Ad

Sunday 10 December 2017

10,000 jemputan hadir majlis persandingan cucunda Sultan Pahang

ARKIB : 13/10/2008
 
Najib Tun Razak merenjis pengantin lelaki, Ahmad Najmi Abdul Razak dan Tengku Nurul Kamalia Tengku Kamil Ismail pada majlis persandingan diraja di Istana Abu Bakar, Pekan, Pahang, semalam.
- Gambar MAHATHIR ALI

PEKAN 12 Okt. - Majlis persandingan cucunda Sultan Pahang, Tengku Nurul Kamalia Tengku Kamil Ismail dengan seorang ahli perniagaan, Ahmad Najmi Abdul Razak di Dewan Utama, Istana Abu Bakar di sini malam tadi berlangsung penuh gilang gemilang dengan dihadiri kira-kira 10,000 jemputan.

Majlis dimulakan dengan istiadat merenjis air mawar yang disempurnakan oleh Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah, diikuti Sultanah Pahang, Sultanah Kalsom serta kerabat-kerabat diraja termasuk Sultan Johor, Sultan Iskandar Sultan Ismail; Sultanah Johor, Sultanah Zanariah Sultan Ahmad dan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Turut merenjis ialah Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dan isteri, Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandar; ayahanda pengantin perempuan, Tengku Besar Pahang, Tengku Kamil Ismail Tengku Idris Shah dan bondanya, Tengku Puteri Seri Lela Wangsa Pahang, Tengku Meriam Sultan Ahmad Shah.

Majlis diteruskan dengan upacara merenjis oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob dan ibu kepada pengantin lelaki, Puan Siti Aminah Abdullah.

Selesai majlis, mempelai diarak ke Dewan Santapan bagi upacara santapan dan memotong kek.

Majlis turut dihiburkan dengan pelbagai persembahan tarian dan nyanyian artis-artis terkenal tanah air seperti Haiza, Fauziah Latiff dan Nurul.

Tidak ketinggalan membuat persembahan ialah kerabat-kerabat diraja yang terdiri daripada cucunda-cucunda Sultan Ahmad Shah.

Ahmad Najmi, 39, diijabkabulkan dengan Tengku Nurul Kamalia, 31, dengan satu kali lafaz di hadapan Mufti Pahang, Datuk Abdul Rahman Osman sambil disaksikan kedua-dua belah pihak dengan mas kahwin RM22.50 kelmarin.

Sebelum majlis pernikahan itu, acara lain turut diadakan termasuk istiadat menerima hantaran sebelum diakhiri dengan upacara menyarung cincin.

Turut diadakan pada hari yang sama ialah istiadat berkhatam al-Quran dan istiadat berinai diikuti upacara bersiram hari ini.



SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1013&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_01.htm#ixzz50uWHxV00

© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment