Iskandariah, Mesir: Sebuah
keranda batu misteri yang ditemui ditanam di bandar ini akhirnya dibuka
kelmarin walaupun terdapat amaran mereka yang mengganggu kubur itu mungkin
terkena sumpahan.
Ahli arkeologi menemui tiga
rangka manusia dipercayai mempunyai hubungan kekeluargaan yang sudah reput
dalam keranda batu setinggi dua meter dan tiga meter panjang.
Keranda itu juga dipenuhi dengan
air kumbahan yang bocor dari bangunan berhampiran sekali gus mempercepatkan
proses pereputan rangka berkenaan.
Penemuan itu sekali gus
menghampakan harapan penduduk tempatan yang yakin bahawa keranda seberat 30 tan
itu mungkin milik Raja Iskandar Zulkarnain.
Beberapa pekerja menemui keranda
yang dianggarkan berusia 2,000 tahun itu di dalam tanah sedalam enam meter pada
awal bulan ini di tapak pembinaan sebuah bangunan apartmen di daerah Sidi
Gaber.
TULANG manusia yang bercampur
dengan air kumbahan yang ditemui dalam keranda berkenaan. FOTO EPA
Keranda itu yang terberat pernah
ditemui di bandar berkenaan sekali gus menimbulkan spekulasi ia mungkin milik
Raja Iskandar yang membuka bandar berkenaan.
Setiausaha Majlis Agung Antikuiti
Mesir, Mostafa Waziri menolak keranda itu adalah milik Raja Iskandar atau
kerabat diraja lain kerana tiada sebarang harta atau lambang kebesaran.
“Kami menemui tulang tiga manusia
yang kelihatan seperti pengebumian satu keluarga. Malangnya, mumia dalam
keranda itu tidak berada dalam keadaan baik dan hanya tulang yang ditemui,”
katanya kepada wartawan.
Rancangan untuk membuka keranda
itu mencetuskan kerisauan dalam kalangan penduduk Mesir yang bimbang ia mungkin
membebaskan sumpahan yang berusia ribuan tahun.
“Kami membukanya, syukur pada
tuhan dunia tidak jatuh ke dalam kegelapan. Saya yang pertama memasukkan kepala
ke dalam keranda itu dan saya kini berdiri di hadapan anda,” jelasnya.
SUMBER-Artikel ini disiarkan pada
: Sabtu, 21 Julai 2018 @ 6:27 AM
No comments:
Post a Comment