yahudi itu ke bawah benteng itu.
"Lebih baik kita beredar
dari sini. Saya rasa Rasulullah sudah menempatkan beberapa pahlawan Islam bagi
melindungi kaum wanita dan kanak-kanak di rumah itu," lapor salah seorang
Yahudi Bani Quraizah.
"Lihat buktinya
sekarang!" kata salah seorang pengikut mereka apabila melihat mayat ketua
mereka di bawah benteng.
"Mungkin benar kata kamu.
Lebih baik kita melarikan diri sebelum kita menjadi mangsa pahlawan
Islam," ajak seorang lagi pengikut kaum Yahudi yang mula melarikan diri.
Safiyah adalah wanita Islam
pertama yang berjaya membunuh musuh Islam. Dia tidak gentar walaupun tiada
seorang lelaki pun yang membantunya semasa menghadapi Yahudi itu.
sumberArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0211&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm#ixzz51isKpWFX
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment